LIFESTYLE

GAYA HIDUP SIHAT PASCA PANDEMIK

Jumaat, 14 Januari 2022
Oleh Nur Farisha Razali

KUCHING: Rakyat perlu memanfaatkan kelonggaran sekatan aktiviti luar dengan memupuk gaya hidup sihat pada masa yang sama mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Menurut portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), gaya hidup sihat adalah penting dalam kehidupan manusia kerana ia membawa kepada kestabilan mental dan fizikal yang menyeluruh.

Memetik kenyataan daripada Dr. Brenda Rea, doktor perubatan pencegahan menerusi artikel berita Loma Linda University Health, menyatakan, apabila dunia mula melangkah kepada keadaan pasca pandemik, kesihatan harus kekal di hadapan.

Pengambilan buah-buahan serta makan yang seimbang perlu seiring dengan melakukan aktiviti senaman bagi menjamin gaya hidup sihat.

(Sumber: Seekweb)

Pengamal gaya hidup sihat, Zahari Bin Baini, 31, berkata, mengamalkan gaya hidup sihat dapat mengelakkan diri daripada jatuh sakit terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Saya kerap mendapat penyakit seperti demam panas disebabkan kurang melakukan aktiviti senaman dan setelah saya menetapkan beberapa prinsip gaya hidup sihat, kini keadaan diri saya lebih baik,” kata Zahari, menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui panggilan video aplikasi WhatsApp.

Meskipun tidak boleh keluar untuk bersenam semasa dalam tempoh pandemik, beliau tetap melakukan senaman ringan dan aerobik di ruangan rumah dengan persekitaran yang terhad.

Sejurus pihak KKM mulai membenarkan aktiviti luar dijalankan, beliau manfaatkan sepenuhnya dengan bersenam sambil menikmati pemandangan yang indah dengan alam semula jadi serta menghirup udara segar.

“Aktiviti yang dilakukan di dalam rumah sahaja amat berbeza suasana dan perasaannya, jika dibandingkan dengan aktiviti yang dilakukan di luar. Saya menjadi lebih fokus, segar dan lebih bersemangat untuk bersenam.

“Kekerapan bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan luangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit hingga 1 jam serta pemilihan jenis senaman seperti berjoging, bermain badminton, serta senaman ringan harian adalah penting untuk mengekalkan kesihatan diri,” ujar Zahari.

Baginya, aktiviti atau senaman tersebut terasa masih kurang kerana beliau lebih gemar melakukan aktiviti lasak seperti meredah hutan, yang hanya boleh dilakukan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.

Aktiviti regangan badan yang sesuai dilakukan pelbagai peringkat umur merupakan salah satu senaman mudah bagi mengekalkan kecergasan badan.

(Sumber: ThePioneer)

“Selain senaman, saya juga mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi memastikan sistem badan berfungsi dengan baik serta memastikan waktu rehat dan tidur yang mencukupi,” katanya lagi.

Tidur yang mencukupi dan berkualiti adalah penting bagi memastikan tubuh badan mempunyai masa untuk berehat agar tidak berlaku kecederaan seperti masalah kelesuan otot.

Melakukan pemeriksaan kesihatan bersama doktor secara berkala juga merupakan antara perkara penting untuk memantau dan mengekalkan gaya hidup sihat.

Beliau menambah, pemeriksaan kesihatan di mana-mana klinik dapat dibuat dengan lebih kerap kerana tiada lagi had masa ditetapkan sepertimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang mengekang jumlah kedatangan pesakit dan keutamaan rawatan kepada pesakit COVID-19.

“Saya sangat gembira dengan kehidupan selepas berakhirnya pkp, kerana saya lebih suka melakukan aktiviti luar dengan persekitaran alam semula jadi. Saya boleh berjumpa dengan lebih ramai orang dan mempunyai interaksi yang baik dengan orang lain,” tambah Zahari.

Menurutnya lagi, apabila melakukan aktiviti fizikal di luar rumah, beliau merasa lebih memanfaatkan masa dengan kehidupan yang lebih baik. Jika berada terlalu lama di rumah pula akan menjejaskan kesihatan mental sekaligus menjejaskan kesihatannya secara menyeluruh.

“Seluruh tekanan akan dilepaskan dengan senaman yang cukup supaya mendapat peredaran darah yang baik dan fungsi sistem badan yang sempurna,” kata beliau lagi.

Beliau berkongsi mengenai penggunaan minyak aromaterapi yang berkesan untuk menyokong sistem badan, mental dan emosi yang sihat. Minyak aromaterapi dapat membantu tidur yang nyenyak supaya badan dapat berehat dan berfungsi dengan baik.

“Kesihatan sangat bernilai dan berharga kerana ianya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sememangnya, setiap individu dan keluarga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi memastikan kehidupan yang berkualiti dan bermanfaat selepas pandemik,” ujarnya lagi.

Dengan mengadakan aktiviti gaya hidup yang sihat pasca pandemik bersama keluarga, dapat mewujudkan masyarakat yang bebas daripada penyakit.

Kesedaran tersebut juga dapat diteruskan dengan menyebarkan kepentingan gaya hidup yang sihat di media massa dan media sosial agar lebih ramai masyarakat akan berminat untuk mengamalkan budaya hidup yang sihat dan berkualiti.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!