URBAN

AKOK: JUADAH ISTIMEWA NEGERI CHE SITI WAN KEMBANG

Isnin, 25 April 2022
Oleh Irfan Asyraf

KOTA BHARU – Akok tidak asing lagi merupakan antara kuih tradisional yang menjadi kegemaran bagi segenap lapisan masyarakat Melayu terutama di kawasan timur Malaysia.

Rasa unik menjadikan akok sebagai kuih yang akan sentiasa menjadi pilihan utama ketika musim perayaan atau majlis keraian oleh rakyat tempatan.

Keistimewaan akok terletak pada cara pembuatannya yang berbeza dengan kuih-muih tradisional lain bagi mengekalkan keaslian dan kualiti rasa mengikut tradisi turun-temurun.

Teksturnya lembut dengan aromanya wangi, disertai pula dengan nikmat cair di mulut apabila dimakan pasti dapat menawan hati sesiapa yang mencuba juadah tersebut.

Akok bunga yang disediakan Pak Weil Akok Salor di Kota Bharu, Kelantan.
(Sumber: Berita DIMENSi)

Reputasi kuih akok sebagai kuih kegemaran yang dikenali hampir setiap lapisan masyarakat di Malaysia menjadikan rasa dan juadah ini tidak akan lapuk ditelan zaman.


Akok Sinonim Dengan Kelantan

Kuih akok merupakan sinonim kepada negeri Kelantan yang sangat rapat dengan hati dan asal-usul rakyatnya yang sentiasa memilih kuih tersebut sebagai juadah wajib untuk makan petang atau sewaktu berbuka puasa di bulan Ramadan.

Pak Weil Akok Salor merupakan salah satu gerai akok yang terbaik di Kelantan dengan jumlah penghargaan yang dimilikinya selain pernah membuat kemunculan di kaca televisyen dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan dan Ketuk Ketuk Ramadan.

Terletak di antara Jalan Pasir Mas menghala ke Kota Bharu, kedai Pak Weil Akok Salor ini sering menjadi tumpuan ramai tidak kira pengunjung dari luar negeri mahupun rakyat tempatan dari negeri Kelantan sendiri.

“Gerai ini telah ditubuhkan sejak tahun 1985 lagi. Keluarga saya merupakan generasi ketiga dalam perniagaan akok,” kata Mohamad Rosmizi, pemilik Pak Weil Akok Salor ketika ditemuramah oleh wartawan DIMENSi.

Kedai kuih yang sudah lebih 30 tahun bertapak di negeri Kelantan ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga satu petang dan menghasilkan lebih daripada 20,000 biji akok setiap hari.

Rosmizi, pemilik Pak Weil Akok Salor sedang menyediakan Akok untuk pelanggannya.
(Sumber: Berita DIMENSi)

Pemilik kedai yang berusia 55 tahun itu juga menjelaskan bahawa Pak Weil Akok Salor mampu mendapatkan keuntungan hampir RM3,000 setiap hari terutamanya ketika bulan Ramadan.

“Di bulan Ramadan, pelanggan dari seluruh pelosok negara akan datang berpusu-pusu untuk mencuba akok yang disediakan oleh kami.

“Alhamdulillah, tradisi dan penjualan akok dapat menampung hampir 20 orang pekerja kami,” katanya.


Cara Pembuatan Akok

Pak Weil Akok Salor menyediakan dua jenis akok berbeza sebagai sajian utama mereka iaitu akok bunga dan akok telur.

Kedua-dua jenis akok ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan dibezakan melalui bentuk dan sukatan dalam proses penyediaan akok tersebut.

Pada dasarnya, kuih ini hanya menggunakan bahan yang sama seperti telur, tepung gandum, santan, gula pasir, garam dan helaian daun pandan tetapi berlainan acuan.

Antara rahsia utama yang memberi kelainan pada rasa kuih akok Pak Weil Akok Salor dan pesaing yang lain adalah cara masakannya yang unik.

Teknik memasak secara tradisional yang diamalkan secara turun-temurun telah terbukti berjaya mengekalkan rasa yang sama pada kuih akok mereka dari zaman ke zaman.

Cara pembuatan akok di Pak Weil Akok Salor dengan kaedah tradisional yang telah berjaya menambat hati pelanggan sehingga kini.
(Sumber: Berita DIMENSi)

Pandangan Masyarakat Mengenai Akok

Muhfiz, 33, salah seorang pelanggan yang tidak terlepas untuk merasai kemeriahan membeli Pak Weil Akok Salor.

“Saya ke sini setiap tahun ketika Ramadan untuk membeli akok yang telah pun menjadi kegemaran keluarga saya.

“Akok diperkenalkan oleh ayah saya, dan masih dinikmati oleh kami sekeluarga,” kata Muhfiz ketika ditemuramah oleh wartawan Berita DIMENSi.

Kuih akok akan kekal menjadi salah satu kuih yang paling digemari oleh rakyat tempatan. Rasanya yang istimewa dan unik akan sentiasa menjadi idaman dan pilihan utama dalam kalangan kuih di Malaysia.


Like the article? Share it now!