HIP

FILEM MALAYSIA SUKAR TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Jumaat, 29 April 2022
Oleh Izzi Farhana

Industri perfileman tanah air dapat dilihat semakin berkembang dan berkualiti tinggi hari demi hari, hasil daripada kehebatan pengarah yang tidak pernah kering idea dalam menghasilkan karya terbaik mereka.

Pengarah filem di Malaysia telah mencuba pelbagai genre dalam hasil karya mereka untuk ditayangkan kepada masyarakat dalam pelbagai lapisan umur.

Penerimaan penonton di Malaysia juga bukan calang-calang, jika sebuah filem itu berjaya mendapat tempat di hati penonton sudah pasti filem serta pengarah filem tersebut akan disebut-sebut namanya sehingga mampu meraih anugerah yang berprestij.

Dimanakah silapnya industri perfileman tanah air ini kerana masih tidak mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa?


Pasaran Yang Luas

Di laman media sosial sudah lama membincangkan tentang perkara ini dan terdapat pelbagai pandangan yang diterima sama ada dari sudut positif dan juga negatif.

Baru-baru ini, sebuah drama bersiri yang ditayangkan di Netflix iaitu Squid Game telah menjadi bualan hangat kerana kelainan yang dibawa oleh pengarah filem tersebut.

Pada asalnya, pelakon utama drama tersebut tidak mempunyai ramai pengikut di media sosial tetapi masih mampu menaikkan nama drama tersebut sehingga mendapat tempat di hati penonton di seluruh negara.

Kebanyakan filem atau drama dari luar negara yang berjaya ditayangkan di Netflix sudah pasti mempunyai sasaran penonton yang merangkumi seluruh dunia.

Jadi, fenomena yang dibawa oleh sesebuah filem atau drama dari luar negara ini mungkin sudah dijangka kerana pasaran mereka yang luas.

Muhammad Kamarudin Mohd Razal atau lebih mesra disapa Padin, seorang wartawan hiburan tanah air berkata bahawa industri perfileman mereka besar dan tidak seperti industri perfileman di Malaysia. Rakyat tidak wajar membandingkan industri perfileman tanah air dengan negara lain.

Kamarudin Razal pernah menjadi tetamu jemputan khas membincangkan tentang Industri Filem Negara di laman Youtube FINAS berjudul “Spotlight Tanpa Prejudis”.

(Sumber: Instagram Kamarudin Razal)

“Sedangkan industri filem di Malaysia ini juga kadangkala masih tergapai-gapai, jadi bagaimanakah kita ingin bandingkan dengan negara mereka yang sudah pastinya mempunyai pasaran yang luas.

“Di negara luar, pasaran mereka sangat luas kerana filem yang dihasilkan boleh dipasarkan di serata dunia. Manakala di Malaysia pula penonton yang menonton hasil karya pengarah tempatan terdiri daripada warga tempatan sahaja,” tambah beliau lagi.

Hakikatnya, filem di Malaysia mempunyai kualiti dan peluang yang tinggi untuk menembusi pasaran antarabangsa namun terdapat beberapa kekangan yang tidak mampu ditepis menjadikan filem tersebut hanya sekadar di pasaran domestik sahaja.


Filem Malaysia Yang Berjaya Tembusi Pasaran Antarabangsa

Hajar Sham, 22, seorang mahasiswi universiti awam tempatan dan juga merupakan peminat filem-filem tanah air berpendapat bahawa walaupun agak sukar untuk filem Malaysia menembusi pasaran antarabangsa tetapi terdapat juga filem tempatan yang berjaya menembusinya seperti filem ‘Pekak’.

‘Pekak’ merupakan filem arahan Kroll Azri yang dibintangi oleh pelakon hebat iaitu Zahiril Adzim dan Sharifah Amani. Filem ini berjaya merangkul anugerah Skrip Terbaik di Russia’s International Motivational Film Festival- Bridge of Arts 2016 (IMFF 2016).

Zahiril Adzim telah memenangi Anugerah Pelakon Terbaik di IMFF 2016.

(Sumber: Behance/M Firdaus)

Tidak mustahil untuk industri perfileman di Malaysia ini berkembang maju dan menembusi pasaran antarabangsa namun perkara tersebut juga tidaklah mudah kerana memerlukan usaha dan sokongan daripada pelbagai pihak.


Like the article? Share it now!