LIFESTYLE

BIBLIOTERAPI: SELAMI TERAPI JIWA KREATIF MELALUI BUKU


Isnin, 7 Jun 2021
Oleh Puti Iylia Maisarah

Umum mengetahui bahawa membaca merupakan budaya sihat yang dapat mendidik masyarakat menjadi lebih kreatif sekaligus mampu menjadi medium perantaraan bagi merawat jiwa dan emosi.


Jika kita telusuri sejarah penaklukan Kota Baghdad, perpustakaan agung Baitul Hikmah menjadi saksi kebijaksanaan sebuah tamadun unggul yang dipelopori cendekiawan sekaligus mengangkat ilmu sebagai khazanah peradaban.


Apabila kita alihkan lensa pada zaman tamadun Melayu, kemunculan bahasa Melayu sebagai lingua franca membuktikan bahawa perkembangannya tercetus sejajar dengan kewujudan ilmu pengetahuan melalui penemuan manuskrip melayu.


Senario ini jelas membuktikan bahawa buku dan ilmu memberi impak dalam pemerintahan dan pentingnya gaya hidup membaca dalam kehidupan insan bagi membenihkan jiwa intelektual.


Bagaimanapun membaca bukan sahaja menjurus kepada peranan perkembangan ilmu semata, malah mempunyai nilai estetika yang membawa kepada cabang keindahannya iaitu terapi jiwa melalui buku atau lebih dikenali sebagai biblioterapi.


Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, biblioterapi membawa maksud penggunaan bahan-bahan bacaan terpilih bagi tujuan rawatan teraputik dalam perubatan fizikal dan mental.


Perkataan biblioterapi berasal daripada bahasa Greek iaitu biblion yang membawa maksud buku dan therapia bermaksud penyembuhan.


Menurut Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA) yang giat memberi pendedahan berkenaan biblioterapi kepada pustakawan di Malaysia di laman rasminya, peranan biblioterapi masih belum diperkenalkan secara meluas di perpustakaan, namun para bibliofil atau pencinta buku menyatakan biblioterapi ini mampu menjadi perawat jiwa.


Berita DIMENSi menemu bual Iman Danial Hakim, 24, seorang bibliofil dan aktivis buku melalui siri Projek Perpustakaan anjuran Akademi Berbagi Buku, bagi menelusuri konsep pembacaan dan terapi jiwa kreatif melalui buku.


Iman bersama buku-bukunya.
(Sumber: Twitter /
@WehNakBacaApaNi)

Menurut Iman, konsep pengetahuan dan pengalaman beliau terbatas kerana dirinya tidak pernah mengalami kehidupan seorang tua Bidayuh beragama Pagan yang hidup di pedalaman rimba.


“Saya juga tidak pernah hidup sebagai paderi yang nazak dengan kanser di abad pertengahan. Saya adalah saya, dan saya mahu tahu bagaimana rasanya hidup sebagai orang lain iaitu melalui buku,” kata Iman menerusi temu ramah Berita DIMENSi melalui aplikasi Twitter.


Beliau juga berkongsi tentang impiannya untuk membuka perpustakaan bagi kanak kanak yang tiada akses kepada buku, sama ada di pedalaman, rumah kebajikan, penjara juvana atau di mana sahaja yang memerlukan.


Pemegang ‘Ikon pembaca’ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) ini percaya dengan magis sebuah buku mampu mengubah dunia bukan sahaja dalam melahirkan pemikiran kritis malah, mampu menjadi terapi buat insan yang mencari sinar harapan melalui pembacaan buku.


“Segalanya bermula pada tiga tahun yang lalu, saya baru sahaja mencecah usia 20 tahun dan selesai membaca buku Leaving Microsoft to Change the World karya John Wood seorang bekas eksekutif Microsoft yang nekad meninggalkan jawatan dan gaji besar kerana percaya pada magis sebuah buku.


“John Wood pasti dengan pilihannya mahu berbakti segenap usia untuk memberi akses pendidikan kepada anak-anak terpinggir di seluruh dunia.


“Daripada azam itulah lahirnya Room to Read, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan misi meningkatkan kadar literasi dan kesaksamaan hak dalam pendidikan di negara-negara membangun,” kata Iman.


Karya dan terjemahan buku Iman Danial Hakim.

(Sumber: Twitter / @WehNakBacaApaNi)

Penulis buku ‘Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi’ ini juga bersetuju sekiranya ada pengkaji yang menyimpulkan dan membuat kajian mengenai membaca adalah sebuah terapi.


“Apabila membaca karya fiksyen yang baik, jika seseorang watak mengatasi sebarang masalah dan cabaran dalam karya, pembaca boleh mempelajari sesuatu daripada fiksyen tersebut, lantas memberi kelegaan kepada pembaca.


“Begitu juga dengan karya bukan fiksyen, genre seperti bantu diri, kewangan dan kesihatan dapat memberi panduan dan nasihat kepada pembaca berkenaan isu kehidupan yang dihadapinya,” tambahnya lagi.


Bagi Iman prinsip beliau mudah, melalui pembacaan buku beliau dapat membuka ruang dimensi dalam mencari penyelesaian sekiranya terdapat masalah yang timbul.


Jelajah toko buku di Jakarta.

(Sumber: Twitter / @WehNakBacaApaNi)

Iman yang terkenal dengan himpunan bebenang di Twitter melalui akaun @WehNakBacaApaNi sering berkongsi pengalamannya dengan dunia pembukuan serta kopi dan baru-baru ini beliau melancarkan program buku yang memerlukan dirinya untuk menjelajah toko-toko buku di Malaysia menerusi Booktube Channel yang dikendalikan olehnya.


“Dengan membaca buku dan mencicip secawan kopi, saya memperoleh satu ruang privasi yang hanya dinikmati oleh saya sendiri, bebas gangguan, bebas masalah, hanya saya dan buku,” jelasnya lagi.


Benarlah bahawa terapi kreatif ini mampu memberikan ketenangan kepada pembaca tanpa memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi seperti Iman, lelaki bibliofil.

Like the article? Share it now!