URBAN

WARNA WARNI COMIC FIESTA 2022

Selasa, 20 Disember 2022
Oleh Muhammad Syazwan

KUALA LUMPUR: Acara Comic Fiesta 2022 telah menarik perhatian 60 ribu pengunjung terutama peminat animasi, permainan video dan komik yang diadakan selama dua hari bermula 17 Disember 2022.

Acara yang dinanti-nantikan setelah dua tahun pandemik Covid-19 menyaksikan peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat mengenakan pakaian beragam atau disebut sebagai cosplay membanjiri Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Watak daripada Permainan Video “Arknights”.
(Sumber: William Lim)

Aktiviti sebegini merupakan salah satu budaya pop yang sangat terikat dengan animasi dari Jepun. Malahan, istilah ini muncul buat pertama kali dan diguna pakai dalam penulisan oleh Nobuyuki Takahashi untuk majalah My Anime pada tahun 1983.

Imbasan Majalah My Anime edisi Jun 1983 dimana perkataan Cosplay (コスチュームプレー) pertama kali digunakan.

(Sumber: STUDIO HARD)

Menurut University of Montana, istilah “Cosplay” dicipta daripada gabungan dua perkataan bahasa Inggeris iaitu “Costume” (Pakaian/Kostum) dan “Play” (Bermain) dan dijadikan sebagai hobi yang mempunyai peminat serta kumpulan profesional tersendiri.

Hobi memperagakan pakaian seperti watak animasi, komik atau permainan video kegemaran dari pelbagai media baru atau lama, bukan sesuatu yang asing kerana aktiviti ini sudah lama dilakukan di dalam negara dan juga luar negara. 

Cosplay menyerlahkan kreativiti dan merapatkan hubungan antara para peminat 

(Sumber: lygma.coser)

Menurut cosplayer amatur, Muhammad Syafiq Alif atau lebih dikenali sebagai Mr. Akuma, 17, beliau gemar mengenakan cosplay sebagai satu bentuk kepuasan apabila minat mereka dikagumi orang ramai. 

“Hobi ini menarik minat sesetengah orang untuk mencuba dengan melihat peminat lain mengenakan cosplay selain dapat meningkatkan keyakinan diri dan daya kreativiti bagi memperagakan kostum dan pakaian mengikut watak fiksyen yang mereka minati.

Muhammad Syafiq Alif (Mr. Akuma) mengenakan cosplay watak “The Immortal Tatsu” dari sebuah animasi Jepun
"The Way of The Househusband”

(Sumber: Muhammad Syafiq Alif)

Menurut seorang lagi cosplayer amatur, Reaper Koeko, menambah baik pakaian adalah sesuatu yang biasa dilakukan oleh mereka yang melakukan cosplay tidak kira baru dan sudah profesional. 

“Terdapat dua cara untuk mendapatkan pakaian seperti watak yang mereka minati iaitu membeli pakaian siap melalui atas talian atau menghasilkannya sendiri.

“Biasanya kostum akan ditambah baik agar lebih selesa apabila dipakai kerana kadangkala kualiti kostum yang dipesan tidak seperti digambarkan,” katanya.

Reaper Koeko mengenakan cosplay watak Exusiai dari permainan video Arknights.
(Sumber: Airantou)

Tambah Reaper lagi, ada juga yang menggabungkan dua kaedah tersebut mengikut kesesuaian watak yang diminati.


Pengunjung mengenakan cosplay watak dari permainan video “Team Fortress 2”
(Sumber: @midnight_hatter)

Setiap acara cosplay atau konvensyen seperti ini mempunyai beberapa peraturan yang perlu diikuti bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Garis Panduan asas yang dikeluarkan oleh pihak penganjur untuk memastikan ketenteraman semasa acara berlangsung (Sumber: Comic Fiesta)

Penganjur acara Comic Fiesta 2022 telah menggariskan beberapa panduan umum di media sosial rasmi mereka dan menyediakan buku panduan pengunjung pada hari kejadian. 

Antara peraturan yang perlu diikuti adalah meminta izin sebelum bergambar, menghormati ruang peribadi peserta cosplay dan tidak memaksa atau mengambil gambar para pengunjung secara paksa atau secara senyap.

Sesetengah pengunjung tetap memperagakan kostum yang berkait rapat dengan tema ketenteraan atas risiko masing-masing (Sumber: Hunter141)

Peserta yang mengenakan cosplay tidak dibenarkan membawa prop atau apa-apa jenis replika realistik yang menyerupai senjata berbahaya seperti Automatic Rifle (AR) atau senjata berbilah. 

Acara Pentas Malaysia Digital Content Festival (MYDCF) di bahagian Pameran Comic Fiesta 2022
(Sumber: Malaysia Digital Content Festival (MYDCF))

Selain daripada melihat aktiviti cosplay dan berinteraksi dengan mereka, acara Comic Fiesta 2022 ini juga membuka lebih daripada 500 gerai pameran dan jualan terdiri daripada penaja, kedai-kedai berjenama, artis dan pelukis. 

Konsert juga telah dipersembahkan oleh Suzuki Konomi bersempena 40 tahun Polisi Pandang Ke Timur oleh pihak Kedutaan Jepun dengan kerjasama Comic Fiesta dan sesi bertemu peminat YouTuber Maya (Virtual YouTuber) terkenal dari syarikat Hololive seperti Watson Amelia dan Kobo Kanaeru.

Duta Jepun di Malaysia, Katsuhiko Takahashi (dua dari kiri) bergambar bersama penyanyi Suzuki Konomi (tengah)
(Sumber: @Amb_Takahashi)

Konvensyen seperti ini bertujuan untuk menyerlahkan kreativiti serta mengenali dengan lebih mendalam tentang budaya pop termasuk ia juga membuka peluang kepada golongan artis dan pelukis mengembangkan bakat mereka serta berjumpa dengan para peminat

Like the article? Share it now!