FOCUS

USAHA GURU DALAM MENYESUAIKAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Jumaat, 8 Julai 2022
Oleh Afiq Asri

Pelaksanaan PdPR merupakan langkah yang diambil bagi mengurangkan risiko penyebaran virus tersebut.

(Sumber: ismaweb)

Sesi pembelajaran bersemuka yang telah digantikan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) meningkatkan kegigihan para pengajar untuk mencuba pelbagai inisiatif bagi menyesuaikan pelajar dengan suasana yang baharu.

Laily Kassim, 57, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, menyatakan para guru telah ditugaskan untuk melaksanakan PdPR dengan menggunakan segala medium perhubungan yang sedia ada.

Guru yang mengajar subjek Sejarah tingkatan enam ini juga menyatakan pada awalnya pelajar begitu gembira untuk belajar secara dalam talian kerana dapat duduk di rumah.

“Saya menjadikan Google Meet sebagai medium untuk mengajar dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah hidup saya sejak penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020,” kata Laily ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi.

“Saya sebenarnya tidak mahir untuk menyediakan pautan Google Meet kepada pelajar tetapi syukur ke hadrat ilahi pelajar saya tetap membantu untuk menyediakannya,” tambahnya lagi.

Bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam subjek mata pelajaran yang diajarnya, beliau juga telah menjalankan sesi pembelajaran pada waktu malam.

Laily selalu mendorong pelajarnya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh walaupun ketika itu suasana pembelajaran sudah berubah.

(Sumber: Berita DIMENSi/Afiq Asri)

“Saya memilih waktu malam kerana segelintir pelajar saya juga mempunyai kelas subjek lain yang diadakan pada waktu pagi dan petang dan ada juga sibuk dengan pekerjaan sambilan serta menolong ibu bapa mereka,” katanya lagi.

Dia juga berkongsi bahawa terdapat masalah yang timbul ketika melaksanakan pembelajaran dalam talian di mana kehadiran pelajarnya semakin menurun.

“Pada awalnya, kehadiran pelajar sangat memuaskan tetapi lama kelamaan tidak semua pelajar dapat menghadiri kelas saya dan boleh dikatakan hanya belasan orang sahaja yang hadir,” kata beliau.

Laily mendapati antara masalah yang sering berlaku adalah kerana masalah capaian internet yang lemah di rumah dan juga terdapat beberapa pelajarnya sering terlupa waktu kelas yang akan diadakan.

“Ia menjadi masalah kepada saya kerana tidak dapat menyampaikan ilmu sepenuhnya kepada pelajar yang tidak menghadiri kelas,” ujarnya.

Guru ini sangat mengambil berat dengan sering bertanyakan keadaan pelajarnya sepanjang mereka menjalankan sesi pembelajaran dari rumah.

Laily juga sering menghantar modul sejarah yang mengandungi nota-nota pembelajaran ke dalam aplikasi Telegram untuk memudahkan pelajarnya untuk menjadikan bahan rujukan tambahan.

Manakala, bagi guru subjek Bahasa Melayu pula, Norshamshilla Saluddin, 42, turut menggunakan aplikasi Telegram dan Google Meet untuk berhubung dan melaksanakan sesi pembelajaran bersama pelajarnya.

“Setiap hari ketika kelas saya akan menghantar rakaman kata-kata semangat supaya mereka sentiasa bermotivasi,” jelasnya sewaktu ditemu bual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.

Norshamshilla mencuba pelbagai kaedah pembelajaran yang baharu bagi memastikan pelajarnya tidak bosan semasa PdPR.

(Sumber: Berita DIMENSi/Afiq Asri)

Untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif, Norshamshilla menggunakan medium seperti Quizizz dan Kahoot! kerana mudah untuk memantau aktiviti pelajar.

“Apabila pelajar berjaya mendapat markah yang tinggi, saya selalunya memberikan mereka hadiah kerana percaya akan semangat mereka untuk belajar jadi lebih meningkat,” tambahnya lagi.

Bagi Norshamshilla, para pelajarnya sangat rajin dan tidak berputus asa sehinggakan keputusan peperiksaan untuk subjek Bahasa Melayu menunjukkan peningkatan.

Dia juga berpendapat pembelajaran dalam talian sangat efektif tetapi bergantung kepada cara mengajar guru itu sendiri kerana bukan semua guru mampu untuk mengadaptasi penggunaan teknologi dengan cepat.

Like the article? Share it now!