LIFESTYLE

BERBADAN KURUS: SIHAT ATAUPUN TIDAK?


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Batrisyia Khaidar

Amalan gaya hidup sihat.

(Sumber: The Video Ink)

Bercakap tentang mereka yang berbadan kurus, ramai yang menganggap bahawa perkara itu adalah seronok.


Pasti ada di antara kita yang pernah terfikir, bagaimanakah mereka ini terus kekal kurus dan langsing walaupun sentiasa makan dalam kuantiti yang banyak?


Mereka yang datang daripada kelompok ini dipercayai tidak perlu bersusah payah untuk bersenam dan boleh menikmati apa sahaja makanan yang mereka mahu. Namun, adakah kita sedar bahawa berbadan kurus itu juga ada buruknya?


Golongan ini dikait rapat dengan istilah Thin Outside Fat Inside (TOFI). TOFI merupakan satu situasi di mana mereka yang berbadan kurus ini juga boleh mendapat penyakit berbahaya yang sama dihidapi oleh mereka yang obes seperti kencing manis, darah tinggi, dan juga penyakit jantung.


Bagi mereka yang mengalami masalah TOFI ini juga, risikonya adalah lebih kurang sama dengan mereka yang obes seperti mengalami “rintangan insulin” di mana badan mereka tidak akan bertindak balas dengan baik terhadap insulin.


Risiko untuk mendapat penyakit osteoporosis (kerapuhan tulang), sistem imunisasi yang lemah dan masalah kesuburan juga adalah tinggi bagi golongan wanita yang mengalami masalah TOFI ini.


Kadang-kala, punca sesetengah pasangan berkahwin yang masih tidak mendapat zuriat walaupun sudah bertahun-tahun lamanya dipercayai kerana mereka kekurangan berat badan dan nutrisi yang diperlukan oleh badan.


Agak sukar untuk mengesan sama ada seseorang itu mempunyai masalah TOFI atau tidak kerana secara fizikalnya, mereka kelihatan sihat dan normal.


Menerusi temubual Berita DIMENSi melalui Google Meet bersama Naim Sufi Muhammed, 27, ahli nutrisi berkata bahawa mereka yang mengalami masalah TOFI ini adalah sangat bahaya kerana apabila mereka berbadan kurus, mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak sihat.


“Secara psikologinya, apabila seseorang itu merasakan dirinya kurus, beliau tidak akan mengubah apa-apa dalam pemakanan sehariannya kerana mereka akan kekal kurus walaupun sentiasa makan dalam kuantiti yang banyak.


“Perkara ini agak membahayakan apabila berlakunya corak pemikiran sebegitu, mereka tidak tahu betapa pentingnya bersenam dan makan makanan yang berkhasiat,” kata Naim Sufi Muhammed menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.


Terdapat beberapa cara yang dilakukan oleh mereka yang ingin menambahkan berat badan dan mengelakkan diri daripada mengalami masalah TOFI.


1. Mengira jumlah kalori yang diperlukan dalam sehari

Disebabkan keperluan kalori dalam diet seharian bagi setiap individu adalah berbeza, kita dinasihatkan untuk mengira seberapa banyak nilai kalori yang diperlukan oleh badan dengan menggunakan Basal Metabolic Rate (BMR) kalkulator. Di sini, kita juga dapat mengetahui jumlah karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan oleh kita dalam sehari.


2. Memperbanyakkan makanan berkalori tinggi

Produk tenusu juga mempunyai nilai kalori yang tinggi.
(Sumber: Monash University)

Pengambilan makanan yang berkalori tinggi amat penting bagi mereka yang berhasrat untuk menambah berat badan. Makanan seperti keju, kekacang, roti tepung gandum penuh dan juga buah-buahan kering adalah antara makanan yang mempunyai nilai kalori yang tinggi. Walaupun kita mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit, namun ia masih mampu memberikan kalori yang mencukupi.


3. Senaman

Salah satu senaman yang mampu meningkatkan dan menguatkan otot dalam badan.
(Sumber: Freepik)

Bagi mereka yang ingin menambahkan berat badan, adalah digalakkan untuk melakukan senaman yang dapat membina dan menguatkan otot-otot dalam badan. Sebagai contoh, angkat berat, tekan tubi, lunges, bench press, plank, dan squats.

Lain pula ceritanya dengan pengambilan makanan tambahan atau lebih dikenali sebagai suplemen. Rata-rata daripada kita sering menganggap bahawa pengambilan makanan tambahan dalam pemakanan seharian adalah sesuatu yang perlu dilakukan.

Persoalannya, adakah kita benar-benar memerlukan makanan tambahan tersebut? Sedangkan yang sebetulnya, makanan tambahan itu ialah tambahan kepada diet seharian kita sahaja.

Jika diet seharian kita sudah lengkap dengan karbohidrat, protein dan lemak, maka tidak digalakkan untuk mengambil makanan tambahan lagi.

Sungguhpun mereka yang berbadan kurus ini sememangnya sukar untuk menambahkan berat badan, namun tiada apa yang mustahil. Dengan usaha dan langkah konsisten yang dilakukan untuk kekal sihat, ia pasti akan membuahkan hasil.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!