HIP

NEELOFA BUKTIKAN MARKAZ TIJAARI MAMPU JANA PENDAPATAN

Isnin, 10 Mei 2022
Oleh Izzati Amir

BATU PAHAT - Bukan hanya mempunyai kerjaya sebagai anak seni, kini ramai selebriti di Malaysia telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan sehingga ada diantara mereka telah berjaya bergelar jutawan.

Pelakon dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor, 33, bukan hanya dikenali dalam dunia hiburan tetapi beliau juga turut dikenali dengan bakat keusahawanan yang dimilikinya sehingga berjaya meluaskan empayarnya ke luar negara.

Neelofa bukan hanya memiliki paras rupa yang cantik tetapi beliau juga bijak mengatur perancangan perniagaan miliknya.

(Sumber: Telegram Markaz Tijari Marketing Content)

Pencapaian Neelofa dalam dunia perniagaan tidak dapat dinafikan lagi apabila nama beliau pernah tersenarai dalam 'Forbes 30 Under 30 Asia 2017' oleh majalah perniagaan antarabangsa Forbes ketika berusia 28 tahun.

Meskipun telah memiliki jenama pakaian terkenal dan pelbagai perniagaan lain, Neelofa juga telah menubuhkan satu platform perniagaan bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan.

Penubuhan platform yang dinamakan sebagai Markaz Tijaari itu merupakan hasil kerjasama Neelofa bersama suaminya, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz dari tahun 2020 lagi.

Neelofa bersama suami, PU RIZ bergambar bersama salah satu produk Markaz Tijaari.

(Sumber: Telegram Markaz Tijari Marketing Content)

Platform yang menggunakan sistem dropship ini bukan sahaja tidak perlu mengeluarkan modal, malah turut menyediakan bimbingan pakar dan bahan pemasaran secara percuma.

Platform yang bertujuan berkongsi rezeki ini juga telah menghasilkan pelbagai jenis produk antaranya adalah minuman kesihatan, baju melayu, kurta, pelitup muka, pensanitasi tangan dan pelbagai produk lain lagi.

Markaz Tijaari membantu dropshipper mereka menguruskan pesanan pelanggan dengan lebih cepat menggunakan aplikasi mudah alih iaitu ‘AVANA’ yang dapat diakses dengan menggunakan telefon pintar.

Setelah hampir dua tahun penubuhan Markaz Tijaari, Neelofa dan suami telah berjaya membuktikan keberhasilan platform ini apabila dapat membantu ramai rakyat Malaysia menjana pendapatan terutamanya golongan suri rumah dan pelajar.

Nor Hezren Md Daud, 38, atau lebih dikenali sebagai Ryn Mohd, merupakan antara bukti suri rumah yang berjaya membuat jualan sehingga linkungan RM82 ribu pada tahun 2021 dan jumlah itu menjadikan dia sebagai 'Top 1 Dropship Markaz Tijaari’ pada tahun tersebut.

Ryn Mohd berkesempatan untuk bergambar bersama-sama pengasas Markaz Tijaari dalam satu program yang dianjurkan pada awal tahun ini.

(Sumber: Berita DIMENSi/Izzati Amir)

Melalui satu perkongsian, Ryn Mohd menyatakan dia mula nekad untuk mencari pendapatan sampingan buat keluarga dengan menjual produk-produk Markaz Tijaari selepas suaminya terlibat dalam kemalangan di tempat kerja pada bulan Januari tahun lepas.

Ibu kepada lima orang cahaya mata ini juga berkata, penubuhan Markaz Tijaari dapat membantu banyak golongan seperti suri rumah, pelajar dan orang yang kehilangan pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Platform Markaz Tijaari sangat bagus kerana boleh bersama-sama berkongsi rezeki dan kita juga diajar bagaimana untuk menjalankan perniagaan dengan betul.

“Walaupun kita bermula dengan tiada apa-apa, insya-Allah kita boleh berjaya dengan berbekalkan semua ilmu perniagaan yang diajarkan dan juga barisan produk yang berkualiti yang ada di Markaz Tijaari.

“Setiap tunjuk ajar dan bimbingan daripada platform inilah yang membuatkan saya terus selesa untuk bersama dengan Markaz Tijaari,” kata Ryn semasa di temu ramah Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Ryn juga menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada pasangan selebriti Neelofa dan PU Riz kerana telah mewujudkan platform yang terbaik dan berharap ini dapat memudahkan lebih ramai orang dalam menambah sumber pendapatan mereka.

Pada bulan Ramadan tahun ini, Markaz Tijaari telah memperkenalkan pelbagai produk seperti set pelitup muka, kuih raya, martabak dan kurma ajwa dengan wajah baru . Usaha ini sebenarnya adalah untuk Neelofa membantu dropshipper Markaz Tijaari menjana lebih banyak pendapatan sebelum tibanya musim perayaan.

Menurut salah seorang pelanggan, Barirah Yunos, 28, produk-produk yang dikeluarkan oleh Markaz Tijaari mempunyai kualiti yang baik dengan harga yang berpatutan.

“Produk yang tampak eksklusif seperti set pelitup muka, saya jadikan hadiah buat ahli keluarga dan rakan-rakan sempena hari raya pada tahun ini,” katanya semasa di temu ramah Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Antara produk-produk terbaru daripada Markaz Tijaari yang dilancarkan pada bulan Ramadan tahun ini.

(Sumber: Telegram Markaz Tijaari Marketing Content)

Menerusi satu hantaran di Instagram, Neelofa pernah memuat naik video bersama suaminya dengan anugerah yang diterima iaitu ‘The Best New Brand of The Year’ oleh The Asia Business and Leadership Award 2022 dan berharap penghargaan itu dapat membawa Markaz Tijaari pada tahap yang lebih jauh.

Walaupun Neelofa telah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya namun usahanya membangunkan Markaz Tijaari dengan niat ingin berkongsi rezeki wajar dipuji dan dijadikan contoh yang baik buat semua pihak.

Like the article? Share it now!