HIP

AMYRA ROSLI - MENGIMBANGI KARIER DAN KELUARGA

Isnin, 16 Mei 2022
Oleh Fatin Umairah

KUALA LUMPUR – Nama Amyra Rosli melonjak kembali pada tahun 2022 apabila drama terbaru beliau yang digandingkan bersama Remy Ishak, iaitu ‘Jangan Menangis Cinta’ tular dan hangat diperkatakan di seluruh Malaysia.

Pelakon dan pengacara terkenal, Amyra Rosli, 31, yang memilih bidang lakonan sebagai minat dan kerjaya ini bijak dalam membahagikan masa antara keluarga dan karier.

Beliau yang telah bergiat aktif dalam bidang lakonan hampir 13 tahun sejak tahun 2009 ini sentiasa memastikan dirinya mempunyai masa untuk bersama keluarga.

Amyra Rosli sentiasa cuba memastikan karier bukanlah penghalang kepada keharmonian keluarganya.

(Sumber: Instagram @aamyrarosli)

Ibu, Pengurus Mahir Berpengalaman

Ketika dihubungi Berita DIMENSi menerusi panggilan telefon, Amyra berkata bahawa beliau masih bertahan dalam bidang lakonan disebabkan oleh minat dan sokongan daripada keluarga.

“Saya memang meminati bidang lakonan dan merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Sejak habis belajar, saya banyak pergi ke uji bakat lakonan, menjadi watak sambilan dalam beberapa drama dan saya tidak pernah berputus asa walaupun ada kalanya saya berada di bawah.

“Sokongan daripada keluarga juga merupakan salah satu faktor yang mendorong saya untuk meneruskan minat dalam bidang ini,” katanya.

Tambahnya lagi, lakonan merupakan satu-satunya mata pencarian rezekinya kerana beliau tidak ada pendapatan sampingan seperti perniagaan.

Amyra berkata bahawa beliau sedang sibuk menghabiskan penggambaran drama ‘Jangan Menangis Cinta’ dan menjadi pengacara utama bagi program Nona.

Beliau juga berkata bahawa jika diberi peluang dan ruang, beliau teringin untuk berlakon dalam filem pula pada masa akan datang.

Pembahagian Masa Untuk Keluarga dan Karier

Amyra Rosli dan keluarga yang menjadi tunjang dan semangatnya untuk kekal bergiat dalam industri hiburan tanah air.

(Sumber: Instagram @aamyrarosli)

Ketika ditanya mengenai pembahagian masa, pelakon utama drama bersiri ‘Nur’ ini mengatakan bahawa beliau mempunyai pembahagian masa yang teratur kerana mempunyai pengurus yang mahir dan berpengalaman tinggi.

Noor Zaridah Ahmad, 58, yang merupakan pengurus dan ibu Amyra sentiasa memastikan beliau berbincang dengannya tentang tarikh pekerjaan sebelum beliau menerima apa-apa tawaran yang diberikan kepadanya.

Amyra berkata lagi bahawa beliau akan sentiasa bekerja dengan sepenuh hatinya mengikut jadual yang teratur dan apabila sesi penggambarannya sudah habis, beliau akan mengambil cuti dalam sebulan atau dua bulan untuk meluangkan masa bersama keluarga.


Cabaran Menjaga Anak Dijangkiti Virus Kawasaki

Anak kedua Amyra Rosli, Ayra Aryssa yang pernah dimasukkan ke hospital kerana virus Kawasaki.

(Sumber: Instagram @aamyrarosli)

Pada awal Mac 2022, kesemua ahli keluarganya telah dijangkiti virus COVID-19 dan dua minggu selepas itu pula, anak keduanya, Ayra Aryssa, 2, telah dijangkiti virus Kawasaki.

Ketika Aryssa berada di dalam wad sebuah hospital di ibu kota, beliau akan bergilir-gilir ke sana dengan adik perempuannya, Nelly Rosli, 22, untuk menjaga Aryssa.

Meskipun berat bagi Amyra untuk menghadapi dugaan ini, beliau masih cekal dan terus berfikiran positif.

“Saya terduduk memikirkan mengapa saya diduga sebegini namun saya percaya bahawa Allah menguji hambanya mengikut kemampuannya dan memberikan saya kekuatan untuk menghadapi segala dugaan ini.

“Saya perlu kuat untuk mengharungi semua ujian dari-Nya kerana saya tahu, jika saya tidak kuat, ia akan menjejaskan kesihatan mental saya, jadi saya perlu harungi dalam apa jua keadaan,” kata Amyra ketika dihubungi oleh Berita DIMENSi.

Beliau juga mengakui bahawa perkara yang terjadi ini telah mendekatkan dirinya kepada Tuhan.


Fikiran Positif, Ketahanan Mental Perlu

Amyra Rosli bersama suami, Amar Baharin dan dua orang cahaya mata mereka.

(Sumber: Instagram @aamyrarosli)

Sebagai ibu bapa, Amyra berkata bahawa fikiran yang positif dan ketahanan mental yang kuat adalah kunci untuk segala hal dan keadaan.

Tambahnya lagi, ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu tentang keberadaan dan keadaan anak-anak, terutama sekali ketika bekerja jauh daripada mereka.

Adiknya, Nelly Rosli, 22, berkata bahawa kakak sulungnya itu merupakan seorang yang sangat mementingkan keluarga dan sentiasa meluangkan masa untuk memeriksa keadaan anak-anaknya menerusi panggilan video meskipun sedang sibuk bekerja.

Like the article? Share it now!