CITY

RUMAH HUTAN BONDA PENYUMBANG KEPADA SEKTOR PELANCONGAN DI HULU SELANGOR


Rabu, 26 Mei 2021
Oleh Izzati Zaini

Bonda Rozita, pemilik Rumah Hutan Bonda dan Rumah Sungai Bonda.
(Sumber: Instagram / @bondarozitaibrahim)

BATANG KALI Jika dulu bandar ini hanya menjadi tempat persinggahan pelancong dari daerah lain untuk ke Genting Highlands, namun sejak 2018 setelah terbinanya Rumah Hutan Bonda Rozita, lokasi ini kian dibanjiri orang ramai sekaligus meningkatkan sektor pelancongan di Hulu Selangor.


Batang Kali, Hulu Selangor, adalah sebuah bandar kecil yang terletak di antara sempadan Pahang dan Perak yang memiliki banyak keunikan alam semula jadi sekaligus menarik perhatian para pelancong dari dalam mahupun luar daerah dan negeri lain.


Di samping keunikan alam semula jadi yang sedia ada di Batang Kali ini, Rumah Terapi Alam oleh Bonda Rozita yang bertemakan konsep terapi alam semula jadi menjadi sebutan orang ramai dari semua pelosok negeri.


Berdasarkan jawapan oleh Adun Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail melalui Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor tahun 2020, pelancong domestik ke negeri Selangor pada tahun 2017 meningkat daripada 3,921,285 pelancong ke 4,015,068 pelancong pada tahun 2018 dimana mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 44,801 pelancong domestik ke negeri Selangor pada tahun tersebut.


Ini menunjukkan sisi positif terhadap industri pelancongan negeri Selangor yang telah terbukti mampu menarik minat pelancong baik domestik mahupun luar negara hasil sumbangan pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan mahupun pemilik tempat-tempat pelancongan persendirian seperti Rumah Terapi Alam ini.


Harisya Razak, 23, warga Batang Kali yang juga salah seorang pengunjung tetap Rumah Terapi Alam yang ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp, turut mengakui kawasan tersebut sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada peningkatan jumlah pelancong yang datang melawat ke Batang Kali.


“Seperti yang kita tahu, Bonda Rozita adalah ibu kepada Dato’ Aliff Syukri, iaitu seorang usahawan yang terkenal di Malaysia. Jadi dengan pengaruh yang mereka ada, ditambah pula dengan pemasaran yang dibuat di laman sosial media mereka, sekaligus menjadikan masyarakat dari luar daerah atau negeri lebih tertarik untuk melawat kawasan lain di Batang Kali juga.


“Tambahan pula, dengan tarikan yang baru dibina dalam sekitar kawasan yang sama iaitu Rumah Sungai Bonda Rozita, ia lebih meningkatkan lagi jumlah pelancong domestik ke kawasan ini dengan menawarkan pakej rumah peranginan yang terletak di tepi sungai dengan harga yang berpatutan,” tambahnya lagi.

Harisya berkata, Rumah Sungai Bonda Rozita amat sesuai buat sesiapa yang ingin meluangkan masa dengan keluarga mahupun kawan-kawan tersayang. Kawasan nan hijau dengan udara yang segar, dapat membuatkan sesiapa pun terlupa tentang kesibukan yang dihadapi di bandar-bandar besar.

Bukan itu sahaja, kawasan yang bersih dan kemas menambahkan lagi nilai dalam setiap kunjungan para pelancong untuk kembali semula ke sini.

Salah sebuah rumah peranginan di Rumah Sungai Bonda.
(Sumber: Harisya Razak)

Menurut kenyataan oleh ADUN Y.B. Datuk Rosni Sohar melalui Portal Rasmi Dewan Negeri Selangor tahun 2020, Rumah Hutan dan Rumah Sungai Bonda Rozita adalah merupakan antara tempat pelancongan yang baharu yang dikenal pasti mampu untuk diketengahkan dan dipromosikan kepada para pelancong dalam mahupun luar negara.

Sememangnya, usaha-usaha untuk mempergiatkan industri pelancongan khususnya di Batang Kali haruslah dipertingkatkan lagi tidak kira inisiatif daripada kerajaan mahupun pemilik persendirian. Taburan penduduk di Batang Kali ini juga kelihatan makin bertambah dari tahun ke tahun, sekaligus membuktikan bandar ini kian mendapat perhatian dari masyarakat luar.

Melalui keratan akhbar Sinar Harian pada Disember 2020, peruntukan bernilai RM5 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf beberapa infrastruktur di daerah ini juga telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lepas.

Justeru, semua pihak haruslah berganding bahu dan mengambil peluang bagi memperkasakan lagi industri pelancongan di Batang Kali agar mampu berdiri setanding dengan bandar-bandar maju lain di sekitar negeri Selangor Darul Ehsan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!