ENTERTAINMENT

FORCEPARKBOIS SEMAKIN ‘AGRESIF’


Isnin, 24 Mei 2021
Oleh Fahmi Izz

ForceParkBois sewaktu promosi lagu 'Bless The Force'.
(Sumber: Instagram / @nrhfizi_)

JOHOR BAHRU - Kehadiran kumpulan ForceParkBois dalam industri muzik tanah air disambut dengan tangan yang terbuka oleh para peminat genre hip-hop tempatan. ForceParkBois memulakan debut pada tahun 2018 dengan imej yang agresif dan mempunyai konotasi muzik yang berbeza daripada artis hip-hop yang lain.


Kumpulan ini dianggotai oleh 15 orang ahli iaitu Nakalness, Laws, Ch’k, NSH, Blxckid, Noel, Asset.Bo, AALI.3GP, Han Panas, Pablo, fuegonep, Felrfrank, Anakiput, Nifail dan AIE.


Mereka mula mendapat perhatian dengan beberapa lagu hit seperti LOTUS, dan Syndicate Boys yang berjaya meletakkan mereka sebaris dengan artis hip-hop terkemuka yang lain.


Lebih tiga tahun berkecimpung dalam industri muzik Malaysia, salah seorang ahli kumpulan, Asset.Bo atau nama sebenarnya Danial Imran Kamarul Shahidin, 21, menyatakan beliau tidak pernah menyangka untuk bertemu rakan-rakan yang mempunyai minat dan visi yang sama seperti beliau.


“Saya merasakan bahawa kehadiran ahli kumpulan yang lain banyak membantu saya untuk meneruskan karier dalam bidang ini kerana kami semua berkongsi minat yang sama, iaitu muzik,” kata Asset.Bo menerusi temu-ramah Berita DIMENSi secara bersemuka.


Caturan mereka melancarkan Extended Play (EP) pertama berjudul Traperangkap dilihat menjadi batu loncatan terhadap perjalanan karier mereka di dalam industri muzik Malaysia.


ForceParkBois sewaktu majlis pelancaran EP Traperangkap.
(Sumber: Instagram / @forceparkbois)

“Projek pertama kami bermula pada tahun 2019 apabila melancarkan Extended Play (EP) berjudul Traperangkap. Projek ini meraih sambutan yang cukup memberangsangkan sehingga mendapat tajaan untuk majlis pelancaran di sebuah kompleks beli-belah di Johor Bahru dan tajaan syarikat Vans,” ujarnya menerusi temu-ramah bersama beliau.


Mereka sekali lagi berjaya membuktikan kemampuan bakat mereka melalui single Syndicate Boys kolaborasi bersama penyanyi rap terkemuka Malaysia, Ical Mosh pada tahun 2020.


“Kami melihat kolaborasi bersama Ical Mosh sebagai satu peluang keemasan untuk membuktikan kredibiliti kami sebagai penyanyi rap berkumpulan. Penerimaan yang begitu baik daripada peminat juga dipengaruhi oleh faktor kolaborasi bersama Ical Mosh dan ia menjadi satu penanda aras yang baru untuk melonjakkan karier kami dalam industri muzik,” katanya.


Menelusuri tahun 2021, ForceParkBois terus meluaskan dominasi apabila mereka melancarkan single berjudul LOTUS pada bulan Mac. Single tersebut mendapat sambutan yang cukup baik apabila menjadi single pertama mereka yang meraih jumlah tontonan sebanyak 4.1 juta di Youtube dalam masa dua bulan selepas dilancarkan.


LOTUS berjaya mencapai 1 juta strim di Spotify selepas dua bulan dilancarkan.
(Sumber: Youtube / Gifix Film)

Lagu berjudul LOTUS berjaya mengungguli carta Spotify Malaysia Top 50 di tangga pertama pada penghujung April selama dua minggu berturut-turut dengan jumlah 472,918 strim. ForceParkBois juga melakar sejarah apabila menjadi artis bebas Malaysia pertama memasuki carta Recording Industry Malaysia Charts (RIM) Top 20 di tangga ke-18 carta selepas melonjak tujuh anak tangga pada minggu sebelumnya.


“Sebagai artis bebas, kami tidak menyangka LOTUS mampu meraih kejayaan sejauh ini, kehadiran kami dalam industri juga boleh dikira singkat jika ingin dibandingkan dengan artis-artis lain, akan tetapi kami berjaya membuktikan kejayaan dengan usaha yang tiada henti,” ujarnya.


Asset.Bo menyifatkan kejayaan yang mereka kecapi dalam masa yang singkat ini berpasak kepada konotasi hip-hop yang mereka jadikan sebagai pegangan.


“Fokus kami adalah untuk berkarya, tidak pernah terfikir tentang soal ringgit dan populariti, meskipun sudah mula dikenali. Kami gemar mencari ilmu baru. Sumber inspirasi kami banyak daripada Underground Rappers International. Kami belajar dan menerokai sound baru untuk menaikkan lagi kualiti hip-hop di Malaysia,” ujarnya.


ForceParkBois yang kini dalam proses pembikinan album studio pertama mereka, sedang giat melakukan persiapan rapi untuk mencari material dan konsep album.


“Sekarang kami dalam tempoh berehat, kerana ingin memberi tumpuan kepada album yang akan dilancarkan pada hujung tahun, ini merupakan album pertama kami sepanjang bergelar artis hip-hop dan kami mengharapkan sambutan yang baik dapat diberikan oleh para pendengar,” Asset.Bo berkata.


Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan ForceParkBois, boleh ke platform penstriman seperti Spotify, Apple Music dan Youtube untuk mendengar lagu-lagu hits mereka.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!