URBAN

BAJU TRADISIONAL MASIH PILIHAN RAMAI

Rabu, 4 Mei 2022
Oleh Nurul Hana

SHAH ALAM - Sungguhpun dunia fesyen membangun dengan begitu pasat, namun kepelbagian pakaian yang dihasilkan tidak mampu mengenepikan identiti utama orang Melayu iaitu baju tradisional yang kekal relevan sepanjang zaman.

Selaras dengan berlakunya peredaran zaman, pelbagai busana rekaan moden telah pun muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu masa ini.

Shahmi Shafion di butiknya, Butik Arca ingin melestarikan fesyen baju tradisional kepada generasi muda.

(Sumber: BERITA DIMENSi/Nurul Hana)

Shahmi Shafion, 21, pemilik butik pakaian tradisional Melayu iaitu Butik Arca di Resort World Kijal, Terengganu, mendapati permintaan pakaian tradisional masih ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Peningkatan pembelian dalam kalangan masyarakat menjadikan dia lebih berani menceburkan diri dalam perniagaan yang jarang diceburi oleh anak muda masa ini.

“Keputusan saya membuka perniagaan ini bermula pada Disember 2018 apabila mengetahui terdapat kekosongan premis di sekitar kawasan tersebut, sekaligus merebut peluang untuk memastikan pakaian ini kekal hidup dalam kalangan masyarakat tempatan,” ulas Shahmi menerusi temubual bersama Berita Dimensi melalui WhatsApp.

Kedai Shahmi, Arca Butik yang hanya menjual pakaian baju kurung tradisional.

(Sumber: BERITA DIMENSi/Nurul Hana)

Katanya lagi, kebanyakan corak dan ciri-ciri pakaian butik mereka ditambah baik mengikut maklum balas yang diterima daripada pelanggan serta menghasilkan jenis dan mengekalkan ciri-ciri asli.

Trend fesyen baju kurung pada masa ini tidak menjadi satu masalah yang besar untuk dia menghasilkan jenis dan ciri-ciri asli pakaian Melayu.

Shahmi mempromosikan pakaiannya secara dalam talian dan menjualnya secara offline kerana mereka mempunyai satu premis di Resort World Kijal dan tujuh premis di Parkson sekitar Lembah Klang.

Tambah Shahmi, dia juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan harga yang tidak terlalu tinggi juga tidak merugikan dia.

Anak muda hari ini lebih menyukai pakaian yang coraknya minimalis, terkini, selesa dan mempunyai harga mampu milik.

Khidmat ‘influencer’ pada masa ini sangat membantu bagi menghidupkan kembali pakaian tradisional Melayu dalam kalangan orang tempatan.

Baju kurung tradisional masih lagi dipakai oleh majoriti wanita dalam era moden ini.

(Sumber: BERITA DIMENSi/Nurul Hana)

Nurin Batrisya Abdullah, 21, penggemar pakaian baju kurung tradisional mengatakan bahawa, baju kurung adalah satu busana tradisi yang ringkas dan elegant untuk dipakai pada musim perayaan.

Ramai yang lebih memilih pakaian moden yang mempunyai pelbagai corak dan jenis, tetapi tradisi pakaian baju kurung tradisional ini tidak pernah sekalipun lekang daripada pilihan hati rakyat Malaysia.

“Pada saya, ianya terpulang kepada cita rasa masing-masing tetapi tidak dinafikan generasi muda kini lebih meminati baju kurung moden berbanding baju kurung tradisional kerana bagi mereka baju kurung tradisional agak ketinggalan zaman,” kata Nurin Batrisya menerusi temu bual bersama Berita Dimensi melalui WhatsApp.

Impian dan harapan Shahmi Shafion adalah agar dia dapat mengeksport pakaian tradisional Melayu ke pasaran antarabangsa suatu hari nanti dan generasi muda yang akan datang tidak membiarkan pakaian ini ditelan dek zaman.

“Generasi muda tempatan perlu menyedari bahawa pakaian tradisional ini adalah bukti dan lambang warisan budaya masyarakat Melayu. Jika kita sebagai warga tempatan tidak menjaganya, warisan kita hanya menjadi sejarah dan pupuslah identiti tradisi untuk generasi akan datang,” katanya.


Like the article? Share it now!