ENTERTAINMENT

#SAVECINEMAS - WAJARKAH INDUSTRI PAWAGAM BEROPERASI?


Rabu, 2 Jun 2021
Oleh Lily Nazeera

Pengunjung mengamalkan penjarakan dan memakai pelitup muka di dalam pawagam.
(Sumber: MalayMail / Yusof Mat Isa)

Pawagam yang dahulu sering menayangkan filem sebagai sumber hiburan warga watan kini hanya menjual bertih jagung dan snek untuk bertahan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac 2020.


Menurut Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), industri pawagam telah kerugian sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 akibat penutupan pawagam.


Industri pawagam pernah dibenarkan beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan syarikat-syarikat pawagam juga telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.


Antara SOP yang dipraktikkan adalah seperti pemakaian pelitup muka sepanjang berada di premis dan penjarakan tempat duduk di dalam pawagam. Pelanggan hanya dibenarkan untuk duduk bersama jika mereka merupakan ahli keluarga atau menetap di rumah yang sama. Selain itu, pawagam turut disanitasi tiga kali sehari. Senarai SOP yang lebih lanjut boleh didapati di laman web rasmi TGV Cinemas.


Namun begitu, detik bahagia buat industri pawagam tidak berkekalan apabila industri tersebut diarah untuk tutup serta-merta akibat daripada perlaksanaan PKP yang berulang. Belum sempat untuk industri pawagam pulih, makin bertambah perit nasib yang harus dihadapi.


Pada 8 Mei yang lepas, salah satu syarikat pawagam terbesar di Malaysia telah memuat naik satu ciapan di media sosial Twitter beserta tanda pagar #SaveCinemas ataupun (Selamatkan Pawagam). Ciapan tersebut menunjukkan rasa ketidakpuasan hati dan menyeru badan-badan yang bertanggungjawab untuk berlaku adil dengan membenarkan industri pawagam beroperasi semula.


Golden Screen Cinemas (GSC) juga mempersoalkan mengapa kilang dan bazar dibenarkan beroperasi sedangkan kedua-dua industri tersebut mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding industri pawagam yang merekodkan sifar kes positif COVID-19.


Tangkapan skrin ciapan yang dimuat naik oleh akaun Twitter Golden Screen Cinemas (GSC).
(Sumber: Twitter / @GSCCinemas)

Oleh kerana industri pawagam tidak dibenarkan beroperasi, syarikat pawagam seperti GSC dan TGV Cinemas terpaksa bergantung harap kepada jualan bertih jagung dan snek.


Amelia Yuliana Abd Wahab, 40, seorang peminat tegar filem yang sering berkunjung ke pawagam menyuarakan pendapat beliau dalam sesi temu bual melalui e-mel bersama Berita DIMENSi.


“Berdasarkan pengalaman peribadi saya pada tahun 2020, saya telah berkunjung ke pawagam sebaik sahaja ia dibenarkan beroperasi setelah beberapa bulan ditutup.


“Daripada proses membeli tiket secara dalam talian, pembelian makanan dan minuman, keadaan di dalam pawagam dan penjarakan tempat duduk; saya boleh katakan semuanya dijaga dengan rapi. Tiada interaksi fizikal antara pengunjung dan pelitup muka diwajibkan sepanjang keberadaan di premis,” katanya berkenaan SOP yang dilaksanakan.


Amelia turut berkata bahawa pihak berkuasa sepatutnya tidak berat sebelah dan mesti berlaku adil dalam menjaga kebajikan industri-industri dalam negara serta pekerja.


“Ia sangat tidak wajar dan tidak adil jika industri pawagam tidak dibenarkan beroperasi tetapi industri dan sektor hiburan yang lain dibenarkan beroperasi,” tambahnya lagi.


TGV Cinemas terpaksa mencari alternatif untuk bertahan sepanjang tempoh sukar ini dengan menjual bertih jagung dan snek.
(Sumber: Twitter / @TGVCinemas)

Sementara itu, Maryam Naqibah Mohd Adam, 21, mempunyai pendapat yang berbeza berkaitan pembukaan industri pawagam.


“Saya merasakan bahawa industri pawagam harus ditutup seketika kerana keadaan pawagam yang sempit dan terkurung membolehkan virus COVID-19 mudah merebak.


“Namun, pihak berkuasa sewajarnya memberikan perhatian yang lebih kepada industri ini supaya ia mampu bertahan. Sebagaimana pihak yang bertanggungjawab bertungkus lumus membantu sektor-sektor lain seperti perniagaan kecil, industri pawagam sama sekali berhak diberikan bantuan kerana mereka juga ada pekerja yang perlu meneruskan kehidupan,” katanya dalam temu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama Berita DIMENSi.


Pada 9 Mei 2021, salah satu syarikat pawagam di Malaysia iaitu MCAT Box Office (MBO) Cinemas memuat naik status di Facebook mengucapkan selamat tinggal sempena penutupan tirai syarikat tersebut akibat terjejas teruk ekoran krisis COVID-19 dan PKP.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!