FOCUS

PUPUK SEMANGAT BERPOLITIK DALAM KALANGAN BELIA

Isnin, 9 Mei 2022
Oleh Nurul Dayana

SHAH ALAM - Perjuangan untuk membebaskan negara daripada penjajah lebih lima dekad yang lepas kebanyakannya digerakkan oleh anak muda iaitu Ahmad Boestamam dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah menceburi dunia politik sejak dari kecil lagi.

Masih ramai lagi yang mempersoalkan perihal kemampuan anak belia dalam memimpin negara walaupun sejarah telah membuktikannya, dan masih ramai juga yang memandang ringan dengan keberanian mereka dalam membawa hak dan suara rakyat.

Kewujudan persatuan dan kelab yang melibatkan hal ehwal politik di universiti mahupun diluar kampus seperti Kelab Mahasiswa United Malay National Organisation (UMNO) dan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) sedikit sebanyak menarik anak muda untuk lebih cenderung ke dalam dunia politik Malaysia.

Tidak dapat dinafikan, kebelakangan ini kita dapat lihat ramai anak muda yang mula melibatkan diri secara aktif dalam hal politik negara seperti Syed Saddiq, dan terkini, yang menjadi bualan seluruh rakyat Malaysia, Farzana Hayani Mohd Nasir.

Farzana Hayani Mohd Nasir, 22, seorang mahasiswi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang bergiat secara aktif dalam bidang politik hampir 8 tahun, dia berpendapat bahawa bukan suatu yang mudah untuk menarik anak muda untuk mengikuti program yang berunsurkan politik.

Walaupun masih lagi bergelar seorang mahasiswi di sebuah universiti awam, itu bukan satu titik penghalang buat beliau untuk tidak meneruskan minatnya dalam bidang politik.

“Daripada aktiviti kemasyarakatan, sedikit sebanyak dapat membuka mata anak muda untuk bersikap prihatin terhadap nasib dan suara rakyat,” ujar Farzana ketika ditemui di program Ayuh Malaysia baru-baru ini.

Farzana Hayani bersama Rafizi Ramli ketika ditemui di program Ayuh Malaysia.
(Sumber: Berita DIMENSi/Nurul Dayana)

Walaupun baru berusia 21 tahun ketika menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November yang lepas, ini tidak mematahkan semangat dia untuk terus berbakti kepada rakyat.

Sejak pemakluman Farzana sebagai calon termuda, dia mendapat maklum balas baik daripada anak muda yang rata-rata berminat untuk berpolitik tetapi tidak tahu salurannya.

“Bagi saya, lebih banyak impak positif yang saya boleh nampak apabila meletakkan anak muda sebagai calon,” tambahnya.

Farzana Hayani semasa hari penamaan calon di Sungai Rambai, Melaka.

(Sumber: Telegram Team Media Farzana)

Tambah Farzana, golongan anak muda perlu menerapkan sikap ingin mencuba agar mereka mempunyai keberanian diri yang tinggi untuk melontarkan pendapat yang kemungkinan besar berguna untuk suatu perubahan.

Nur Athirah Rusli, 22, juga seorang mahasiswi universiti tempatan berpendapat anak muda perlu mempunyai sikap berdikari dan mempunyai matlamat hidup yang jelas. Sikap ini perlu ada dalam jiwa anak muda agar berani menghadapi perubahan demi sebuah kebaikan.

“Anak muda perlu membuang sikap kurang minat akan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan faedah kepada diri sendiri mahupun negara, jadi kita perlu hargai dan menggunakannya sebaik mungkin,” kata Athirah menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Nur Athirah Rusli (tengah) ketika mengikuti misi banjir Januari lalu di Melaka.
(Sumber: Berita DIMENSi/Nurul Dayana)

Athirah mulanya menceburi politik secara suka-suka kini telah bergiat aktif kerana sedar akan kepentingan berpolitik kepada dirinya dan negara. Dia juga berpendapat bahawa berpolitik dapat mengubah nasib rakyat ke arah yang lebih baik.

“Berpolitik ini juga dapat memupuk sifat empati dan syukur dalam diri, kadang kita rasa hidup kita susah tetapi sebenarnya ada lagi yang lebih susah,” ujarnya lagi yang juga merupakan seorang mahasiswi.

Golongan muda memainkan peranan yang amat penting dalam memperkasakan hak asasi manusia dan masyarakat.

Semangat patriotisme dalam negara dapat menjamin keutuhan dan kestabilan politik Malaysia yang kebelakangan ini dilihat semakin goyang. Oleh itu, jika golongan anak muda prihatin mengenai perihal ini, masa depan negara akan lebih terjamin.


Like the article? Share it now!