FOCUS

PRU15: APA BELIA MAHU?

Ahad,16 November 2022
Oleh Farhan Hakimi

KUALA LUMPUR: PRU-15 yang diadakan pada 19 November lalu menyaksikan seramai 10.6 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun, turun mengundi di kawasan parlimen masing-masing.


Calon ahli parlimen dari semua gabungan parti politik yang bertanding perlu fokus kepada golongan belia agar dapat membentuk polisi yang akan memberi manfaat kepada golongan tersebut sekiranya diberikan mandat mentadbir kerajaan kelak.


Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff berkata, kerajaan yang dipilih perlu bersikap tuntas terhadap masalah-masalah yang dihadapi belia seperti kos sara hidup, pengangguran dan masalah kesihatan mental.

Hasnul Haniff berpandangan bahawa isu kebajikan belia perlu diberi perhatian.

(Sumber: Laman web rasmi Majlis Belia Malaysia)

“Golongan belia juga perlu lebih cakna terhadap situasi politik semasa kerana polisi-polisi yang digubal akan memberi kesan kepada kesejahteraan hidup mereka.


“Para pemimpin yang akan dipilih juga perlu dinilai berdasarkan kredibiliti mereka seperti tahap integriti, kemampuan menarik pelabur asing ke dalam negara dan juga tidak mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.


Menurut mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nor Alya Khairina, 22, beliau ingin melihat kerajaan yang akan mentadbir selepas ini dapat memulihkan keadaan ekonomi negara yang semakin goyah.


Beliau berkata kerajaan baru perlu menawarkan bantuan kepada peniaga-peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan para petani supaya kelangsungan hidup mereka terjamin.

Alya berpendapat bahawa ramai ahli politik terlalu memikirkan agenda mereka tanpa mengutamakan kebajikan rakyat.

“Selain berharap supaya kemelut politik tidak berlaku lagi, saya juga ingin melihat kerajaan yang menitikberatkan dan mengurangkan isu-isu yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia tanpa mengehadkan kebebasan agama lain,” katanya.

Manakala, bagi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Danish Oh Fahmi, 22, dia berpandangan meskipun situasi politik negara dilihat huru-hara, beliau yakin bahawa negara masih mempunyai harapan untuk direformasikan.

Danish merasakan bahawa kesedaran politik dalam kalangan anak muda lebih baik dari beberapa tahun lepas.

“Saya berharap sebuah kerajaan yang berintegriti dapat melaksanakan dasar kerajaan yang membanteras rasuah hingga ke peringkat sifar kerana rasuah adalah ancaman terbesar bagi kemajuan negara.

“Oleh itu, rakyat Malaysia berhak dipimpin oleh kerajaan yang berintegriti dan telus dalam pentadbiran bagi menjamin hidup yang berkualiti dan maju,” katanya.

Like the article? Share it now!