state

PURA TANJUNG SABTU KEMBALI BERNAFAS


Rabu, 9 Jun 2021
Oleh Wan Nurul Damia

Istana lama Terengganu yang dipenuhi semak-samun.

(Sumber: My.WorldOrgs)

KUALA TERENGGANU – Hampir sepuluh tahun dibiarkan usang, namun ia bakal diberi nafas baharu. Itulah Pura Tanjung Sabtu, yang dahulunya merupakan kediaman bagi Almarhum Tengku Ismail Tengku Su yang berdiri gah di Kampung Tanjung Sabtu, Manir.


Selepas kemangkatan beliau pada tahun 2011, istana tersebut dibiarkan sehingga usang dan ditenggelami oleh semak-samun yang tebal.


Istana agam tersebut yang kebanyakannya menggunakan kayu cengal menjadikan struktur bangunan tersebut kukuh dan mempunyai nilai yang tinggi.


Namun begitu, sebahagian daripada binaan istana seperti pintu dan tangga yang diperbuat daripada kayu cengal telah dicuri oleh penceroboh sehingga menyebabkan kecacatan yang ketara pada istana tersebut.


Sebahagian tangga yang dicuri.

(Sumber: Berita DIMENSi / Wan Nurul Damia)

Walaubagaimanapun, antara punca utama struktur istana ini menjadi reput adalah kerana dibiarkan dengan begitu lama serta tidak diselenggara.


Pada tahun 2019, pemegang amanah tanah istana Tanjung Pura akhirnya membenarkan kawasan ini dimajukan oleh penduduk kampung itu sendiri.


Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu, Mohd Fauzi Mustaffa, individu yang mengetuai gerakan tersebut, mula membersihkan pokok serta semak-samun yang sudah hampir lapan tahun bertapak di kediaman itu.


“Kos pembersihan semak-samun yang sudah lebat seperti hutan ini mencecah RM20,000.


“Untuk pembaikan istana pula akan mencecah sehingga jutaan ringgit kerana boleh dikatakan hampir 50 peratus daripada istana tersebut telah pun rosak,” kata pengerusi kampung itu ketika ditemu bual secara bersemuka oleh Berita DIMENSi.


Pihak MPKK juga berhasrat untuk membaiki kawasan tersebut mengikut kemampuan kewangan yang ada.


Kegiatan pembersihan halaman kediaman Pura Tanjung.

(Sumber: Facebook / Md Fauzi Mustaffa)

Tambahnya lagi, komuniti kampung ini kini sedang berganding bahu dalam membaikpulih istana tersebut dengan membuka kedai, kios dan tapak sewaan kepada umum.


Beliau juga berkata, inisiatif lain termasuklah melalui dana kerajaan, pinjaman daripada agensi-agensi kerajaan atau NGO serta membuka peluang kepada pelabur setempat.


Malah, hasil daripada kesatuan hati penduduk kampung ini juga, istana tersebut kembali diberi nafas baharu.


Inisiatif untuk menghidupkan kediaman ini juga melibatkan penduduk kampung menjalankan kegiatan penanaman pisang secara berkelompok di hadapan rumah tersebut. Pengunjung yang ingin melawat tapak ini sudah tentu akan melalui tanaman pokok pisang terlebih dahulu sebelum tiba di istana ini.


Menurut Aman Norhakim, 23, segala usaha membaik pulih rumah tersebut telah membuahkan hasil apabila ia tidak lagi nampak seperti sebuah rumah yang usang.


“Sejak usaha-usaha membaik pulih dilakukan, kawasan rumah tersebut kini dilihat menjadi semakin meriah berbanding dahulu yang dilihat seperti rumah berhantu,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual bersama Berita DIMENSi menerusi WhatsApp.


Beliau yang juga merupakan penduduk kampung itu berkata, inisiatif MPKK untuk menghidupkan kembali tempat tersebut tampak berbeza apabila pelbagai aktiviti telah diadakan di rumah tersebut antaranya adalah aktiviti berkala seperti gotong-royong dan sering dikunjungi pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk tujuan pembelajaran.


Memetik daripada Cadangan Kertas Kerja Eko Pelancongan Pura Tanjung Sabtu, kerja-kerja membaikpulih ini bukan sahaja untuk menghiasi keadaan istana tersebut, malah ia juga bertujuan untuk menggalakkan, memajukan dan mempromosikan ekopelancongan Tanjung Pura secara teratur dan berkesan ke arah menjadikan program ini sebagai salah satu penyumbang utama kepada masyarakat tempatan.


Antara objektif lain juga ialah untuk membuka peluang perniagaan yang wujud daripada ekopelancongan serta mengawal aktiviti yang berasaskan sungai bagi meminimumkan degradasi kepada alam sekitar.


Ekopelancongan adalah satu produk pelancongan yang telah diperkenalkan di Malaysia yang berasaskan ekologi, pendidikan dan pertanian. Tanjung Pura merupakan salah satu tempat yang masih lagi mengekalkan nilai seni bina tradisional serta persekitarannya yang mempunyai sungai yang tidak tercemar.


Istana ini tidak seharusnya dibiarkan dimakan usia tanpa penjagaan yang konsisten kerana kediaman ini yang dahulu pernah menjadi tempat penginapan orang kenamaan kini masih lagi berpotensi untuk menjadi produk pelancongan negeri Terengganu.


Sebarang sumbangan dana untuk pembaikpulihan Pura Tanjung Sabtu amat dialu-alukan dan boleh dibuat dengan menghubungi MPKK kawasan tersebut.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!