URBAN

MEMARTABATKAN SEMULA IRAMA DONDANG SAYANG

Rabu, 11 Mei 2022
Oleh Siti Ismail

MELAKA TENGAH - Seni persembahan Dondang Sayang bukanlah suatu perkara asing bagi rakyat Malaysia, khususnya bagi penduduk di negeri Melaka yang memang terkenal dengan julukan Bandaraya Bersejarah.

Dondang Sayang didefinisikan sebagai salah satu nyanyian cinta yang digunakan masyarakat zaman dahulu untuk menyampaikan luahan hati mereka dalam nada berpantun.

Di Melaka, Dondang Sayang cukup popular di kalangan masyarakat Melayu dan juga Cina Peranakan. Nyanyian ini pada masa yang sama turut menjadi hiburan para pedagang yang datang berdagang ke negeri bersejarah ini.

Menurut sejarah yang dapat dilihat di Bangunan Stadthuys, Dondang Sayang telah wujud untuk jangka masa yang cukup lama, dianggarkan sekitar kurun ke-15 Masihi iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Nyanyian Dondang Sayang telah menggabungkan pantun, muzik serta pakaian tradisi kaum Melayu dalam persembahan.

(Sumber: Laxpaya.blogspot.com)

Menurut Jabatan Warisan Negara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, terdapat empat jenis Dondang Sayang, iaitu Dondang Sayang Melaka, Dondang Sayang Baba Peranakan, Dondang Sayang Pulau Pinang dan Dondang Sayang Tanjung Penyengat.

Antara alat muzik tradisional yang digunakan ketika persembahan Dondang Sayang, termasuklah biola, rebana dan gendang.

(Sumber: Berita DIMENSi/Siti Ismail)

Lebih menarik, pantun seloka dalam nyanyian Dondang Sayang diiringi dengan beberapa peralatan muzik warisan seperti biola, akordion, gong dan banyak lagi.

Menurut MelakaPlus, seni persembahan berbentuk pantun ini terletak pada kebolehan serta kecekapan sang penyanyi untuk membalas pantun sesama mereka.

Gaya penyampaian Dondang Sayang pula adalah secara bersahaja dan liriknya turut mengandungi puisi-puisi cinta.

Kebiasaannya persembahan Dondang Sayang diiringi empat orang ahli muzik.

(Sumber: Center Stage)

Pesara polis, Rahman Mohamed, 63, salah seorang penggemar irama ini menyifatkan Dondang Sayang cukup tersemat dihatinya memandangkan beliau membesar di era berkembangnya seni persembahan ini.

Beliau sempat bercerita tentang pengalamannya mengunjungi majlis perkahwinan pada zaman dahulu, di mana Dondang Sayang merupakan salah satu persembahan wajib yang perlu ada di setiap majlis perkahwinan.

Rahman yang meminati irama ini sejak di usia muda meluahkan rasa terkilan kerana sudah tiada lagi persembahan Dondang Sayang diadakan di majlis perkahwinan, bahkan kebanyakan majlis perkahwinan masa kini hanya menggunakan rakaman muzik sahaja.

“Anak muda zaman sekarang juga kurang mengetahui tentang kewujudan irama ini dan kurang meminatinya walaupun pernah popular pada suatu ketika dahulu,” kata beliau ketika ditemuramah bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi Zoom.

Beliau menyeru badan seni muzik, khusus di Negeri Melaka untuk memberi lebih pendedahan tentang Dondang Sayang terutamanya kepada anak-anak muda.

“Tidak dinafikan irama ini kian dilupakan. Para penyanyi irama ini juga memainkan peranan penting untuk memupuk golongan muda supaya meminati alunan Dondang Sayang,” tambah Rahman.

Ismail mendengar nyanyian Dondang Sayang di radio pada waktu lapang.

(Sumber: Berita DIMENSi/Siti Ismail)

Ismail Saad, 64, penggemar lagu Dondang Sayang turut berkongsi pendapat bahawa irama Dondang Sayang telah menjadi penghibur hatinya sejak di usia remaja di mana kebiasaanya beliau akan mendengar irama ini setelah penat seharian bekerja.

“Dondang sayang masih lagi relevan pada masa kini walaupun kebanyakan anak muda lebih meminati irama rock dan K-pop.

Sebagai orang lama, saya ingin irama Dondang Sayang dihidupkan semula walaupun ia telah ditelan zaman.” kata Ismail dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau menyifatkan golongan muda pada masa kini lebih cenderung untuk meminati irama moden berbanding irama muzik tradisional yang telah mengangkat darjat masyarakat Melayu khususnya ketika suatu masa dahulu.

“Nasihat saya pada golongan muda, kita perlulah mengenal sejarah dan asal usul kita. Irama tradisional tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja supaya kita tidak dibelenggu oleh arus perdana,” tambahnya.

Kini, irama Dondang Sayang telah menjadi salah satu khazanah budaya dunia sejurus mendapat pengiktirafan dari The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage).


Like the article? Share it now!