ENTERTAINMENT

NORMA BAHARU BERI RUANG BERKARYA BAGI PENGGIAT SENI, SYARIKAT PRODUKSI

Rabu, 5 Januari 2022
By Adibah Hani

Barisan para pelakon dan krew produksi filem ‘Siapa Tutup Lampu’.

(Sumber: Rohanis Shukri/BERITA HARIAN)

PETALING JAYA: Industri perfileman mula bergiat aktif secara berperingkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi meneruskan kelangsungan pendapatan kepada semua penggiat seni yang terjejas sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Menerusi Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat menyatakan sektor industri kreatif antara sektor paling terjejas akibat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara selama hampir dua tahun.

Beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2022, sebanyak RM288 juta telah diperuntukkan kepada industri kreatif, demi menggalakkan kesemua penggiat seni untuk bergiat secara aktif bagi menjana pendapatan dalam situasi norma baharu ini.

Permohonan pengagihan bantuan kewangan diberikan kepada yang berkelayakan dan sebarang permohonan perlu dibuat menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Penggambaran filem ‘Siapa Tutup Lampu’ ini dijalankan pada bulan April 2021 dan hanya menggunakan kutipan dana kami sendiri,” kata Ahmad Firdaus, Penerbit Articulate Fusion Production Sdn Bhd.

Kata beliau lagi, mereka menggunakan dana kutipan sendiri kerana mereka mahu menjalankan penggambaran dengan cepat agar proses penggambaran filem mereka tidak akan tergendala jika mereka hanya tunggu peruntukan dari pihak KKMM sahaja.

Penerbit Articulate Fusion Production Sdn Bhd, Ahmad Firdaus Mohamad Tahir

(Sumber: Rohanis Shukri/BERITA HARIAN)

Tambahan pula, Horizon Filem Entertainment dan Articulate Fusion Production Sdn Bhd berkolaborasi bersama bagi menjayakan penerbitan filem ‘Siapa Tutup Lampu’ dimana penggambaran filem ini mengambil masa selama 15 hari bermula dari 6 April 2021 sehingga 21 April 2021 di sekitar Lembah Klang.

Mereka mula bergiat aktif pada bulan April 2021 dan para pelakon diambil berdasarkan bakat lakonan pelakon-pelakon muda tanah air yang terlibat iaitu Naim Daniel, Uyaina Arsyad, Afieq Syazwan, Ismi Melinda, Azizil Ammar dan Azhar Jalil.

Filem ini juga dibantu oleh Afieq Shazwan, Mark O’Dea, Melissa Campbell dan Geoff Andre Feyaerts.

Prosedur Operasi Piawaian (SOP) juga telah dijalankan ketika proses penggambaran filem ini seperti kuarantin selama 10 hari bagi pelakon dari Indonesia iaitu Melissa Campbell.

“Kami memilih pelakon-pelakon ini berdasarkan bakat mereka yang berkebolehan untuk melakonkan peranan watak tersebut, bukan sekadar bilangan pengikut di laman sosial Instagram yang ramai seperti sebanyak satu juta semata-mata,” kata Aliff Rahman, pengarah Horizon Film Entertainment.

Menurutnya, bilangan pengikut tidak penting bagi menjayakan filem ini, malah pelakon-pelakon ini diserap untuk berlakon dalam filem ini kerana bakat mereka yang berkebolehan untuk melakonkan pelbagai watak.

Menurut Ahmad Firdaus, sektor industri kreatif mula bergiat secara aktif dan pengambilan pelakon pada waktu kini sudah mulai sukar selepas kerajaan mengumumkan ke semua sektor industri boleh beroperasi seperti biasa.

Kebanyakkan dari penggiat seni dan pelakon-pelakon filem atau drama di Malaysia sudah mula mendapat tawaran yang banyak dari syarikat-syarikat filem di Malaysia.

Filem ‘Siapa Tutup Lampu’ adalah filem panjang julung kali pengarah Aliff Rahman yang akan di tayang di Astro First bermula pada 25 November 2021.

Like the article? Share it now!