LIFESTYLE

BANK KE ARAH DUNIA DIGITAL


Jumaat, 4 Jun 2021
Oleh Iman Husna

SHAH ALAM – Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah mengakibatkan keruntuhan ekonomi. Rata-rata syarikat perbankan di Malaysia telah mula mengorak langkah ke arah dunia digital bersesuaian dengan tuntutan semasa.


Dalam usaha memulihkan keadaan ekonomi Malaysia, pendekatan digital telah digunapakai dan ia dilihat lebih efisien dalam mengukuhkan infrastruktur dan teknologi supaya sektor ekonomi terus kukuh.


Kad kredit.

(Sumber : Unsplash / CardMapr.nl)

Berita DIMENSi telah menghubungi beberapa pegawai bank melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap perubahan yang telah berlaku kepada sektor perbankan.


Sabrina Hairudin, Penganalisis Risiko Kredit Citi Bank ketika ditemubual mengatakan industri perbankan telah mengalami kemerosotan keuntungan kerana pelanggan tidak dapat menjelaskan hutang mereka.


“Kesan yang paling ketara adalah penurunan keuntungan. Ini kerana pelanggan tidak mampu untuk melangsaikan hutang rumah dan kenderaan mereka.


“Pelaksanaan moratorium yang dilaksanakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas juga menyebabkan pembayaran diterima kepada bank jauh lebih rendah,” katanya.


Dalam kesulitan untuk keluar dan melakukan interaksi secara terbuka, kini netizen telah beralih kepada norma baharu yang mana bekerja, berkomunikasi sesama sendiri dan melakukan aktiviti jual beli secara atas talian.


Contohnya, aplikasi online shopping, e-wallet, cashback diguna dengan meluas pada hari ini terutamanya dalam pembelian atas talian atau e-dagang.


Ia sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada para pelanggan untuk melakukan transaksi kerana setiap urusan kini di hujung jari dan dapat diselesaikan dengan cepat dan menjimatkan masa.


Alya Zaipul Bahrin, Eksekutif Bank Rakyat berkata dalam memastikan proses digital perbankan berjalan dengan lancar serta memberi servis yang terbaik, sektor perbankan perlu mempunyai strategi dan fokus yang jelas.


“Sebelum pandemik, fokus bank hanya untuk meningkatkan jualan, tetapi sekarang fokus kami ditumpukan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggan.


“Pelbagai usaha telah berjaya dilakukan dalam digital banking ini seperti pengurusan tunai dan membina e-platform untuk memudahkan hubungan bank dan sektor korporat terutama sekali perniagaan,” ujar Alya.


Kad kredit atau debit sering digunakan dalam urusan pembelian.

(Sumber : Unsplash / Oliur)

Contohnya, sebarang pembayaran melalui dalam talian, perkhidmatan kewangan automatik serta produk pembiayaan seperti kredit atau debit digunakan dengan meluas dalam laman sesawang.


Ezza Farhani, Penganalisis Bank Rakyat berkata syarikat perbankan harus terus berdaya saing dan berusaha untuk mendalami ilmu perniagaan digital sebagai persediaan masa hadapan. Oleh itu, pihak bank perlu terus menambah baik sistem mengikut maklum balas pelanggan.


“Dengan pandemik yang sedang berlaku ini, masa depan sektor perbankan telah mengalami perubahan dan amat penting untuk mempelajari ilmu digital dengan lebih mendalam.


“Ini penting untuk memastikan kami sendiri handal dan cekap untuk menguruskan transaksi seiring dengan kemajuan teknologi zaman kini.


“Bank perlu menitikberatkan maklum balas pelanggan sebagai proses penambahbaikan yang perlu dilakukan,” kata Ezza ketika ditemubual Berita DIMENSi.


Amalena Ghazali, Perunding Kamakura Corporation, berkata pihak bank juga harus menitikberatkan perspektif masyarakat kerana prestasi bank adalah bergantung kepada kepuasan atau penilaian pelanggan.


“Setiap maklum balas itu penting, tidak kisah memuaskan atau tidak, ia perlu sentiasa diambil kira kerana penilaian itu akan menentukan prestasi sesebuah bank itu,” kata Amalena kepada Berita DIMENSi.


Interaksi yang senang dan cepat antara pelanggan dan pihak bank perlu sentiasa diterapkan agar sebarang proses pembayaran dapat bergerak laju tanpa masalah atau ketidakpuasan hati.


Oleh itu, pengurusan data dan analisis perlu dititikberatkan seperti pandangan para pelanggan, tahap kecekapan pekerja dan pihak bank dalam melakukan keputusan untuk mengekalkan prestasi yang bagus.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!