state

SEKOLAH PEDALAMAN: BAGAIMANAKAH KUALITI PEMBELAJARAN KETIKA PKP?


Jumaat, 4 Jun 2021
Oleh Atira Khalisha

Nazmi bersama muridnya yang bersekolah di SK Long Sukang.

(Sumber : Telegram / Muhammad Nazmi)

LAWAS Kualiti pembelajaran di zon pedalaman boleh dikatakan agak terjejas akibat pandemik COVID-19.


Kelas dalam talian seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan bukanlah sesuatu untuk ditawarkan kepada murid-murid disebabkan bekalan elektrik mereka yang tidak menentu dan tiada jaringan internet di kawasan kediaman.


Situasi ini amat berbeza dengan para pelajar yang tinggal di kawasan bandar kerana rata-rata daripada mereka mempunyai peranti yang canggih, bekalan elektrik dan kestabilan internet bagi mengikuti kelas secara maya supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.


Menurut seorang guru yang pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Long Sukang, Muhammad Nazmi Rosli, 28, beliau dan rakan-rakan guru yang lain terpaksa mencari jalan supaya murid-murid tidak ketinggalan dalam pelajaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


“Pada PKP yang pertama, saya telah menyuarakan cadangan kepada komuniti di Kampung Long Sukang untuk membantu murid-murid iaitu dengan menghantar modul yang dilengkapi dengan nota, penerangan dan latihan ke 111 buah rumah.


“Kami para guru bernasib baik kerana cadangan itu diterima tetapi dengan syarat semua bahan pembelajaran seperti kertas mestilah dari sumber sekolah dan tidak dibenarkan beli di luar bagi mengelakkan virus tersebar.


Murid-murid menerima modul yang dicetak oleh guru.

(Sumber : Telegram / Muhammad Nazmi)

“Semua modul berjaya dihantar ke rumah para pelajar walaupun pada awalnya sukar untuk menjejaki setiap tempat tinggal mereka kerana masih tidak biasa dengan laluan tersebut. Namun ia berjaya diatasi setelah hampir sebulan projek ini dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita DIMENSi melalui aplikasi Cisco Webex.


Menurut beliau lagi, terdapat kegusaran daripada pihak guru kerana kualiti pembelajaran pada ketika itu terganggu disebabkan murid-murid tidak terbiasa belajar secara dalam talian.


“Murid-murid dapat melepasi sasaran seperti yang dicadangkan tetapi ia mengambil masa yang sangat lama. Kami ada silibus yang perlu dikejar, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang harus dicapai dan ada ujian yang perlu dilakukan tetapi ianya tidak dapat diteruskan.


“Jadi ketika itu, guru besar harus bertindak untuk melakukan sesuatu kerana kami tidak boleh kekal dengan situasi yang sebegini dan membiarkan prestasi pelajaran murid-murid terganggu,” tambahnya.


Nasib menyebelahi pihak guru di sekolah pedalaman tersebut apabila kerajaan memutuskan bahawa warga pendidik boleh hadir ke sekolah untuk memudahkan proses pengajaran.


“Pada waktu itulah semua guru boleh meluangkan masa bersama dan fikirkan apa yang terbaik untuk para pelajar.


“Bukan itu sahaja, komuniti di sini telah mengusahakan sebanyak tujuh stesen pembelajaran yang dilengkapi dengan meja, kerusi dan papan tulis untuk para guru supaya boleh digunakan sebagai medium pembelajaran.


“Inisiatif yang diambil oleh masyarakat ini sedikit sebanyak telah membantu pihak sekolah mengatasi kekangan yang sedang dihadapi.


“Jadi jika PKP terjadi lagi, guru-guru sudah tidak perlu datang rumah ke rumah untuk menghantar modul kerana para pelajar akan dikumpulkan di satu tempat agar mereka dapat menimba ilmu bersama-sama,” katanya lagi.


Stesen pembelajaran yang digunakan ketika PKP.

(Sumber: Facebook / Muhammad Nazmi)

Beliau juga memberitahu Berita DIMENSi bahawa usaha yang dilakukannya ini tidak sedikitpun membuatkan dirinya berasa terbeban kerana apa yang penting pelajarnya tahu untuk menghargai ilmu yang dicurahkan kepada mereka.


“Ada suatu masa ketika pada bulan Ramadan, cuaca sangat panas dan saya sudah keletihan kerana terpaksa melalui dua buah bukit untuk mencari sekumpulan pelajar yang duduk di kawasan tersebut.


“Tetapi rasa penat itu automatik hilang apabila saya nampak wajah kegembiraan dan sifat keterujaan mereka ketika saya sampai di destinasi untuk menghantar modul,” katanya lagi.

Aktiviti yang dilakukan semasa di stesen pembelajaran.

(Sumber: Facebook / Muhammad Nazmi)

Penerima anugerah RISE Educator Award 2021 dari Taylor’s College ini juga berpendapat bahawa beliau boleh dikatakan sesuai untuk mengajar di sekolah pedalaman kerana mempunyai kelebihan iaitu seorang yang kreatif dalam memberikan kelainan dalam proses pengajarannya.


Para pembaca Berita DIMENSi boleh tekan di pautan ini untuk melihat gelagat salah seorang murid SK Long Sukang ketika pembelajaran di waktu PKP.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!