ENTERTAINMENT

BRAVE GIRLS RAIH POPULARITI MENERUSI LAGU 'ROLLIN'


Jumaat, 28 Mei 2021
Oleh Hasanah Yusof

Brave Girls berjaya meraih kemenangan menerusi lagu ‘Rollin’.
(Sumber: Soompi)

Tuah menyebelahi Brave Girls apabila berjaya meraih kemenangan dengan menduduki tempat pertama di setiap carta muzik Korea menerusi lagu ‘Rollin’ pada awal bulan Mac tahun ini.

Lagu ‘Rollin’ yang dikeluarkan pada tahun 2017 kembali tular semula ekoran daripada penularan satu video kompilasi berserta komen dari warga Youtube mengenai persembahan mereka di depan tentera Korea Selatan. Video tersebut telah dihasilkan oleh seorang Youtuber dari Korea Selatan, Viditor.


Brave Girls dengan lagu 'Rollin' yang kembali terkenal.
(Sumber: YouTube)

Dari awal kemunculan, Brave Girls membawa konsep wanita yang berani dan berdikari. Akan tetapi, mereka kurang mendapat publisiti daripada media dan telah melalui pertukaran ahli yang berulang kali. Brave Girls mengambil keputusan untuk berehat selama beberapa tahun dan hampir dibubarkan.


Namun, usaha mereka berbalas apabila lagu ‘Rollin’ secara tidak sengaja tular dan hanya beberapa bulan sahaja populariti Brave Girls mula melonjak naik dan berjaya mendapat tempat di hati para peminat. Oleh itu, jom ketahui fakta menarik mengenai Brave Girls!


1. Kumpulan Wanita Korea 30an


Terdiri daripada empat orang ahli iaitu Kim Min Young, 31, Nam Ju Yeong, 30, Han Eun Ji, 29, dan Lee Yu Na, 28. Walaupun sudah menginjak usia 30-an, Brave Girls masih aktif dalam karier sebelum populariti mereka melonjak naik.

Peminat Brave Girls, Mohd Farid bin Suhaili, 27, mula mengenali mereka menerusi lagu ‘Easily’. Lagu tersebut merupakan lagu kemunculan pertama Brave Girls pada tahun 2011. Brave Girls juga mempunyai kelab peminat bernama ‘Fearless’.

Farid menganggap dirinya sebagai ‘Fearless’ kerana menyokong Brave Girls setiap kali kemunculan baru dan aktiviti yang mereka ikuti.

“Perasaan saya amat berbangga apabila hasil usaha mereka selama ini akhirnya dikenali ramai setelah hampir 10 tahun bertahan di dalam industri K-Pop yang berkembang pesat,” kata Farid menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui Twitter.


2. Sokongan padu dari tentera Korea Selatan


Brave Girls terkenal dalam kalangan tentera Korea Selatan kerana seringkali melakukan persembahan di kem ketenteraan. Selama beberapa tahun, hanya lagu ‘Rollin’ dipersembahkan berulang kali kerana lagu-lagu mereka yang lain kurang mendapat sambutan.


Oleh kerana lagu ‘Rollin’ mendapat sambutan yang baik dari pihak tentera, mereka mendapat banyak jadual untuk melakukan persembahan di kem ketenteraan di seluruh negara Korea.


Sokongan luar biasa dari pihak tentera menyebabkan Brave Girls tidak bosan membuat persembahan di hadapan mereka.


3. Imej Brave Girls yang unik

Brave Girls membawa imej sebagai kumpulan wanita yang berbadan ideal.

(Sumber: Twitter / @kpopggsuperior)

Sejak kemunculan awal, Brave Girls telah membawa imej sebagai kumpulan wanita yang berbadan ideal.


“Penampilan dan visual yang dibawa oleh Brave Girls sememangnya lain dari yang lain.


“Tambahan pula, memiliki rupa paras yang cantik melengkapkan lagi penampilan mereka sebagai kumpulan wanita yang bertubuh badan ideal dan tinggi,” ujar Farid.


Beliau menjelaskan walaupun Brave Girls mempunyai bentuk badan yang agak berisi berbanding kumpulan wanita yang lain tetapi tubuh badan mereka kelihatan sihat kerana tidak mengamalkan diet yang ekstrem malahan mereka mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam.


4. Personaliti Brave Girls yang mencuit hati


Selain daripada kejayaan ‘Rollin’, peminat juga tertarik dengan personaliti Brave Girls yang santai dan bersahaja.


“Min Young mempunyai vokal yang hebat manakala Yu Jeong digelar sebagai ‘Squirtle’ oleh kerana bentuk matanya seperti senyuman.


“Eun ji pula mempunyai mata yang besar dan seorang penari yang cekap. Manakala Yu Na kelihatan ‘chic’ dengan gaya potongan rambut pendek tetapi sebenarnya sangat comel,” kata salah seorang peminat, Shazley binti Sahib, 39, menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui Twitter.


“Vokal mereka juga agak unik dan setiap daripada ahli Brave Girls mempunyai stail nyanyian yang tersendiri jadi mudah untuk membezakan suara mereka,” kata Farid.


Brave Girls mula berinteraksi secara umum dengan para peminat pada tahun 2016. Bagi meningkatkan populariti dan imej mereka semula, Brave Girls giat menjalankan aktiviti promosi di jalanan.


Akhir kata buat ‘Fearless’ Malaysia teruskan sokongan anda agar Brave Girls tetap bersemangat dan tidak berputus asa pada masa akan datang.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!