LIFESTYLE

KERJA BERLEBIHAN, KESIHATAN MENTAL BELIA MEROSOT


Jumaat, 18 Jun 2021
Oleh Syafiq Shukli

Golongan belia berisiko menghadapi masalah kesihatan mental akibat kerja berlebihan.

(Sumber: Unsplash)

SUBANG – Rata-rata belia di Malaysia kini menghadapi masalah kesihatan mental akibat kerja berlebihan susulan pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.


Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional terkini, kadar kelaziman kemurungan di peringkat nasional melonjak sebanyak 2.3% iaitu bersamaan dengan setengah juta orang.


Berdasarkan artikel oleh Relate Malaysia, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din melaporkan bahawa antara 18 Mac hingga 30 Oktober 2020, angka kes bunuh diri telah melonjak sehingga 266 kes, dengan 141 individu daripadanya berumur antara 19 hingga 40 tahun.


Menurut Majlis Belia Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia melaporkan bahawa 90% kes cubaan membunuh diri adalah dalam kalangan belia.


Tidak dinafikan, kemelesetan ekonomi memberi kesan yang sangat besar kepada golongan M40 di mana mereka perlu mencari alternatif untuk menampung ahli keluarga mereka. Apatah lagi bagi golongan B40 yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


“Inisiatif untuk mencari rezeki itu datang dengan sendiri sejak saya menyewa rumah sendiri di Shah Alam kerana saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya,” kata Qistina Najwa, 23, seorang pelajar Universiti Teknologi MARA apabila ditemu ramah oleh Berita DIMENSi menerusi aplikasi Discord.


Pelajar sepenuh masa ini yang juga merupakan seorang ejen dropship di bawah butik Lily Petuna meluahkan bahawa ibu bapanya kini mempunyai banyak lagi tanggungan lain untuk diselesaikan.


Bukan lagi suatu budaya yang asing di mana pelajar mendapatkan bantuan luar untuk menyelesaikan tugasan yang tidak mampu disiapkan oleh mereka. Beban kerja yang berat telah membuatkan sesetengah pelajar terpaksa mengambil keputusan sedemikian demi menjaga kesihatan mental mereka.


“Ramai yang mencari saya untuk menyelesaikan tugasan mereka dengan memberi upah walaupun saya sendiri sedang tenggelam dengan tugasan peribadi,” kata seorang pelajar universiti yang enggan dikenali ketika ditemu ramah oleh Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


Golongan belia adalah lebih berisiko jika kerja berlebihan kerana mereka masih belum mencapai perkembangan otak yang sepenuhnya. Walaupun begitu, perkara ini ada kebaikannya apabila mereka boleh mengumpul pengalaman di awal usia agar lebih bersedia ketika melangkah masuk ke alam dewasa.


Menurut Dr. Najwa Hanim, seorang Psikiatri Neuro di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi e-mel, stres yang tinggi akan mengganggu sistem saraf pada otak lantas memberi kesan buruk iaitu pengurangan serotonin yang boleh menyebabkan depresi dan peningkatan adrenalin sehingga membawa kepada masalah kebimbangan melampau iaitu anxiety.

Apabila terdedah kepada tekanan kronik, bahagian utama otak akan menjadi pramatang.

(Sumber: Unsplash)

“Pengabaian kepada keperluan harian seperti tidur, makan dan rehat yang mencukupi adalah antara punca awal kepada stres yang tinggi. Perkembangan otak belia hatta golongan dewasa sekalipun tetap memerlukan nutrisi dan tidur yang mencukupi agar sel saraf di dalam otak boleh kekal sihat dan mampu membaiki tisu yang rosak.


“Kerja berlebihan dalam kalangan golongan belia hanya akan mengakibatkan kesan yang berlawanan dari apa yang dijangka kerana salah satu fungsi tidur adalah untuk menguatkan memori harian agar boleh dihadam oleh seseorang individu tersebut selain daripada mengekalkan fokus dan fungsi otak harian.


“Amatlah penting bagi seorang belia untuk menyediakan jadual harian sambil asertif dengan diri sendiri dan berdisiplin untuk mengikutnya agar mereka boleh mengurus masa mereka untuk mendapatkan keseimbangan antara kehidupan dan kerja.


“Apabila seseorang itu sudah dihantui dengan idea seperti membunuh diri, amatlah penting bagi mereka untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat profesional bagi merawat komponen otak yang telah menjadi berantakan,” kata Dr Najwa Hanim.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!