FOCUS

‘SAPASANG CHARITY’ RAIKAN ANAK-ANAK SYURGA MENJELANG AIDILFITRI

Jumaat, 13 Mei 2022
Oleh Hamizah Gunawan

SHAH ALAM - Hari Raya Aidilfitri kali ini merupakan sambutan istimewa buat penghuni rumah anak yatim dan asnaf Rumah Nur Sakinah.

Mereka diraikan dalam program ‘Sapasang Charity’ yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRMSA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, April lalu.

Anak-anak Rumah Nur Sakinah bersama penaja dan barisan ahli jawatankuasa Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRMSA) UiTM Shah Alam.

(Sumber: Berita DIMENSi/Hamizah Gunawan)

Setelah hampir dua tahun tidak berkesempatan untuk berinteraksi dengan komuniti secara bersemuka, Muhammad Syafiq Amirul, 22, selaku ketua projek menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kejayaan pelaksanaan program pertama IPRMSA pada semester ini.

Selain dapat menyalurkan sumbangan barangan keperluan sambutan Aidilfitri, Syafiq bersetuju bahawa program amal ini merupakan medium untuk menyemai dan berkongsi kasih sayang sesama manusia pada bulan yang mulia ini.

“Secara peribadi dan realitinya, saya percaya bahawa kita bukan sekadar menganjurkan satu program untuk menyemaikan rasa kasih sayang, tetapi dalam ‘Sapasang Charity’, kami selaku penganjur sendiri dapat mempelajari tentang kehidupan manusia lain yang kurang bernasib baik.

“Ini sekaligus dapat memberi kesedaran kepada kami untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan,” kata Syafiq menerusi temubual bersama Berita DIMENSi.

Pada masa yang sama, penjaga utama Siti Roqaiyah, 26, menyuarakan penerimaanya terhadap program ini dengan meluahkan perasaan sangat kagum dengan usaha semua pihak yang terlibat melaksanakan program tersebut.

Penjaga utama Rumah Nur Sakinah, Siti Roqaiyah berkongsi perasaannya terhadap ‘Sapasang Charity’.

(Sumber: Berita DIMENSi/Hamizah Gunawan)

Menurut Roqaiyah, program ini bukan sahaja sekadar melakukan amal ibadah di bulan Ramadan, malah memberi peluang kepada semua orang untuk merebut saham akhirat di samping mengikuti sunnah dengan meraikan anak yatim dan golongan asnaf dengan pakaian baharu di hari raya nanti

“Program amal sebegini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk malah untuk membuka mata dan hati masyarakat terhadap kesusahan orang lain,” tambahnya lagi.

Selain menghulurkan bantuan, program ini juga mampu membuka mata masyarakat serta memberi kesedaran untuk terus membela nasib anak yatim dan golongan asnaf di semua rumah kebajikan.

Syafiq turut berkongsi bahawa sumbangan yang diberikan oleh pihak penaja bukanlah atas dasar perniagaan semata-mata malah mereka berbesar hati untuk menjayakan ‘Sapasang Charity’ demi mengukir senyuman kepada penghuni Rumah Nur Sakinah.

Pemberian sumbangan dan hadiah kepada anak-anak Rumah Nur Sakinah bersama ketua projek dan penaja.

(Sumber: Berita DIMENSi/Hamizah Gunawan)

Dia juga berkata berbakti kepada komuniti merupakan tanggungjawab setiap insan serta nasib golongan anak yatim dan asnaf ini sememangnya akan sentiasa dibela.

Pihak IPRMSA akan sentiasa menyediakan perancangan untuk menganjurkan pelbagai program untuk memberi manfaat terutamanya kepada golongan yang memerlukan.

“Saya yakin dengan meneruskan program amal dan sukarelawan ini dapat menghubungkan kembali disconnection antara sebuah organisasi, tidak semestinya dengan pihak IPRMSA sahaja malah dengan komuniti lain juga,” kata Syafiq.


Like the article? Share it now!