URBAN

PERAHU TRADISIONAL KEBANGGAAN PULAU DUYONG

Jumaat, 6 Mei 2022
Oleh Aishah Shahirah

KUALA TERENGGANU - Majoriti masyarakat Terengganu tinggal di persisiran pantai atau kawasan sungai dan hampir kesemua daripada mereka merupakan nelayan yang menyebabkan pembinaan perahu ini menjadi satu keperluan asas utama pada masa itu.

Perahu tradisional ini bukan sahaja digunakan untuk menangkap ikan tetapi juga berfungsi sebagai pengangkutan air untuk membawa penumpang sebagai pertunjukan pada hari kebesaran sultan atau raja-raja.

Bengkel perusahaan perahu tradisional yang pertama bertempat di Pulau Duyong, Terengganu dan telah didirikan pada tahun 1960.

Bengkel ini berjaya mendapat sambutan hangat dan berhasil menjadi pusat tarikan pelancong ke pulau tersebut sehingga hari ini.

Bengkel Perusahaan Perahu Tradisional milik Muhd Akhir

(Sumber: Berita DIMENSi /Aishah Shahirah)

Perusahaan ini kini diusahakan oleh Muhd Akhir Sapie, 74, sejak tahun 2017 setelah pemilik sebelum ini iaitu Allahyarham Abdullah meninggal dunia.

Terdapat pelbagai jenis perahu tradisional yang dibina dalam perusahaan ini mengikut saiz dan ciri-ciri tertentu yang terbahagi kepada perahu besar dan perahu kecil seperti perahu kolek lincang.

Menurut Muhd Akhir, perahu ini kebiasaannya digunakan oleh para nelayan untuk menangkap ikan kerana reka bentuknya yang senang dikemudikan mengikut alunan ombak dan melalui kawasan berlumpur.

Perahu Kolek Lincang yang merupakan hasil tangan tukang kayu masyarakat Melayu secara turun-temurun

(Sumber: Berita DIMENSi /Aishah Shahirah)

Pembinaan perahu tidak terbatas pada seni ukiran Melayu sahaja namun terdapat juga pengaruh dari Belanda yang diubah suai oleh tukang-tukang tempatan dengan menggunakan lunas lurus dan linggi lurus yang dinamakan sebagai perahu sekoci.

Lunas perahu ini berbentuk lurus dan bahagian belakang yang sedikit tinggi berbanding birai perahu kerana mempunyai daya tahan ombak yang kuat dan sesuai digunakan di kawasan laut terbuka.

Perahu sekoci dibawa oleh kapal besar sebagai perahu penyelamat ketika darurat dan digunakan di pelabuhan untuk mengangkut penumpang dari pantai ke perahu besar.

Perahu jenis ini juga terkenal digunakan oleh nelayan untuk menjala ikan serta mencandat sotong.

Proses pembuatan perahu tradisional bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan banyak kemahiran dan mengambil masa sekitar enam bulan untuk membina sebuah perahu yang berkualiti tinggi.

Muhd Akhir menyatakan bahawa pembinaan perahu perlulah kukuh dan utuh bagi memastikan perahu yang dibina kekal lama dan tahan lasak.

Menurut tesis penuntut Universiti Malaya (UM), Azizah Sabrina Abd Aziz berkata bahawa pengalamannya ketika melawat perusahaan tersebut untuk melihat sendiri proses pembuatan perahu adalah sangat berharga.

“Saya berasa amat teruja kerana dapat menyaksikan sendiri bagaimana proses pembuatan perahu dijalankan berikutan selama ini hanya berkesempatan untuk melihatnya melalui kaca televisyen dan hasil pembacaan seperti akhbar dan artikel jurnal,” kata Azizah.

Jelasnya lagi, pemilik perusahaan perahu tersebut banyak memberikan pengisian yang menarik, bukan sahaja dari segi proses pembuatannya namun juga berkaitan jenis-jenis perahu dan motif yang terdapat pada perahu tersebut.

Bagi Azizah, ilmu ini penting untuk diturunkan dari generasi ke generasi supaya legasi industri perusahaan ini tetap berdiri teguh dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang pertukangan tersebut.

“Ini kerana golongan ini kurang berminat dengan ilmu pertukangan walhal ilmu pembuatan perahu merupakan simbol keagungan budaya masyarakat Melayu tradisional memandangkan masyarakat terdahulu begitu sinonim dengan hasil seni kraftangan susulan masyarakat yang mahir dalam ilmu pelayaran.

“Oleh itu, ilmu pembuatan perahu seharusnya didedahkan dan diajar kepada golongan muda supaya ilmu pembuatan perahu ini tidak lenyap seiring peredaran zaman,” kata Azizah menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi.


Like the article? Share it now!