URBAN

PERAYAAN GAWAI DAYAK TIDAK LENGKAP TANPA AYAM PANSUH

Jumaat, 29 April 2022
Oleh Ellisia Tingass

Ayam pansuh yang siap dimasak.(Sumber: Ayam Pansuh Air Tangan Sarawak/MAGGI)

BAU - Ayam pansuh merupakan makanan tradisi dalam kalangan masyarakat Bidayuh di Sarawak terutamanya ketika perayaan Gawai Dayak dan keraian lain yang tidak akan lengkap tanpa hidangan ini.

Judy Macliss, 22, bekerja sebagai seorang kerani berkata, ayam pansuh merupakan hidangan utama ketika musim perayaan tersebut kerana makanan itu merupakan makanan tradisi nenek moyang mereka sejak dahulu kala dan menyemarakkan lagi semangat perayaan.

Keunikan rasa ayam pansuh ini juga menjadikan makanan ini diangkat sebagai tradisi turun-temurun masyarakat Bidayuh meskipun cara penyediaannya agak rumit kerana menggunakan batang buluh.

Bahan-bahan yang perlu disediakan untuk hidangan ayam pansuh.

(Sumber: BERITA DIMENSi)

Sementara itu, seorang pesara, Rosa Joleh, 61, menyatakan bahawa ayam pansuh bukan sahaja menjadi makanan tradisi kaum Bidayuh, tetapi turut juga menjadi makanan tradisi bagi kaum Iban yang digelar sebagai manok pansuh.

Dia juga berkata bahawa pada masa ini hampir semua kaum di Sarawak mahir membuat ayam pansuh kerana amalan perkahwinan campur antara kaum di negeri tersebut.

“Pada masa kini, kaum lain yang ada di Sarawak juga boleh membuat ayam pansuh jika teringin hendak memakan ayam pansuh kerana siapa sahaja yang tidak menyukai ayam pansuh dengan cara masakannya yang unik, dan dengan rasa yang cukup sedap dicampur dengan pucuk ubi, sekali cuba, pasti hendak makan lagi.

“Cara masakannya yang berlainan dan dicampur pula dengan pucuk ubi menyebabkan masakan ini menarik serta menjadi pujaan orang ramai di Sarawak,” katanya.

Keunikan ramuan ayam pansuh bukanlah penentu utama bagi keenakan rasanya tetapi kepakaran dalam gaya penyediaan dan masakannya turut memainkan peranan yang penting.

Untuk menghasilkan ayam pansuh yang enak sangat sukar kerana tukang masak perlu mencari batang buluh di sekitar kawasan hutan selain memastikan buluh tersebut sesuai sebelum direndam bagi menjamin kebersihannya untuk memulakan proses memasak.

Tambahnya lagi, sementara menunggu buluh tersebut direndam hingga bersih, ayam harus diperap selama satu atau dua jam sebelum dimasak. Kemudian, ayam yang diperap itu akan dibakar di dalam buluh tersebut sehingga mengeluarkan aroma yang harum.

“Bahan utama yang diperlukan untuk memerap ayam ialah lengkuas, serai dan setangkas batang tepus,” kata Judy Macliss yang berkongsi tentang ramuan asas untuk menyediakan perapan ayam pansuh kepada wartawan Berita DIMENSi.

Keunikan dan kepelbagaian etnik di Sarawak telah melahirkan aneka masakan dan hidangan yang dapat dinikmati oleh semua masyarakat di negeri tersebut selain penguasaan kemahiran untuk menyediakannya.

Buktinya, ayam pansuh yang menjadi makanan tradisi bagi kaum etnik Dayak (Bidayuh dan Iban) juga boleh disediakan oleh kaum lain, meskipun cara masakannya agak rumit kerana penggunaan batang buluh namun itu sedikit pun tidak menghalang mereka untuk bersama-sama berkongsi kenikmatan juadah tersebut.


Like the article? Share it now!