ENTERTAINMENT

LANGGAR SOP COVID-19 – ARTIS DAN INFLUENCER BOLEH PULA?


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Nisa Latiff

KUALA LUMPUR Sejak akhir-akhir ini terdapat banyak isu mengenai artis dan influencer di Malaysia yang telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP). Ia telah mengakibatkan rakyat berang dan merasakan tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka agak berat sebelah.


Majlis Perkhawinan Neelofa, yang dikatakan telah melanggar SOP.
(Sumber: MStar)

Majlis perkahwinan pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd Noor telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara kita apabila para tetamunya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan selain tiada penjarakkan fizikal ketika proses akad nikah berlangsung pada bulan lepas.


Akibat isu tersebut, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris serta keluarga telah dikompaun sebanyak RM60,000.


"Saya amat bersetuju Neelofa dan suaminya dikompaun kerana undang-undang tak terkecuali kepada orang atasan seperti beliau. Walau bagaimanapun, Neelofa merupakan pengaruh yang kuat di Malaysia.


"Jadi beliau harus menunjukkan etika dan perbuatan yang terbaik untuk menjadi contoh kepada peminat yang lain," kata Nur Hafizah Bukhori, salah seorang peminat setia Neelofa melalui temu bual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


Majlis berbuka puasa oleh beberapa influencer dan artis yang dikatakan gagal mematuhi SOP.
(Sumber: Twitter / @ixyanimohd )

Selain majlis perkahwinan Neelofa, rakyat juga tidak berpuas hati dengan beberapa artis dan influencer yang telah melanggar SOP serta tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di majlis berbuka puasa baru-baru ini. Hal ini telah menyebabkan rakyat merasakan wujudnya isu 'double standard' dalam penguatkuasaan SOP di negara kita.


"Dalam situasi macam ni tak sepatutnya terlintas pun nak buat majlis sebegini. Kalau dah jemput ramai orang tiada maknanya nak SOP lah. Oh lupa COVID-19 ni kan ikut kasta.


"Pihak polis pun banyak yang pilih kasih," kata salah seorang pengguna aplikasi Twitter, Nabil Razin menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi Twitter.


Datuk Seri Ismail Yaakob ketika sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
(Sumber: Facebook / Astro Radio News)

Dakwaan tersebut telah mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa tindakan akan tetap diambil kepada sesiapa yang gagal mematuhi SOP tanpa mengira status mereka.

"Kita berpandangan bahawa sesiapa sahaja terutamanya yang melibatkan VIP seperti selebriti, orang politik dan sebagainya, kalau didapati ada pelanggaran SOP, pihakpolis perlu keluarkan kompaun di lapangan.

"Jadi saya percaya, kalau keluar (kompaun) di lapangan, barulah tidak ada salah faham daripada rakyat terhadap tindakan kerajaan. Bagi kita, sesiapa sahaja, VIP ke, kayangan ke, rakyat ke, siapa yang salah, dia tidak akan dilindungi oleh undang-undang," kata Datuk Seri Ismail Yaakob dalam sidang media khas PKP baru-baru ini.

Menurut Ismail, walaupun tindakan undang-undang tersebut akan memakan masa sehingga beberapa minggu, namun ia tetap akan dilaksanakan. Beliau juga menyatakan bahawa pihak polis berhak untuk mengeluarkan kompaun di lapangan serta-merta kerana ianya telah termaktub dalam akta.

Ismail memberi ulasan bagi isu ini untuk mengelakkan salah faham antara rakyat dan kerajaan, komentar itu dibuat setelah selesai menyampaikan sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!