HIP

JATUH BANGUN MUZIK INDIE

Rabu, 27 April 2022
Oleh Shafira Aziz

Vokalis merangkap pemain gitar kumpulan Couple, Aidil Rusli, 44, menyatakan muzik indie sebagai istilah kepada artis dan muzik yang tidak terikat dengan mana-mana label rekod dalam industri hiburan tanah air.

Berasal dari perkataan Inggeris iaitu independent, genre lagu indie juga merangkumi semua jenis alunan tidak kira pop, balada mahupun hip hop yang wujud dari underground.

Penggunaan bahasa dalam lirik lagu indie juga lebih bebas berbanding muzik arus perdana, kerana para pengarang lagu indie tidak memfokuskan lagu tersebut untuk menepati permintaan pasaran.

Pada tahun 2007, indie mula mendapat perhatian umum apabila ditayangkan drama bersiri yang bertajuk ‘KAMI’ di saluran 8TV yang bertujuan mempromosikan pemuzik indie di tanah air.

Drama Bersiri ‘KAMI’ yang disiarkan pada 5 September 2007.

(Sumber: IMDb)

Lahirlah beberapa kumpulan indie yang terkenal pada era itu antaranya Meet Uncle Hussain, Hujan dan Couple.

Indie kemudian kembali berada di underground setelah berada di puncak arus perdana selama empat tahun. Penutupan stesen radio XFM yang memainkan lagu-lagu indie merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kejatuhan era indie.


Indie Bukan Muzik Arus Perdana

Kumpulan Couple, yang sudah berada dalam industri hiburan sejak tahun 1995 merupakan saksi jatuh dan bangun industri tersebut. Aidil Rusli turut menyifatkan muzik indie ini sesuatu yang bukan asalnya di arus perdana.

Dari kiri: Izzat Ezzart (Bass), Ariana Adnan (Gitar), Aidil Rusli (Vokal), Shahrin Ismail (Dram).

Sumber: Unite Asia

"Muzik indie masih wujud dan akan sentiasa wujud namun ia akan kekal berada di underground sahaja berikutan genre ini bukan sesuatu yang berada di pasaran muzik arus perdana," kata Aidil ketika sesi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui Zoom Meeting.

Semasa ditanyakan penyebab kurangnya sambutan muzik indie pada masa kini, beliau menyatakan ia berpunca daripada kurangnya pendedahan dari media arus perdana mengenai muzik indie kepada orang ramai.


Adakah Indie Masih Relevan?

Bagi Aidil Rusli, muzik indie akan kekal relevan mengikut peredaran zaman. Sebagai bukti, kumpulan indie metalcore, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan gandingan bersama penyanyi popular Shila yang berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-36.

Lagu 'Pelukan Angkasa' yang berjaya mengungguli Anugerah Juara Lagu Ke-36.

(Sumber: Kosmo Online/Mohd Haikal Isa & Mohammad Shahemy Azmi)

Mulanya hanya hadir sebagai penyanyi undangan Muzik-Muzik ke-36, persembahan lagu ‘Pelukan Angkasa’ telah menarik minat pengkritik yang kemudiannya memasukkan lagu tersebut dalam pencalonan Anugerah Juara Lagu.

Kemenangan SOG dalam Anugerah Juara Lagu ke-36 juga dapat mengubah tanggapan orang ramai mengenai genre metalcore di samping memecahkan stereotaip bahawa lagu indie tidak akan dapat memasuki media arus perdana.

Aidil juga turut menyatakan bahawa masih ada golongan muda yang hadir setiap kali gig diadakan di mana-mana tempat, yang jelas menunjukkan bahawa indie akan kekal relevan walaupun sudah kurang mendapat sambutan.

Hal ini terbukti benar apabila Nur Farzana Zulkifli, 19, yang menganggap dirinya sebagai salah seorang peminat muzik indie.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya menerokai muzik indie ini, namun apabila saya mulai mendengar satu demi satu lagu indie, saya mulai jatuh cinta dengan penggunaan lirik dan penyusunan lagunya,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Harapan Terhadap Muzik Tanah Air

Sebagai seorang anak seni yang sudah 26 tahun berada dalam industri muzik, Aidil Rusli berharap agar generasi muda akan sentiasa dapat meneruskan perjalanan indie pada masa hadapan dan beliau juga yakin bahawa indie akan kekal hidup, walaupun kurang mendapat perhatian.

Beliau turut memberi pesanan sekiranya generasi muda ingin menceburi bidang muzik secara underground, mereka harus melakukannya dengan bersungguh-sungguh, dan bukan sekadar mengejar kemenangan dan anugerah sahaja.

Beliau turut menambah indie mempunyai niche yang tersendiri di mana ia tidak memerlukan perhatian ramai untuk membangun, cukup sekadar mempunyai peminat yang setia menerokai lagu-lagu tersebut.

Konsep independent akan sentiasa kekal dalam muzik indie kerana pembikin muzik tersebut selalunya membuat muzik atas dasar minat, dan bukan kerana memandang keuntungan semata-mata.


Like the article? Share it now!