ENTERTAINMENT

ALBUM 'DON'T FIGHT THE FEELING' AKHIRI KEMARAU PENANTIAN PEMINAT


Rabu, 9 Jun 2021
Oleh Syaheera Izamuddin

EXO kembali dengan album terbaru Don’t Fight The Feeling.
(Sumber: Allkpop)

Album Don’t Fight The Feeling akhiri penantian peminat apabila EXO sudah kembali dengan album istimewa terbaru mereka pada Isnin lalu.


Peminat EXO yang lebih dikenali sebagai EXO-L akhirnya boleh menarik nafas lega serta gembira setelah penantian mereka selama dua tahun itu akhirnya terbalas apabila kumpulan kesayangan mereka kembali membuat kemunculan semula.


Antara sebab yang dilihat ke atas penyepian kumpulan popular ini akibat oleh jadual solo mereka yang dikatakan terlalu padat serta ketiadaan segelintir ahli kumpulan yang sedang menjalani khidmat ketenteraan yang wajib diikuti oleh semua lelaki warganegara Korea.


Sara Natasha, 30, peminat dan merupakan salah seorang staf daripada kelab peminat EXO Union Malaysia berasa sangat gembira dengan kemunculan semula EXO pada kali ini.


“Sebaik sahaja muzik video Don’t Fight The Feeling mula dimuatnaik di saluran Youtube, saya terus menonton video mereka tanpa henti. Sehingga kini, saya masih lagi melayari muzik video dan lagu-lagu terbaru mereka berulang kali di platform Youtube dan Spotify.


“Yang lagi membuatkan saya begitu seronok adalah kerana kali ini, seorang lagi ahli kumpulan EXO (Lay) yang kami rindukan akhirnya muncul semula untuk album kali ini walaupun beliau tidak berpartisipasi secara bersemuka dengan ahli kumpulannya,” kata Sara menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui emel.


Kemunculan semula EXO kali ini dengan album Don’t Fight The Feeling memberi erti yang cukup bermakna buat peminat mereka di serata dunia. Oleh itu, Berita DIMENSi telah menemu bual Adee Nadira, 29, yang merupakan presiden kelab peminat Malaysian Eries.


“Album EXO kali ini pada saya, sangat istimewa kerana terdapat kelainan pada album mereka, tidak seperti album-album sebelum ini di mana EXO kali ini akan keluar dengan empat jenis versi album mereka: Photobook Ver.1, Photobook Ver.2, Expansion Version dan Jewel Case Version.


“Kepelbagaian versi dalam album inilah yang menjadikan ia sangat istimewa dan berlainan dengan apa yang peminat selalu lihat,” kata Adee ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi emel.


Variasi album "Don’t Fight The Feeling".
(Sumber: LYSN)

Peminat percaya konsep kemunculan semula kali ini berkait rapat dengan album yang pernah mereka lancarkan sebelum ini. Aleeya Naurah, 17, pelajar sekolah dan peminat yang sudah meminati EXO selama enam tahun itu sokong dengan kenyataan itu.


“Saya tidak begitu mahir dalam menyusun fakta dan teori yang selalu peminat kemukakan setiap kali EXO keluarkan album baru, kerana saya lebih suka untuk menikmati lagu-lagu mereka daripada memikirkan perkara tersebut.


“Tetapi, jika difikirkan semula, memang ada kaitan antara album kali ini dengan album sebelumnya kerana konsep muzik video itu sendiri sudah membuktikan bahawa ada kaitannya yang tersendiri. Apa-apa pun, saya amat suka dengan album kali ini,” kata beliau ketika ditemubual bersama Berita DIMENSi menerusi WhatsApp.


Album "Don’t Fight The Feeling" mempunyai lima lagu yang terakam dengan lagu utamanya menggunakan tajuk yang sama. Ianya menceritakan tentang kepercayaan terhadap diri sendiri dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Sehingga kini, penjualan album "Don’t Fight The Feeling" sudah mencecah lebih 460,000 salinan di Ktown4u manakala Naver menyatakan ianya sudah terjual melebihi satu juta salinan secara keseluruhan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!