URBAN

SEMAI, PERCAYA SEMANGAT DALAM KEMATIAN

Rabu, 18 Mei 2022
Oleh Izzatul Razali

Kawasan perumahan seorang lelaki berbangsa Orang Asli Semai di dalam kawasan hutan dan gunung yang tinggi di Perak.

(Sumber : Wikipedia )

TRONOH - Komuniti Semai yang bermastautin di Tronoh, daerah Kinta ini berbeza dengan suku kaum Orang Asli yang lain iaitu daripada segi bahasa pertuturan, pakaian tradisional pengurusan majlis dan terutamanya kepercayaan mereka tentang kematian.

Umum mengetahui bahawa Malaysia mempromosikan identitinya sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa. Namun, masih ramai tidak tahu tentang keunikan kepercayaan Orang Asli di Malaysia.

Menurut artikel Harian Metro, Orang Asli ialah sebuah kelompok masyarakat minoriti yang mempunyai pelbagai jenis suku atau puak dengan identiti, adat resam serta kepercayaan yang berlainan. Salah satu daripada etnik ini ialah suku Semai iaitu suku terbesar antara 18 kaum Orang Asli di Malaysia.

Komuniti mereka juga menjalinkan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat menyebabkan hampir keseluruhan orang kampung akan cakna dan menziarahi tempat pengebumian.

Keakraban suku Semai ini pula bukan hanya dapat dirasai oleh masyarakat itu sahaja malah orang luar yang bekerja di situ juga seperti Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ayer Denak, Muhamad Zamri Ismail, 57, yang turut berkongsi keunikan kepercayaan suku kaum ini.

“Kalau ada kematian, asrama (di sekolah) itu boleh dikatakan hampir kosong kerana sebahagian besar daripada mereka menghadiri pengebumian ekoran hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang akrab,” katanya dalam sesi temu ramah bersama Berita Dimensi menerusi panggilan telefon.

Guru Besar SK Ayer Denak, Muhammad Zamri Ismail bersama barisan guru dan pelajar sekolah itu.

(Sumber: Berita DIMENSi/ Izzatul Razali)

Belinda Panjang, 47, seorang guru Bahasa Semai di sini yang juga berbangsa Orang Asli Semai di sekolah yang sama berkongsi kepercayaan kaumnya.

Mereka masih mempercayai pantang larang tentang kematian seperti larangan kucing untuk melompat di atas jenazah serta pemasangan pelita atau makanan dan minuman di sebelah jasad.

Proses pengebumian pula bermula dengan memandikan dan mendandan si mati. Selepas memakaikan jenazah dengan kain putih, muka si mati akan dihalakan ke arah matahari terbenam sebelum dikebumikan di dalam keranda.

Belinda juga mengatakan bahawa hampir keseluruhan masyarakat Orang Asli Semai di Tronoh tiada pegangan agama namun mempercayai animisme, iaitu kepercayaan bahawa setiap perkara mempunyai semangat tersendiri.

Menurut petikan daripada kajian dari Universiti Utara Malaysia (UUM), orang Semai tidak menggalakkan kanak kanak untuk mendekati mayat si mati kerana bimbang semangat mereka yang lemah akan mengikut roh si mati ke dalam bumi.

Ibu mengandung juga tidak dibenarkan daripada melakukan perkara sama kerana khuatir anak di dalam kandungan akan terkenan dengan si mati dan akan mengakibatkan anak susah dilahirkan.

Kepelbagaian kepercayaan, pantang larang dan gaya hidup orang Semai sebenarnya menjadikannya lebih unik dan menarik untuk diketahui sebagai seorang warganegara Malaysia yang kaya dengan adat.

Walaubagaimanapun, stigma masyarakat luar masih lagi bersifat perkauman terhadap Orang Asli kerana penggunaan nama suku kaum seperti Jakun, Batak atau Sakai digunakan sebagai cacian dan cercaan.

Orang luar masih memandang rendah masyarakat Orang Asli kerana dianggap ketinggalan menyebabkan mereka sukar untuk menerima kehadiran orang luar kerana bimbang ditipu, ditindas serta dipergunakan, tambah Belinda menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berharap masyarakat luar dapat menerima masyarakat Orang Asli dengan baik dan memberi peluang yang sama rata serta diberi hak keistimewaan sebagai penduduk asal peribumi di Malaysia.