ENTERTAINMENT

TIKTOK DALAM MENAPIS KANDUNGAN TIDAK

BERETIKA DAN BERMORAL


Jumaat, 18 Jun 2021
Oleh Ainaa Husna

Apabila berbicara tentang aplikasi TikTok, ia bukan sahaja menjadi kegilaan golongan muda untuk menunjukkan bakat mereka seperti tarian dan aksi lucu tetapi ada kalanya disalahgunakan. Jika ada segelintir pengguna yang menyalahgunakan platform ini, perkara ini akan menyebabkan aplikasi TikTok terpaksa menapis kandungan yang tidak beretika dan bermoral.


TikTok merupakan aplikasi yang aktif digunakan oleh pengguna zaman kini.
(Sumber: TechRadar)

Berbicara dalam konteks yang sama, aplikasi TikTok ini dilihat bukan sahaja digunakan sebagai tujuan hiburan semata-mata, tetapi ia giat digunakan oleh pengguna yang memuat naik video-video bagi tontonan umum.


Namun, platform yang sedang popular digunakan dalam kalangan golongan muda kini rata-rata menghasilkan video buatan sendiri yang ada kalanya tidak mengikuti garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh TikTok. Hal ini telah mengakibatkan aplikasi TikTok melarang pengguna untuk memuat naik video yang mempunyai kandungan tidak beretika.


Berita DIMENSi telah menghubungi penyelia kandungan ByteDance, Aliyah Raihan menerusi e-mel dan WhatsApp bagi mendapatkan pandangan beliau dalam peranannya mengenal pasti elemen-elemen yang diperlukan bagi menapis dan membuang video daripada TikTok sekiranya ia melanggar garis panduan komuniti yang ditetapkan.


“Sebagai penyelia kandungan untuk TikTok, saya dilatih dengan garis panduan yang ketat dalam menyelia video-video untuk dimuatnaik oleh pengguna. Antara elemen-elemen yang menyebabkan sesuatu video itu dihantar ke Emergency Response Team (ERT) adalah apabila melibatkan kes seperti bunuh diri , keganasan melampau dan sebagainya,” katanya.


Tambah beliau, kandungan video yang bersifat provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan juga akan ditapis dan dibuang oleh TikTok.


“Aplikasi TikTok sentiasa mengemaskini polisi yang perlu diselia dalam sesuatu kandungan video mengikut perkembangan isu semasa, termasuklah video yang melibatkan isu dan kandungan sensitif dari masa ke semasa.


“Misalnya, kandungan berbentuk counter speech terhadap ucapan kebencian adalah dibenarkan termasuklah kandungan berbentuk neutral discussion tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. Kemas kini ini dilakukan oleh pelatih polisi setiap kali terdapat isu baru,” ulas beliau.


Moderator kandungan itu menyatakan bahawa kandungan grafik yang berbahaya juga termasuk dalam elemen yang perlu ditapis dan dibuang oleh mereka kerana mempunyai unsur-unsur buruk serta gejala sosial yang bertentangan dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh TikTok.


“Secara amnya, perlakuan seseorang adalah di luar kawalan penyelia kandungan kerana penyelia kandungan hanya bertanggungjawab untuk memastikan kandungan yang dimuat naik oleh pengguna menepati polisi yang telah ditetapkan oleh pihak TikTok.


“Kandungan yang berunsur keganasan dan lucah sekiranya tidak dibendung sudah tentu akan mendatangkan keburukan kepada pengguna. Jadi, peranan penyelia kandungan adalah penting bagi meneliti setiap video sebelum menjadi tontonan umum di platform TikTok,” katanya.


Beliau juga menekankan tentang usaha yang giat dilakukan TikTok dalam memastikan tiada Loophole akan berlaku apabila pengguna menonton sebarang video.


TikTok ‘Don't Search This Up’ di dalam trend yang digunakan pengguna aktif TikTok.
(Sumber: ITV)

“Salah satunya ialah melalui trend Don’t Search This Up yang sering kali dapat dilihat melepasi tetapan penyeliaan aplikasi TikTok. Kami akan menyelia kandungan dari pelbagai aspek seperti terdapat penyelia kandungan yang meneliti video secara keseluruhan dan ada juga penyelia kandungan yang khusus meneliti teks/kapsyen serta hanya mendengar audio.


“Dengan adanya penyeliaan yang lebih menyeluruh, ia sukar untuk trend-trend sebegini dipaparkan ke platform TikTok kerana penyelia kandungan akan meneliti teks/kapsyen sekaligus mempertimbangkan sama ada trend seperti Don’t Search This Up mengandungi amaran keras yang mungkin melanggar garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya apabila ditemu bual oleh Berita DIMENSi.


Dia juga menasihati agar semua pengguna aplikasi TikTok bijak dalam meneliti setiap polisi yang telah ditetapkan oleh TikTok sebelum memuat naik sebarang video.


“Sebilangan pengguna TikTok mungkin tidak menyedari bahawa video yang dimuat naik oleh mereka mungkin mengandungi unsur sensitif yang mampu menyebabkan video mereka dihapuskan. Pengguna TikTok terutamanya golongan muda perlu memahami garis panduan yang telah ditetapkan sewaktu mereka memuat turun aplikasi TikTok,” tegas beliau.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!