state

SAMBUTAN HARI PERAYAAN DISINGKATKAN


Rabu, 16 Jun 2021
Oleh Anis Kamsani

Gambaran Sambutan Hari Gawai di rumah panjang.

(Sumber: The Star)

KUCHING Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan sambutan perayaan hari Gawai Dayak dan Hari Raya di Sarawak akan disingkatkan daripada tiga hari menjadi sehari.


Sambutan perayaan Hari Raya yang lepas juga hanya dibenarkan untuk disambut sehari sahaja dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat iaitu disambut dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja. Begitu juga dengan sambutan hari Gawai Dayak yang diraikan pada 1 Jun lalu.


Menurut kenyataan JPBN, keputusan itu dibuat selepas melihat situasi semasa kenaikan kes COVID-19 di negeri Sarawak yang semakin hari semakin membimbangkan.


Setakat ini sahaja, Sarawak merekodkan 749 kes baharu COVID-19, dan akibat daripada penyakit itu kes kumulatif keseluruhan meningkat kepada 41,620 dan jumlah terkini kematian di Malaysia adalah sebanyak 50 kes kematian.


Sekatan Jalan Raya di Kuching.

(Sumber: SarawakVoice)

Seorang petugas khas sektor swasta Shereen Ambun, 21, meluahkan rasa sedih dan sayu apabila tidak dapat pulang ke kampung halamannya selama dua tahun berturut-turut berikutan pandemik COVID-19 yang mula tular pada tahun lalu.


“Saya berasa amat sedih kerana tidak dapat pulang ke rumah panjang selama dua tahun tapi apakan daya, bagi membantu membanteras penyakit ini daripada menular, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersama-sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Berita DIMENSi secara bersemuka.


“Kluster di rumah panjang yang menyebabkan hampir 2700 orang dijangkiti juga membuatkan saya fobia untuk pulang ke kampung. Hal ini menyebabkan saya mengambil langkah lebih berhati-hati dan memilih untuk duduk di rumah sahaja jika tidak ada keperluan untuk saya keluar,” tambahnya lagi.


Bagaimanapun, seorang penjaja kecil yang berniaga di Pasar Dayak batu 8, Christie Mengan, berkata, bahawa perniagaannya juga semakin merosot kerana tidak ramai pelanggan yang datang membeli barang persediaan untuk menyambut hari gawai.


“Apabila sudah hampir tiba hari perayaan sambutan gawai, jualan saya seperti buah-buahan dan sayur-sayuran selalunya akan habis dijual. Akan tetapi, pandemik ini menyebabkan orang ramai takut untuk turun ke pasar bagi membeli barang persediaan untuk menyambut hari penuaian ini.


“Tapi saya berasa amat bersyukur kerana walaupun tidak dapat menyambut pesta menuai ini bersama keluarga besar yang lain di rumah panjang, saya masih lagi dapat bersama dengan ahli keluarga terdekat ketika musim perayaan ini,” tambahnya lagi apabila ditemu bual oleh Berita DIMENSi secara bersemuka.


Setakat ini, 78 kluster masih lagi aktif di Sarawak dan kerajaan negeri sedaya upaya untuk membanteras penyakit berjangkit ini. Kebanyakan kes positif yang berlaku di Sarawak berpunca daripada kluster-kluster yang berlaku di rumah panjang tersebut.


Oleh itu, kerajaan negeri menasihati agar masyarakat Dayak yang duduk di rumah panjang menyambut perayaan gawai di bilik masing-masing dan hanya disambut bersama keluarga yang terdekat.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!