ENTERTAINMENT

"LALA RAYA" DAPAT SAMBUTAN


Rabu, 2 Jun 2021
Oleh Izzul Nazaruddin

Gambar Dato’ Aliff Syukri dalam lagu raya terbarunya Lala Raya.
(Sumber: Instagram / @aliffsyukriterlajaklaris)

Lala Raya, sebuah lagu oleh usahawan kosmetik Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman mendapat liputan hangat apabila lagunya dikeluarkan beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Lagu Lala Raya yang dikeluarkan pada 3 Mei 2021 lalu berjaya mengumpul dua juta tontonan dan nombor itu makin melonjak naik.


Dicipta oleh Amy Ukays serta isteri beliau sendiri, Datin Shahida, lagu Lala Raya telah dinyanyikan oleh Dato' Aliff Syukri dan berjaya menduduki tempat pertama di YouTube selama tujuh hari berturut-turut selepas penerbitannya.


Dato’ Aliff Syukri juga menyuarakan kegembiraan beliau akan kejayaan lagu tersebut dalam salah satu gambar yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya.


“Dua juta tontonan. Ya Allah masih trending nombor satu di Malaysia. Ye lagu raya nombor satu di Malaysia dah tujuh hari. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menghargai bakat saya yang selama ini tidak pernah dihargai,” kata Dato’ Aliff Syukri.


Gambar yang dimuat naik oleh Dato’ Aliff Syukri menerusi akaun Instagram milik beliau.
(Sumber: Instagram / @aliffsyukriterlajaklaris)

Walaupun Dato’ Aliff Syukri masih menerima komen yang berunsur negatif, beliau kekal optimis dengan sambutan yang diterimanya. Dato’ Aliff Syukri meluahkan perasaannya dalam salah satu gambarnya di Instagram.


“Siapa sebenarnya yang menonton lagu raya saya ini? Saya dikecam teruk, orang cakap saya tiada vokal. Orang kata suara tak sedap tapi kenapa trending? Siapa yang dengar dan saya sangat pelik,” kata beliau.


Beliau juga menerima pujian daripada beberapa artis tanah air seperti Mohammad Razizan Abdul Razak atau Zizan Razak dan Mohd Azwan Md Nor atau Wak Doyok.


“Ternyata Dato’ penyanyi nombor satu negara. Trending nombor satu lagi. Vokal Dato’ memang ala-ala penyanyi barat. Harap Dato’ dapat buat persembahan di Grammy Awards selepas ini,” kata Zizan dalam suatu ruangan komen gambar Dato’ Aliff Syukri.

Pujian daripada Zizan dalam ruangan komen salah satu gambar Dato’ Aliff Syukri.
(Sumber: Instagram / @zizanrazak869)

Tontonan yang tinggi dalam video muzik Dato’ Aliff Syukri bermaksud ia mendapat maklum balas umum yang sangat baik. Sokongan moral daripada pendengar lagunya dalam ruangan komen video memperlihatkan situasi yang positif.


Video muzik beliau mendapat sambutan hangat kerana lagunya yang unik dan menunjukkan suasana hari raya yang meriah walaupun negara Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menerusi temu ramah secara bersemuka bersama Ikram Iskandar, 19, seorang pendengar lagu Lala Raya yang berkongsikan pandangan beliau bersama Berita DIMENSi, beliau menyatakan muzik video Dato’ menampakkan usaha untuk menggabungkan unsur lagu dari zaman moden dan tradisional dan berjaya mempunyai keseimbangan yang baik.


Temu ramah seterusnya bersama Lukman Hakim, 21, juga merupakan pendengar lagu Lala Raya yang mengatakan kepada Berita DIMENSi bahawa lagu tersebut adalah unik.


“Berbeza dengan genre lagu yang sedia ada. Ada kelainan jika dibandingkan dengan artis yang sudah hilang rasa raya dan identiti dalam lagunya. Selain itu, lagu itu mempunyai unsur tradisional yang seiring dengan kecenderungan orang ramai untuk memainkan lagu tradisional ketika hari raya,” katanya.


Ruang komen dalam video muzik juga dipenuhi dengan pujian daripada netizen. Berikut merupakan antara komen yang diberikan oleh netizen.

Ruangan komen video muzik Lala Raya.
(Sumber: Youtube / TV Terlajak Laris)

Pautan kepada video muzik Lala Raya.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!