LIFESTYLE

TERKANDAS DI NEGARA JIRAN, RINDU KELUARGA DI SEMPADAN


Isnin, 7 Jun 2021
Oleh Anis Syuhada

JOHOR COVID-19 telah mengubah nasib bukan sahaja rakyat Malaysia, malah satu dunia juga. Pelbagai kekangan yang dilalui oleh setiap individu terutamanya bagi pekerja-pekerja yang berkhidmat di negara jiran.


Oleh disebabkan kes semakin meningkat, sekatan bagi tujuan keluar masuk Malaysia dan Singapura juga terjejas dan telah menyebabkan beberapa pekerja terkandas di negara jiran tersebut.


Pada 17 Mei yang lepas, sekatan tersebut telah dibenarkan atas sebab-sebab tertentu, termasuklah jika berkaitan dengan kematian atau bagi tujuan melawat ahli keluarga yang sedang tenat dan untuk tujuan bekerja.


Doktor Syahir yang sedang berkhidmat sebagai doktor di Singapura.

(Sumber: Berita DIMENSi / Anis Syuhada)

Dr Ahmad Syahir, 38, doktor di Hospital Sengkang, Singapura berkata, kehidupannya berubah setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung di Malaysia. Syahir merupakan warganegara Malaysia, pada masa yang sama, beliau juga merupakan Permanent Resident (PR) di Singapura.


“Sebelum PKP, kehidupan saya berjalan seperti biasa, termasuklah boleh berulang-alik dari Malaysia ke Singapura pada setiap hari,” kata Doktor Syahir ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.


“Sejurus sahaja PKP dilaksanakan, saya telah ditugaskan untuk meneruskan karier saya sebagai doktor di Singapura, walaupun perlu berjauhan bersama keluarga untuk beberapa bulan.


“Kehidupan tanpa keluarga di sisi amat berbeza, walau bagaimanapun, mereka juga pembakar semangat kepada saya, lebih-lebih lagi mereka merupakan tanggungjawab saya untuk saya lindungi selamanya,” tambah beliau.


Dr Syahir dan isterinya mempunyai tiga orang anak dalam lingkungan dua hingga lapan tahun yang sedang menetap di Johor Bahru, Johor. Menurut beliau, meskipun keluarganya berada di Johor Bahru, beliau percaya bahawa keluarganya yang lain, termasuk datuk dan nenek kepada anak-anaknya yang tinggal kurang daripada lima minit dari rumahnya dapat membantu keluarganya pada setiap masa apabila diperlukan.


Doktor Syahir dan keluarganya di Johor Bahru, Johor.

(Sumber: Berita DIMENSi / Anis Syuhada)

“Di Singapura, saya tinggal bersama ibu saudara dan keluarganya, walaupun saya bersama saudara-mara, saya amat merindukan ketiga-tiga anak dan isteri saya. Oleh kerana itu, saya sering berbual bersama ahli keluarga saya di Malaysia melalui aplikasi WhatsApp.


“Pada 15 November tahun lepas, saya pulang semula ke pangkuan keluarga saya untuk beberapa berbulan sebelum saya ke Singapura untuk sambung berkhidmat. Sebelum pulang ke Malaysia, saya telah mengikuti beberapa proses termasuklah kuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru selama 14 hari sebelum berjumpa dengan ahli keluarga,” ujar beliau.


Pada 17 Mei lalu, sekali lagi beliau pulang ke Malaysia selama 3 bulan bagi meluangkan masa bersama keluarganya sebelum kembali ke Singapura semula pada akhir bulan Jun 2021.


Sebelum pulang ke Malaysia buat kali kedua, beliau berjaya mendapatkan dua dos vaksin di Singapura bagi menangani wabak COVID-19 ini. Oleh itu, beliau tidak perlu kuarantin di hotel selama 14 hari seperti dahulu dan hanya berkuarantin di rumah sahaja.


Oleh kerana kes semakin meningkat hari demi hari, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!