LIFESTYLE

KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG BAGI ATLET PARALIMPIK


Selasa, 22 Jun 2021
Oleh Nurul Nazirah

Zaidi (kiri) dan Alif (kanan) bersama jurulatih ketika latihan renang dijalankan.

(Sumber: Berita DIMENSi / Nurul Nazirah)

Kekurangan daripada segi fizikal bukanlah dianggap sebagai satu penghalang bagi atlet-atlet paralimpik untuk melakukan sebarang aktiviti sukan. Walaupun mereka tidak mempunyai keupayaan yang sama seperti individu lain, mereka masih cekal berlatih demi sukan yang diminati.


Golongan orang kurang upaya atau lebih dikenali sebagai OKU sering dianggap sebagai individu lemah yang tidak mampu melakukan aktiviti yang melibatkan penggunaan tenaga. Mereka sering dipandang rendah oleh sebahagian masyarakat hanya kerana kekurangan yang dialami.


Namun hakikatnya, golongan ini merupakan golongan yang sangat berdikari dan kuat dari segi fizikal dan juga mental. Buktinya, sering terpampar di media sosial mahupun media cetak tentang kejayaan golongan kurang upaya ini.


Umum mengetahui bahawa kini terdapat pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa khusus bagi golongan kurang upaya ini termasuklah Para Sukma, Paralimpik dan juga Para Asean.


Mohamad Zaidi Zainan, 26, merupakan seorang atlet renang Para Sukma Negeri Perak yang menceburi bidang sukan ini semenjak berusia 15 tahun. Tujuan utama beliau melibatkan diri dalam bidang sukan ini adalah bukan untuk mencapai pingat namun lebih fokus kepada perkembangan diri.


Tidak pernah menyalahi takdir malah lebih bersyukur dengan kekurangan yang ada, baginya perkara ini bukan satu halangan tetapi ia merupakan satu kayu pengukur bagi sesetengah individu untuk memastikan bahawa mereka juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti individu normal.


“Memang agak mustahil untuk berenang serta mengimbangkan badan pada awalnya dengan keadaan kaki yang membengkok, namun disebabkan minat dan latihan tanpa henti akhirnya saya mampu untuk berenang.


“Sokongan keluarga dan juga rakan sepasukan membuat saya terus bersemangat untuk meneruskan latihan sehingga berjaya dipilih menjadi sebagai atlet renang bagi mewakili negeri Perak dalam Para Sukma,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Kata beliau lagi, 2018 merupakan tahun paling bermakna buatnya kerana beliau berjaya menyertai pertandingan itu setelah beberapa kali gagal. Tambahan pula, Perak telah dijadikan sebagai tuan rumah bagi Para Sukma.


“Saya telah menyertai tiga acara yang dipertandingkan dan satu daripadanya hampir mendapat pingat. Tapi disebabkan kecuaian sendiri, kemenangan tersebut telah dibatalkan.


“Siapa sahaja pasti akan kecewa, namun ia merupakan satu kenangan yang tidak akan saya lupakan dan akan terus menjadi pembakar semangat pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Zaidi bergambar ketika Para Sukma Negeri Perak pada tahun 2018.

(Sumber: Berita DIMENSi / Nurul Nazirah)

Seorang lagi rakannya, Muhammad Alif Tarmezan, 24, turut berkongsi minat yang sama. Anak jati kelahiran Pulau Pangkor itu tidak menyangka bahawa beliau akan kehilangan keupayaan diri sekelip mata pada usia 17 tahun.


Kejadian kemalangan motosikal yang berlaku hampir lapan tahun lalu telah menyebabkan beliau kehilangan sebelah kakinya. Namun, berprinsipkan dengan kata-kata bahawa kehidupan perlu diteruskan dan tiada guna meratapi sesuatu yang telah berlaku, beliau telah bangkit daripada kesedihan dan menceburkan diri dalam renang.


Beliau juga merupakan atlet Para Sukma, dan walaupun tidak mudah untuk berenang dengan hanya sebelah kaki, namun, berkat kesungguhan menyertai latihan setiap minggu, akhirnya semuanya menjadi mudah.


Bukan sahaja meminati sukan renang, beliau juga turut mempunyai minat mendalam dalam bidang berbasikal. Walaupun jadual beliau padat dengan latihan, namun atlet ini masih bijak membahagi dan menguruskan masanya.


“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya hanya melakukan aktiviti berbasikal. Ini kerana tiada latihan renang yang dijalankan disebabkan penutupan kolam renang.


“Berbasikal menggunakan sebelah kaki tidaklah sesukar yang digambarkan. Hanya kemalasan sahaja yang akan menjadi batu penghalang bagi seseorang melakukan aktiviti sihat,” katanya ketika ditemu bual Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Alif menjadikan kecacatan bukan satu penghalang minat bersukan.

(Sumber: Berita DIMENSi / Nurul Nazirah)

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!