FOCUS

UITM PRIHATIN BAWA MAHASISWA BALIK MENGUNDI

Ahad, 13 November 2022
Oleh Hafiz Saidina

SHAH ALAM: Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghela nafas lega apabila pihak universiti cakna dengan keperluan kemudahan pengangkutan untuk mereka pulang mengundi pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Dr Shahsuzan Zakaria menjelaskan pihak universiti telah membantu mahasiswa untuk pulang mengundi pada PRU-15 dalam pelbagai cara.
(Sumber: Hal Ehwal Pelajar UiTM)

Menurut Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, Dr Shahsuzan Zakaria, universiti sentiasa menjaga kebajikan mahasiswanya dengan menyediakan pengangkutan bas ke terminal bas berhampiran dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mahasiswa yang pulang ke Sabah dan Sarawak. 


“Inisiatif kemudahan pengangkutan itu telah bermula pada 15 hingga 18 November bagi memudahkan mahasiswa pulang dengan selamat. 


“Kami sentiasa prihatin dengan membawa hasrat mahasiswa di seluruh cawangan UiTM untuk melunaskan tanggungjawab demi negara,” katanya. 


Proses penghantaran pulang mahasiswa turut melibatkan kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). 

Sulaiman Razali menyatakan MPP telah bekerjasama dengan UiTM bagi memastikan penghantaran mahasiswa berjalan dengan lancar. 

(Sumber: Instagram @sulaiman_badri)

Exco perhubungan luar dan antarabangsa MPP, UiTM Shah Alam, Muhammad Sulaiman Badri Mohd Razali menyatakan MPP telah mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) berhubung tiket penerbangan mahasiswa untuk pulang ke Sabah dan Sarawak.

Bagi mahasiswa dari semenanjung, pihak universiti turut menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa mahasiswa pulang ke tujuh negeri yang terlibat. 

“Antara negeri yang terlibat adalah Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis mengikut harga tiket yang telah ditetapkan.

Mahasiswa UiTM memuji inisiatif universiti menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada mereka.

(Sumber: Utusan TV)

“Saya amat menggalakkan semua mahasiswa di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk turun mengundi kerana perkara ini sangat penting serta kita perlu memikirkan masa depan generasi sekarang dan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk memberi cuti pelepasan selama lima hari bermula 17 November kepada mahasiswa untuk pulang mengundi sempena PRU-15.

Kenyataan rasmi Kementerian Pengajian Tinggi.

(Sumber: Laman rasmi KPT)

Memetik laporan Utusan Malaysia, sebahagian besar daripada 1.3 juta mahasiswa di IPT di seluruh Malaysia mungkin terlepas peluang mengundi buat kali pertama disebabkan perbelanjaan besar untuk pulang.

Laporan akhbar tersebut, UiTM merupakan IPT yang mempunyai bilangan pengundi muda paling ramai, berumur lingkungan 18 ke 20 tahun. Sebanyak 185,400 mahasiswa atau mewakil 15.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi muda iaitu 1.2 juta orang di seluruh Malaysia.

Like the article? Share it now!