LIFESTYLE

KAUNSELING: MEMBANTU ATAU TIDAK ATASI STRESS?


Jumaat, 28 Mei 2021
Oleh Norsuhana Rostam

Kaunselor memainkan peranan yang penting dalam sesi kaunseling.

(Sumber: klikdokter.com)

Setiap orang pasti pernah mengalami keadaan di mana fikiran merasa kusut dan serabut seolah-olah masalah yang menimpa tiada penyelesaian.


Ada yang bijak mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat daripada kaunselor apabila mereka mengharungi fasa kehidupan yang sukar.


Namun, sejauh manakah kaunseling dapat membantu mengatasi stres?


Stres bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Pada dahulu kala, masalah berkaitan dengan stres ini tidak diberi penekanan dalam kalangan masyarakat. Tetapi menginjak ke abad-21, ia menjadi masalah utama yang membimbangkan setiap pihak.


Dengan adanya kemajuan teknologi, tidak dinafikan ia sedikit sebanyak mendorong kepada masalah stres dalam kalangan masyarakat.


Generasi dahulu juga mengalami masalah stres ini. Namun jika dibandingkan dengan generasi kini, mereka mempunyai perisai emosi iaitu amalan-amalan yang diajar oleh agama ketika dirundung stress. Antaranya seperti menjaga solat, beristighfar dan sabar bagi yang beragama Islam.


Wartawan Berita DIMENSi telah menjalankan sesi temu bual melalui panggilan telefon bersama Hertati Idrus, 61, seorang kaunselor yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam bidang kaunseling bersama syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).


Beliau menyatakan punca stres ini bergantung kepada persekitaran dan personaliti seseorang itu sendiri.


“Seseorang yang mempunyai personaliti sebagai introvert boleh mendorong diri mereka untuk mendapat stres dengan mudah.


“Contohnya apabila mereka diberikan tugasan yang memerlukan mereka untuk bergaul di hadapan khalayak ramai, sudah pasti mereka akan berasa stres oleh kerana ia melangkau sifat asal individu tersebut,” tambah Hertati Idrus menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.


Pekerja yang mengalami stres di tempat kerja.

(Sumber: CNN Indonesia)

Masalah persekitaran bergantung di mana seseorang itu berada. Contohnya dalam institusi kekeluargaan, isu hubungan suami isteri boleh menjadi faktor utama kepada tercetusnya stress.


Manakala mereka yang bergelar pelajar pula menghadapi stres untuk mengejar tarikh menghantar tugasan.


Berbeza pula keadaan di mana seseorang itu digalas dengan tanggungjawab yang terlalu berat sehingga menyebabkan mereka menampung stres yang keterlaluan dan akhirnya boleh membahayakan kesihatan mental.


Menurut Wan Nor Ahmad Syaifuddin, 28, seorang kaunselor yang bertugas di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi temu bual di aplikasi Google Meet, beliau berkata kaunseling amat berkesan buat seseorang yang mengalami stres.


Mereka yang mengalami stres ini tidak begitu stabil dari segi emosi, fizikal dan pemikiran, sehingga menyukarkan mereka untuk mencari arah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.


“Kaunseling ini merupakan satu proses membantu klien untuk mendapat celik akal dalam kata lain kesedaran berkenaan diri dan kehidupan mereka supaya mereka boleh hidup dalam keadaan bersepadu dan holistik,” tambah Wan Nor Ahmad Syaifuddin menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi Google Meet.


Contoh dekorasi di bilik kaunseling dengan pemilihan warna yang sesuai.

(Sumber: Harian Metro)

Salah satu teknik kaunseling yang boleh dilihat secara jelas ialah susunan perabot dalam bilik kaunseling itu sendiri yang memainkan peranan penting dalam keberkesanannya.


Pemilihan warna di bilik kaunseling juga penting untuk membawa aura tenang dalam diri klien supaya mereka bersedia untuk berkongsi masalah.


Seseorang yang bergelar kaunselor mempunyai lesen khas dan diperakui oleh Lembaga Kaunselor. Kaunselor mempunyai kod etika kerahsiaan yang tidak boleh dikongsikan kepada pihak luar.


Ini menjadikan kaunseling sebagai terapi yang boleh dipercayai untuk masyarakat berkongsi masalah tanpa sebarang kerisauan.


Sekiranya masalah stres ini diambil enteng oleh masyarakat, ia boleh mendorong kepada penyakit mental dan lebih membimbangkan lagi apabila boleh membawa kepada kejadian bunuh diri.


Bagi orang ramai yang mempunyai masalah dan memerlukan khidmat nasihat boleh menghubungi 15999 Talian Kasih yang beroperasi selama 24 jam.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!