ENTERTAINMENT

PONDOK SENI: MEDIUM ALTERNATIF PENDIDIKAN SENI KREATIF DI MALAYSIA


Rabu, 16 Jun 2021
Oleh Ahmad Irfan Bobby

Amir Jahari, pengasas Pondok Seni.
(Sumber: NOTAKATA)

Usaha penyanyi Amir Jahari untuk mewujudkan sebuah institusi pendidikan seni kreatif tercapai apabila berjaya menubuhkan institusinya sendiri yang diberi nama sebagai Pondok Seni.


Pondok Seni adalah sebuah institusi yang membawa konsep mengaji di sekolah pondok atau madrasah yang menggunakan rehal, serta mempelajari ilmu teori serta praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan dengan bermottokan Adab, Ilmu dan Amal.


Menurut Pengasas Pondok Seni, Amir Jahari semasa temu bual secara maya bersama Berita DIMENSi, Amir menyatakan bahawa konsep islamik ini diterapkan kepada Pondok Seni kerana seni muzik ini adalah sebuah seni yang berjaya mendekatkan dirinya kepada Tuhan.


“Tidak mustahil untuk orang yang mempelajari seni ini mampu untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan,” tambah Amir.


Tekad Amir Jahari untuk menubuhkan Pondok Seni tercetus apabila dia ingin memberikan sepenuh ilmu berdasarkan pengalamannya sebagai penyanyi dan sekaligus mengutamakan ilmu praktikal dalam pembelajaran.


“Lebih baik kita terapkan ilmu praktikal yang sememangnya boleh diamalkan dan digunakan dalam kehidupan sebenar,” jelas Amir.


Barisan tenaga pengajar Pondok Seni yang berpengalaman luas dalam bidang masing- masing.
(Sumber: Laman Web Pondok Seni Official)

Antara perbezaan Pondok Seni dengan institusi pendidikan seni yang lain adalah dari segi pengambilan tenaga pengajar yang mempunyai latar belakang seni kreatif yang kukuh serta berpengalaman luas terhadap bidang seni yang diajarkan.


“Sebagai contoh saya adalah guru untuk kelas penulisan dan penciptaan lagu. Saya menggunakan kaedah-kaedah sendiri yang lebih mudah untuk difahami berdasarkan pengalaman dan penglibatan saya dalam industri muzik Malaysia.


“Terkini, Pondok Seni mempunyai 20 orang pelajar dan sememangnya kita hanya menawarkan tempat yang terhad untuk memastikan tahap kefahaman dan fokus pelajar semasa sesi pembelajaran berada di tahap yang terbaik,” ujar Amir.


Mengulas lanjut berkaitan subjek yang ditawarkan di Pondok Seni, Amir menyatakan bahawa terdapat tujuh jenis kelas dan setiap kelas pengajiannya berbeza-beza yang terdiri daripada kelas asas bermain gitar, kelas piano, kelas lukisan, kelas Bahasa Arab Komunikasi, kelas rakaman rumah-studio, kelas penulisan dan penciptaan lagu, dan kelas seni vokal.


Apabila ditanya mengenai harga pengajian yang ditawarkan, Amir menjelaskan bahawa harga yang ditetapkan adalah berpatutan dengan kepakaran tenaga pengajar serta modul yang dibekalkan kepada pelajar.


“Kita tidak boleh meletakkan harga yang terlalu tinggi kerana takut kehilangan pelanggan, juga tidak mampu memberikan harga yang terlalu rendah kerana bagi saya ilmu ini adalah sesuatu perkara yang perlukan pelaburan supaya ilmu yang dipelajari itu akan sentiasa dihargai dan tidak diambil kesempatan,” hujah Amir.


Syahirah Khairulanwar, 25, seorang pelajar amatur kelas dram, turut berpendapat bahawa kadar harga yang ditawarkan adalah sangat berbaloi, semasa ditemu bual melalui WhatsApp oleh Berita DIMENSi.


“Harga kadar bayaran sesuatu kelas itu amat penting kerana kita boleh melihat ramai yang takut untuk mengambil kelas muzik kerana harga kelasnya yang mahal namun Pondok Seni telah menawarkan harga yang sangat berpatutan dengan kemahiran tenaga pengajar mereka,” jelas Syahirah.


Pondok Seni tetap berjalan secara maya walaupun dilanda pandemik COVID-19.
(Sumber: Instagram / @pondokseniofficial )

Inisiatif yang diambil Amir Jahari dalam penubuhan Pondok Seni telah dikira sebagai satu alternatif yang baik untuk kemajuan bidang pendidikan seni kreatif di kala musim pandemik ini.


Seorang pengarah muda dari Malice Production, Azrin Safuan, 29, berpendapat bahawa pendekatan yang diambil oleh Pondok Seni sangat bagus kerana telah membuka peluang dan kemudahan kepada semua masyarakat.


“Sebagaimana kita tahu capaian secara maya ini lebih berkesan dan Pondok Seni mampu menjadi penyelesaian untuk individu yang ingin mempelajari ilmu seni kreatif di musim pandemik COVID-19 ini,” kata Azrin ketika di temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.


Di akhir sesi temubual, Amir Jahari telah menyatakan harapannya terhadap Pondok Seni.


“Saya harapkan Pondok Seni akan terus konsisten dan tidak lari pada landasannya. Saya juga berharap agar setiap pelajar Pondok Seni dapat memahami intipati seni dengan sebenar-benarnya,” kata Amir Jahari.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!