Rabu, 6 Julai 2022
Oleh Izzati Rahman

SHAH ALAM - Genre muzik hip-hop ini sudah tidak asing lagi di negara Malaysia. Peminat-peminat muzik ini hadir dari setiap lapisan masyarakat tidak mengenal usia dan bangsa.

Menurut Laman Muzik Hip-Hop, muzik hip-hop ini sudah dimainkan di Amerika Syarikat (AS) sejak awal 1970-an lagi. Genre muzik ini tercetus daripada penyanyi Amerika-Afrika yang mempunyai idea tersendiri dalam mencipta rentak rap.

Di Malaysia, muzik rap ini tidak dinafikan telah menjadi kegemaran setiap masyarakat terutamanya generasi kini. Lagu-lagu hip-hop ini juga acap kali dimainkan di setiap corong radio tempatan.

Pilihan lagu dari sumber, yang kebanyakannya adalah genre muzik hip-hop.

(Sumber: Ahmad Amiruddin)

Ahmad Amiruddin, 27, merupakan penggemar rentak rap ini sejak tahun 2010 ketika lagu ‘Alhamdulillah’ dari Toophat dikeluarkan.

Dia menyuarakan pendapatnya bahawa muzik hip-hop merupakan muzik yang tenang dan terdapat pengajaran di setiap bait lirik yang penuh dengan makna yang tersirat.

“Tidak semua lagu dari underground ini mempunyai unsur-unsur meninggikan diri, sekarang mereka lebih banyak menghasilkan lagu-lagu keagamaan dan mengisi pengajaran di sebalik lirik,” ujarnya dalam temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Ahmad juga tidak menolak spekulasi yang mengatakan muzik rap ini kadangkala tidak membawa manfaat kepada pendengar kerana terdapat segelintir penyanyi rap yang tidak menggunakan bahasa yang tepat juga santun.

Tambahnya, harapannya terhadap industri muzik hip-hop Malaysia agar mereka terus menghasilkan lagu yang berkualiti serta dapat dijiwai oleh setiap generasi.

Konsert Art of Speed yang berlangsung di MAEPS Serdang yang mempamerkan pelbagai genre muzik seperti indie, rock dan juga hip-hop.

(Sumber: Rania Eddie)

Rania Eddie, 22, merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Awam di UiTM Shah Alam dan salah seorang peminat muzik hip-hop yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia rap.

“Saya terpukau dengan kehebatan muzik rap ini sejak mengikuti rakan saya ke Konsert Art of Speed. Budaya rap yang dipersembahkan ketika itu sangat menarik dan memukau penonton,” katanya ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.

Rania menambah, walaupun dirinya seorang perempuan tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk dirinya meminati muzik rap atau hip-hop ini.

Sejak daripada konsert tersebut, dia terus menghayati bahkan mengkaji beberapa lirik lagu kegemarannya.

Rania turut berkongsi lagu kegemarannya iaitu ‘Mimpi’ oleh K-Clique menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk mengejar impian walaupun hanya bermula dari mimpi.

Dia turut menepis dakwaan oleh segelintir masyarakat yang mengatakan bahawa lagu rap ini tidak mendatangkan sebarang faedah malah menjatuhkan imej bangsa.

Harapannya agar industri muzik akan lebih peka terhadap isu ini dan memperbaiki imej muzik hip-hop Malaysia.

Like the article? Share it now!