ENTERTAINMENT

NETIZEN PUJI SELEBRITI MALAYSIA TUNJUK SOLIDARITI BUAT PALESTIN


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Siti Mardhiah

Netizen beri komen positif serta pujian terhadap tindakan barisan selebriti terkenal tanah air yang telah menunjukkan solidariti mereka dalam mempertahankan Palestin dari kekejaman Israel baru-baru ini.


Antara selebriti Malaysia yang dilihat aktif mempamerkan solidariti mereka buat Palestin ialah, Noh Salleh, Mizz Nina, Diana Amir, Caprice dan Heliza Helmi.


Tangkap layar siaran langsung Caprice di Instagram bersama seorang warga Israel.
(Sumber: Instagram / @capriceofficial)

Rata-rata netizen memuji dan menunjukkan tanda hormat terhadap tindakan Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli yang berani berhujah dan menahan sabarnya sewaktu membuat siaran langsung Instagram bersama seorang ‘influencer’ dari Israel.


Raimi Syahmi, 21, antara netizen yang aktif membuat perkongsian di media sosial berkenaan Palestin berkata tindakan bersolidariti yang ditunjukkan oleh beberapa selebriti Malaysia adalah satu tindakan yang wajar dijadikan contoh oleh selebriti lain mahupun netizen sendiri.


“Mereka bukan hanya menyebarkan kesedaran tentang apa yang berlaku di Palestin kepada pengikut-pengikut mereka di laman sosial malah ia juga membantu dalam mendidik masyarakat untuk lebih cakna dan peka dengan sejarah yang menyebabkan tercetusnya peperangan antara Palestin dan Israel,” katanya ketika ditemu bual Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


Raimi juga berpendapat bahawa mempunyai pengikut yang ramai di media sosial merupakan satu keistimewaan yang tidak semua masyarakat peroleh. Oleh itu, sekecil kecilnya perkongsian atau pengisian di laman instagram oleh para selebriti dapat memberikan impak kepada pengikut serta masyarakat yang lain.

Salah satu cara Caprice membantu Palestin dengan membuat sumbangan hasil daripada jualan hoodie nya.
(Sumber: Instagram / @capriceofficial)

“Daripada tak tahu, atau tak ambil peduli, menjadi tahu dan ingin mengikuti perkembangan Palestin dengan lebih lanjut,” kata Raimi.

Raimi berkata perjuangan selebriti dalam bersolidariti mempertahankan Palestin sangat memberikan inspirasi kepadanya untuk turut serta.

Melihat kepada semangat dan keaktifan selebriti kegemarannya, Diana Amir, dalam bersolidariti memperjuangkan Palestin di Instagram, membuat sesi siaran langsung bersama satu-satunya rakyat Malaysia di Palestin iaitu Nadir Al-Nuri telah membuka matanya untuk menjadi lebih lantang dalam mengemukakan dan menyiarkan isu Palestin ini di media sosial yang ada.

Tangkap layar perkongsian Diana Amir berkenaan Palestin di akaun Instagram miliknya.

(Sumber: Instagram / @dianaamir)

“Setiap kali Diana Amir memuat naik artikel, gambar atau apa apa perkongsian yang berkaitan dengan isu Palestin, saya akan berkongsi dan memuat naik semula di Instagram story saya untuk pengikut-pengikut laman Instagram saya pula,” tambahnya lagi.


Hanisah Hilmi, 21, seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa juga turut menyatakan rasa kagumnya terhadap beberapa selebriti kegemarannya yang menunjukkan solidariti mereka buat Palestin kali ini.


“Saya sangat kagum dengan selebriti Malaysia yang bangkit bersolidariti kali ini, selain ber-TikTok dan membuat perkara yang tidak berfaedah hingga membuatkan netizen marah dan meluat, mereka telah menunjukkan sokongan dan rasa cinta untuk Palestin,” ujar Hanisah ketika dihubungi oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Berkenaan siaran langsung yang dibuat oleh Caprice, Hanisah juga kagum dengan kesabaran dan cara Caprice berhujah dengan warga Israel yang bernama Orin Julie dan Shiraz itu.


“Dia memberi fakta, sejarah dan bukti yang kukuh seperti gambar dan peta.


Hanisah juga tersentuh dengan beberapa teguran Caprice yang sentiasa mengingatkan netizen untuk sabar, membalas dengan cara yang baik dan bukan dengan carutan dan makian.


“Pada mulanya saya tak boleh terima apa yang zionis buat terhadap Palestin, memang layak dimaki, tetapi selepas melihat cara pendekatan yang dibawa oleh Caprice mirip seperti apa yang diajar Rasulullah SAW, telah membuka mata saya untuk berjuang dengan cara yang betul,” tambahnya lagi.


Sebelum mengakhiri temu bual, Hanisah berharap supaya lebih ramai selebriti dan netizen bangkit dan anggap isu ini adalah serius dan sebagai netizen hendaklah sentiasa mengikut jejak langkah selebriti yang sentiasa membangkitkan kesedaran tentang isu Palestin.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!