URBAN

PENGGUNA PLATFORM JANJI TEMU MENINGKAT

Isnin, 20 Jun 2022
Oleh Umirah Halim

Menurut laman web statistik Statista.com, Tinder merupakan aplikasi yang paling banyak dimuat turun di Malaysia dengan peratusan sebanyak 49.9 peratus dan diikuti dengan Dating.com (27.89 peratus), Tantan (27.19 peratus) dan lain-lain (22.96 peratus).

Hasil tinjauan ringkas Berita DIMENSi baru-baru ini juga, sebanyak 90 peratus responden bersetuju bahawa mencari pasangan dalam talian sangat relevan kerana ia merupakan platform yang terbaik untuk mencari pasangan mahupun rakan baharu.

Infografik diperoleh daripada tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh Berita DIMENSi.

(Sumber: Berita DIMENSi/Umirah Halim)

Hasil tinjauan ini juga menunjukkan sebanyak 50 peratus daripada responden menggunakan platform janji temu dalam talian untuk mencari pasangan manakala 30 peratus lagi ingin mencari teman baharu dan bakinya sekadar untuk bersuka ria.

Mencari pasangan secara dalam talian merupakan kaedah yang tidak asing lagi pada zaman kini terutamanya bagi golongan yang masih berstatus bujang.

Pengguna boleh memilih untuk menggunakan platform janji temu dalam talian di atas yang menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik yang tersendiri.

(Sumber: Berita DIMENSi/Umirah Halim)

Amiruddin Sallehuddin, 25, pengguna aplikasi janji temu dalam talian berpendapat platform janji temu dalam talian ini sedikit sebanyak mampu memudahkan dirinya untuk mencari rakan baharu untuk tujuan bersosial.

“Zaman dahulu agak susah untuk mencari kawan baru, perlu guna cara tradisional iaitu kenal melalui rakan-rakan atau ibu bapa yang akan tentukan jika ingin mencari pasangan.

“Kewujudan platform seperti ini mengubah cara tersebut apabila pengguna boleh membuat pilihan untuk memilih aplikasi mengikut citarasa mereka,” ujarnya dalam temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Sisi Gelap Cari Jodoh dalam Talian

Di sebalik kelebihan yang ditawarkan, terdapat juga kekurangan yang sedikit sebanyak menghalang pengguna untuk mencari pasangan dengan tenang dan selamat.

Terdapat segelintir pengguna yang mengambil kesempatan untuk mencari skandal dan ada juga menggunakannya untuk bersuka-suka tanpa ada niat yang baik.

Pengguna aplikasi Tinder selama empat tahun, Noorhaniza Mazlan, 21, tidak menyarankan pengguna baharu yang naif untuk menggunakan aplikasi tersebut kerana terdapat pelbagai kerenah ‘pelik’ pengguna dalam aplikasi itu.

“Semestinya dalam aplikasi tersebut akan ada jumpa banyak ‘buaya’ (lelaki yang gemar mencari banyak pasangan dan berfoya-foya) atau yang pervert tetapi ianya bergantung kepada kita sama ada mahu terus layan atau tidak,” katanya melalui temu bual melalui aplikasi Twitter bersama Berita DIMENSi.

Menurut Noorhaniza lagi, aplikasi seperti Tinder sangat membantu bagi mencari pasangan dengan lebih mudah namun kehadiran segelintir pengguna yang hanya ingin mengambil kesempatan untuk kepuasan hawa nafsu sendiri adalah sangat mengecewakan.

“Kecewa tetapi nak buat macam mana. Banyak spesies sebegitu. Bukan dalam Tinder sahaja, banyak lagi aplikasi selain Tinder juga,” ujarnya.

Sementara itu, Aiman Haikal, 25, berpendapat bahawa aplikasi janji temu dalam talian ini membantunya untuk lebih mudah mencari pasangan walaupun sibuk bekerja tetapi pengguna mestilah bijak agar tidak menjadi mangsa penipuan.

“Saya pernah ada pengalaman kena scam hampir cecah 10 ribu dengan salah seorang pengguna yang saya match, jadi pengajarannya perlu berhati-hati kerana risiko untuk ditipu itu tinggi,” ujarnya semasa di temu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama Berita DIMENSi.

Pengalaman itu menjadikan beliau serik untuk menggunakan platform janji temu tersebut kerana ramai pengguna dalam kalangan perempuan hanya ingin bersuka ria dan perkara itu hanya membuang masa dan tenaganya.

Like the article? Share it now!