URBAN

SEMANGAT KAAMATAN KAUM KDMR DI PERANTAUAN

Isnin, 16 Mei 2022
Oleh Irene Matius

SHAH ALAM - Bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ pada tahun 2022, pesta Kaamatan merupakan pesta yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Sabah terutamanya bagi kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) pada setiap tahun.

Kaamatan ialah salah satu perayaan yang disambut secara besar-besaran dan bercirikan budaya etnik yang disambut pada setiap tanggal 1 Mei.

Menarik tentang tema sambutan pesta pada tahun ini adalah untuk menekankan tentang pentingnya menjaga dan memelihara alam sekitar.

Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat Sabah pada tahun 2022 telah diadakan di Pusat Kraftangan, Keningau memandangkan Daerah Keningau dipilih untuk menjadi tuan rumah.

Kemuncak perayaan ini biasanya diadakan pada tanggal 30 dan 31 Mei sebaik sahaja selesai menuai padi sebagai tanda kesyukuran dan menghormati semangat padi atau disebut ‘bambazon’.

Lokasi pelancaran tersebut diadakan di tempat yang berbeza namun lokasi sambutan tetap di kawasan yang sama iaitu di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), Penampang.

Acara yang simbolik pada pelancaran Pesta Kaamatan 2021 adalah untuk melakonkan semula penuaian padi.

(Sumber: Kaamatan Disambut Ikut SOP PKPB)

Menurut Chatty, 22, mahasiswa yang berasal dari Sabah berasa sangat teruja setiap kali tibanya bulan Kaamatan.

“Sebagai tanda sokongan yang dapat saya berikan ialah dengan menekan butang like dan kongsi halaman yang berkaitan dengan pesta kaamatan tahun ini di laman media sosial.

“Saya juga masih boleh menyertai dan menonton siaran langsung yang ditayangkan di media sosial seperti Facebook dan juga Youtube,” tambah Chatty.

Mereka yang berada di semenanjung Malaysia juga berpeluang untuk memeriahkan pesta ini kerana Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) juga akan menganjurkan pesta kaamatan di negeri Johor dan Lembah Klang.

Sepanjang bulan Kaamatan ini juga, banyak penggiat seni tempatan di Sabah masing-masing menunjukkan bakat mereka di media sosial seperti mengarah filem pendek, mencipta lagu, dan lain-lain.

Masyarakat tempatan juga mengambil peluang semasa musim Kaamatan untuk mempromosikan produk mereka secara dalam talian seperti kraftangan dan juga makanan.

“Bulan inilah sepatutnya kita menunjukkan sokongan terhadap pesta ini dengan membeli produk-produk tempatan.

“Saya memberikan sokongan dengan menyumbangkan jumlah tontonan dan membahagikan hasil idea-idea kreatif mereka untuk tontonan orang lain agar keunikan pesta ini lebih dikenali masyarakat lain,” katanya lagi ketika ditemu ramah oleh Berita DIMENSi.

Bagi Chrislly, 20, yang merupakan rakyat Sabah yang bekerja di semenanjung Malaysia berkata, pertandingan ratu cantik ‘Unduk Ngadau’ iaitu memperingati semangat Huminodun merupakan antara acara yang dinanti-nantikannya setiap tahun serta pertandingan ‘Sugandoi’ dan juga ‘Mr Kaamatan’.

Unduk Ngadau Kaamatan, satu pertandingan ratu cantik dilakukan setiap kali musim perayaan Kaamatan.

(Sumber : Maya 2021 State Unduk Ngadau)

Pesta ini juga dapat menyatupadukan kaum KDMR yang berada di Malaysia mahupun yang berada di luar negara.

“Kepelbagaian makanan tradisi setiap daerah semasa kemuncak pesta ini di Hongkod Koisaan akan sentiasa saya rindukan walaupun tidak dapat merasainya pada tahun ini kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman.

“Kepada mereka yang berada di perantauan, marilah bersama-sama memeriahkan pesta ini meskipun melalui platform digital sahaja,” katanya mengakhiri sesi temu ramah bersama Berita DIMENSi.

Selain daripada pertandingan, persembahan seperti tarian, persembahan seni dan kraf tangan, acara seperti memukul gong dan sukan rakyat juga merupakan antara aktiviti yang dianjurkan sempena pesta ini.

Sambutan Kaamatan tahun ini juga berpotensi untuk merancakkan semula industri pelancongan dan pertanian di negeri Sabah memandangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilonggarkan dan ini memberi peluang untuk orang ramai menghadiri pesta ini beramai-ramai.


Like the article? Share it now!