Entertainment

LAKONAN SONG JOONG KI SEBAGAI PEGUAM ITALI DALAM VINCEnZO DIBANJIRI PUJIAN

Isnin, 3 Mei 2021
Oleh Nurizan Kassan

Poster drama Vincenzo menampilkan pelakon terkenal Song Joong Ki.

(Sumber: Instagram / @Vincenzodrama)

Song Joong Ki kembali menerusi drama “Vincenzo” yang berjaya menarik perhatian ramai khususnya peminat K-Drama di seluruh dunia.


Drama Vincenzo yang dibintangi oleh Song Joong Ki mengisahkan tentang kehidupan seorang peguam Itali bernama “Vincenzo Xavier Cassano” yang terpaksa pulang ke Korea disebabkan konflik yang terjadi di dalam organisasinya.


Di Korea, Vincenzo kemudian bertemu dengan seorang peguam yang berlidah tajam iaitu Hong Cha Young yang dilakonkan oleh Jeon Yeo Bin. Mereka bekerjasama untuk menjatuhkan penjahat yang sering terlepas daripada hukuman undang-undang.


Penampilan luar biasa Vincenzo berjaya memikat hati penonton kerana beliau memiliki karisma yang tersendiri dan digambarkan sebagai watak yang berhati dingin.


“Saya berasa gembira kerana dapat membawa watak Vincenzo ini dan saya rasakan pengarah drama ini berjaya menggabungkan unsur mafia Itali dengan masyarakat Korea zaman ini,” jelas Joong Ki.


Song Joong Ki turut berkata bahawa penampilan Vincenzo memang seperti orang Korea tetapi sifatnya yang kejam mempunyai persamaan seakan bangsa Itali dan dia juga perlu mempelajari Bahasa Itali bagi menghidupkan lagi watak Vincenzo tersebut.


Pengarah drama tersebut menggunakan Bahasa Itali untuk menunjukkan perbezaan budaya serta suasana Itali kepada penonton walaupun penggambaran ini hanya dilakonkan di Korea Selatan.


Jalan cerita yang beremosi serta plot yang penuh dengan kejutan, drama ini bukan sahaja menampilkan aksi ganas tembak menembak, malah aksi kelakar juga ditampilkan sehingga membuat penonton tidak kering gusi.


Bakat Song Joong Ki sekali lagi mendapat pujian orang ramai apabila beliau berjaya membawa watak sedih Vincenzo ketika bertemu dengan ibu kandungnya iaitu Oh Kyung-ja (Yoon Bok In) dan meluangkan waktu bersama sambil berkongsi cerita.


Babak tersebut membuatkan ramai penonton menangis kerana tersentuh dengan kesedihan Vincenzo yang merindukan ibunya. Penonton tidak dapat menahan air mata daripada terus terjatuh.


Menurut Nor Azua Ibrahim, 23, seorang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Lakonan sedih Song Joong Ki memang menjadi dan semuanya sempurna sangat.


“Lakonan emosi tersebut berjaya disampaikan apabila Vincenzo sendiri tidak dapat menahan air mata setelah mendengar luahan hati ibunya dan membuat saya kagum dengan emosi sedih yang dibawanya,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi panggilan Whatsapp.


Vincenzo menangis ketika mendengar luahan hati ibunya.
(Sumber: Soompi / U.Kim)

Di episod 17, penonton terus berendam dengan air mata apabila ibu kesayangan Vincenzo meninggal dunia angkara musuh yang mencekik ibunya sehingga mati lalu melemahkan semangat Vincenzo untuk terus hidup.


Lakonan penuh emosi yang ditampilkan oleh Song Joong Ki itu membuatkan hati penonton remuk. Ini juga membuktikan bakat lakonan luar biasa yang ditampilkan itu berjaya memikat hati penonton khususnya dalam babak beremosi.


Tindakan kejam yang dilakukan itu membangkitkan lagi sikap amarah yang tersimpan kemas di dalam diri mafia itu sehingga membuat penonton tergamam dan takut melihat perubahan emosi yang dilakukan oleh Vincenzo.


Muhammad Syahmim Norsahak, 22, yang merupakan seorang pelajar di Politeknik Banting Selangor berkata, saya hanya mampu menganga apabila melihat aksi ganas Song Joong ki. Pandangan, pembawaan watak dan perasaan semuanya mengagumkan.


“Disebalik keseriusan Vincenzo, dia juga menujukkan ihsan dan watak kelakarnya. Terdapat banyak pengajaran yang saya peroleh dari drama ini,” kata Syahmim ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi Whatsapp.


Keserasian yang ditampilkan oleh Song Joong Ki dan Jeon Yeo Bin juga menjadikan drama ini lebih disukai kerana keduanya terlihat sangat romantis sehingga menjadi sorotan netizen lalu menjadikan Vincenzo K-Drama terunggul di Netflix sehingga hari ini.


Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!