state

SOP BAZAR RAMADAN: KERJA PENGUAT KUASA, PENJUAL ATAU PELANGGAN?


Rabu, 5 Mei 2021
Oleh Farah Izureen

Keadaan di Bazar Taman Greenwood, Gombak.
(Sumber: Astro Awani)

SHAH ALAM – Walaupun dengan meletakkan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pintu masuk bazar, pelanggan dan juga peniaga memainkan peranan yang penting dalam memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dijaga.


Tinjauan telah dilakukan oleh Berita DIMENSi di sebuah bazar Ramadan sekitar Bukit Jelutong, Shah Alam. Walaupun keadaan ketika itu terkawal, namun, pelanggan masih lagi tidak mematuhi penjarakan sosial.


Terdapat juga beberapa ibu bapa yang masih membawa bayi kecil dan kanak-kanak masuk ke tempat yang sesak itu tanpa memakai pelitup muka.


Timbul sebuah persoalan, adakah SOP yang telah dilanggar disebabkan oleh penguat kuasa yang tidak memeriksa dengan teliti, atau peniaga yang leka mahupun pelanggan yang sudah serik dengan peraturan yang ditetapkan?


Penguat kuasa pasukan RELA hanya ditempatkan di pintu utama bazar tersebut dan mereka juga sekadar meminta para pengunjung mengimbas kod QR dan memeriksa suhu mereka. Namun, dengan ketiadaan anggota yang bertugas di dalam bazar tersebut telah mengakibatkan keadaan agak sesak.


Menurut peniaga, Muhamad Aizat Afiq Che Nordin, 22, penjarakan sosial itu adalah mengikut budi bicara setiap pelanggan.


“Apabila pelanggan masuk ke bazar, tiada pihak yang mengawal penjarakan sosial antara satu pelanggan dengan pelanggan yang lain.


“Kebanyakannya ada satu tempat yang penuh dengan pelanggan dan mereka tidak menjaga jarak serta tidak ambil endah mengenai COVID-19 ini.


“Tetapi, ada juga pelanggan yang masih menjaga SOP seperti mengekalkan jarak satu meter dan mengimbas kod QR,” Muhamad Aizat Afiq berkata.


Perkara yang sama dikongsi oleh seorang peniaga air, Shahrizam Ahmad, 32, mengenai tindakan yang boleh dilakukan bagi mengetatkan lagi SOP di bazar tersebut.


“Perkara itu terpulang kepada individu masing-masing, cuma ikutlah apa yang kerajaan telah tetapkan kerana kes semakin meningkat dan nak balik ke kampung pun tak boleh. Jadi eloklah ikut peraturan.

“Mengimbas MySejahtera, jaga jarak dan yang nak keluar, anak kecil tidak perlu bawa untuk kebaikan diri sendiri dan semua,” Shahrizam Ahmad berkata.


Poster Operasi Bazar Aidilfitri Dilanjutkan Sehingga Jam 2 Pagi.
(Sumber: Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Menurut seorang peniaga murtabak, Nurul Irdina, 41, kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membenarkan bazar beroperasi sehingga 2 pagi adalah satu kebaikan dan keburukan baginya.


“Ada beberapa peniaga yang boleh terima dengan perkara itu. Pertama, ia dapat meningkatkan ekonomi dan para peniaga juga boleh membuahkan hasil..


“Namun begitu, ianya memberikan kesan negatif terhadap peniaga kerana kami perlu melakukan penyediaan berniaga untuk hari seterusnya,” katanya.


Berlainan pula dengan pendapat seorang pelanggan yang dinamakan Siti, 28, yang merasakan tempoh operasi bazar dilanjutkan sehingga jam dua pagi itu tidak perlu.


“Saya tidak setuju dengan perkara itu, pada pendapat saya, inisiatif untuk turunkan kes COVID-19 ini akan menjadi sia-sia jika kerajaan melanjutkan waktu operasi itu sehingga jam dua pagi.


“Kita nak turunkan tidak boleh kerana SOP kita dah tahu. Lagi-lagi bazar yang dilanjutkan masa itu adalah Bazar Aidilfitri. Saya rasa perkara itu tidak patut,” katanya lagi.


Baru-baru ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan bahawa Bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 pagi berbanding pada jam 12 malam.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!