ENTERTAINMENT

‘PROJEK: ANCHOR SPM’ RAIH PUJIAN NETIZEN


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Najla Zaid

Poster Tayangan Perdana Projek: Anchor SPM berjaya meraih pujian warga netizen.
(Sumber: Telegram Projek Anchor SPM 2021)

‘Projek: Anchor SPM’ adalah siri televisyen premium di bawah naungan Astro Originals yang diilhamkan oleh kisah sebenar di Malaysia dan berjaya menjadi buah mulut dalam kalangan generasi milenium apabila menerima maklum balas yang positif daripada rata-rata penonton.


Projek: Anchor SPM membawa kisah fiksyen berlatarbelakangkan tahun 2003. Drama ini merupakan inspirasi daripada sekumpulan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang bertungkus-lumus mengatur strategi mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Ciapan pujian daripada warga netizen melalui Twitter.
(Sumber: Twitter / @alipHussaini)

Ciapan pujian daripada warga netizen melalui Twitter.
(Sumber: Twitter / @Haqeem_Zamri)

Plot utama drama ini menerima pujian dan maklum balas yang positif daripada warganet kerana genre ‘coming of age story’ seperti ini jarang diketengahkan dalam industri penyiaran tanah air.


Aliff Hussaini Fadzli, 22, penonton drama Projek: Anchor SPM berkata sebagai salah seorang bekas pelajar SBP, beliau amat memahami apa yang dilalui oleh watak-watak dalam drama ini.


Misalnya, semangat setia kawan antara ahli kumpulan, sekolah yang terlalu mengejar akan kedudukan SBP, serta tekanan yang dialami apabila orang luar mengharapkan pelajar yang dikira “pandai” untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.


“Walaupun drama ini mengisahkan tentang penipuan dalam peperiksaan, namun terdapat pelbagai pengajaran yang boleh diambil. Antaranya adalah pelajar tidak perlu terlalu tertekan dan terbeban dengan tekanan peperiksaan SPM.


“Selain itu, semangat setia kawan yang kuat, kepentingan bersikap jujur dan kepentingan untuk menjaga hubungan dengan ahli keluarga perlu disemai dalam diri setiap pelajar.


“Drama ini tidak mengagungkan atau mengajar kita untuk meniru dalam peperiksaan, tetapi ia menunjukkan bahawa setiap perkara yang kita lakukan pasti ada balasannya,” ujar Aliff melalui temu bual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ciapan pujian daripada netizen melalui Twitter.

(Sumber: Twitter / @alipHussaini)

Antara babak sinematografi yang menarik dalam drama Projek: Anchor SPM.
(Sumber: Twitter / @alipHussaini)

Aliff, pelajar tahun dua jurusan Penyiaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata sinematografi dan ton warna yang digunakan dalam drama ini sangat menarik dan kelihatan lebih mahal serta sinematik.


“Sinematografi, konsep, warna, muzik juga berlainan daripada drama yang biasa ditayangkan di Malaysia ini.


“Jalan cerita yang segar, sinematografi yang indah, serta lakonan yang baik dalam drama ini wajar diberikan pujian yang tinggi. Saya amat menyukai konsep menggunakan latar belakang tahun 2003 dan bukannya tahun semasa.


“Sebagai seorang pelajar jurusan penyiaran, saya merasakan drama ini memberi kelainan yang luar biasa terhadap industri hiburan Malaysia. Memang wajar industri hiburan Malaysia menghasilkan pelbagai drama seperti ini; drama yang penuh pengajaran, membawa kelainan dan keunikan serta tidak klise.


“Drama di Malaysia sudah dipenuhi dengan lambakan drama yang mempunyai kisah yang sama sebagai contoh konflik dalam percintaan. Golongan muda terutamanya sudah lali dan bosan dengan drama klise seperti berikut.


“Hal ini juga menyebabkan ramai penonton berpindah ke platform lain yang menghidangkan kepelbagaian drama yang menarik seperti Netflix, Viu, dan Disney+,” katanya.


Projek: Anchor SPM telah berjaya membuktikan bahawa masih lagi terdapat kualiti dalam industri hiburan tempatan. Plot yang diketengahkan juga jarang digunakan oleh kebanyakan drama di Malaysia.


Genre yang seringkali disajikan kepada penonton Malaysia ialah seperti genre seram, cinta, ataupun gangsterisme. Sudah tiba masanya industri Malaysia menyediakan lebih banyak variasi kepada penonton dan tidak hanya menggunakan formula yang sedia ada.


Secara keseluruhannya, drama 'Projek: Anchor SPM' ini merupakan sesuatu yang baharu, luar biasa dan wajar dijadikan sebagai batu loncatan oleh pihak produksi yang lain.


Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!