CITY

PROJEK LEBUHRAYA SUKE MEMAKAN NYAWA


Jumaat, 28 Mei 2021
Oleh Aliff Ashraf

Kemalangan berlaku di pembinaan Lebuhraya SUKE.
(Sumber: Astro AWANI / Shahir Omar)

CHERAS – Projek Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang Elevated (SUKE) dikenali sebagai ‘Projek Memakan Nyawa’ kerana di dalam kemegahannya, terpalit insiden-insiden yang tidak begitu menyenangkan sepanjang proses pembinaan lebuhraya ini.


Projek ini merupakan sebuah projek pembinaan lebuhraya baharu sepanjang 24.4 kilometer yang bermula dari Sri Petaling ke Ulu Kelang oleh syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS).


Lebuhraya yang masih dibina ini mempunyai tiga laluan, 14 susur keluar dan masuk lebuhraya, serta merangkumi laluan ke lebih daripada 60 kawasan perumahan. Lebuhraya SUKE juga mampu dihubungkan dengan lebuhraya utama atau jalan-jalan biasa di sekitar Kuala Lumpur.


Lebuhraya ini merupakan salah satu projek yang agak besar dan turut dipenuhi dengan kontroversi sepanjang proses pembinaannya. Pelbagai kemalangan telah berlaku di kawasan pembinaan lebuhraya ini, di mana telah melibatkan nyawa pekerja-pekerja tapak pembinaan tersebut serta orang awam yang menggunakan jalan di sekitar kawasan projek itu.


Hal ini telah menimbulkan kebimbangan orang awam yang terpaksa menggunakan laluan di sekitar kawasan pembinaan itu.


Keadaan Lebuhraya SUKE selepas insiden pelanggaran treler.
(Sumber: NSTP / Hairul Anuar Rahim)

Menurut laporan oleh Berita Harian, antara kemalangan yang berlaku adalah insiden runtuhan struktur lebuhraya tersebut pada bulan Mac tahun ini. Insiden tersebut melibatkan sebuah treler lebih muatan yang telah merempuh binaan lebuhraya tersebut. Treler tersebut dikatakan melanggar perencah besi pada struktur pembinaan lebuhraya tersebut.

Walaubagaimanapun, menurut pemaju projek tersebut, treler yang melanggar struktur binaan itu tidak terlibat dalam pembinaan. Kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan serta kesesakan lalu lintas yang teruk.

Tidak lama selepas insiden tersebut, berlaku pula sebuah lagi kemalangan pada bulan yang sama di mana sebuah kren pembinaan projek itu menghempap sebuah kereta, menurut laporan oleh laman sesawang Mstar. Insiden tersebut telah mengakibatkan dua orang pekerja pembinaan terbunuh setelah mereka terjatuh dari ketinggian 36 meter dari tapak pembinaan. Manakala pemandu kereta itu, seorang warganegara Malaysia cedera parah setelah keretanya dihempap kren itu.

Melalui laporan oleh Astro Awani, pada hujung tahun lepas juga berlaku sebuah kemalangan di mana sebuah konkrit batu telah jatuh dari struktur pembinaan dan menghempap sebuah kereta. Pihak pemaju projek memaklumkan bahawa kejadian tersebut telah menyebabkan seorang pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Menerusi temu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama salah seorang penduduk di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE, Nurul Afiqah binti Abdul Razak, 22, beliau menyatakan kemalangan tersebut telah memberikan kesan kepada orang awam terutamanya insiden yang melibatkan kematian.

Menurutnya lagi, insiden yang berlaku ini perlu dititikberatkan oleh pihak pemaju agar dapat memastikan tahap keselamatan tapak pembinaan diperketatkan serta tidak mengambil mudah tanpa mengikut prosedur keselamatan yang betul.

Apabila diajukan soalan berkenaan adakah projek ini wajar diteruskan, Nurul Afiqah berpendapat projek tersebut wajar diteruskan bagi menangani isu kesesakan trafik di kawasan berkenaan yang sering berlaku. Namun begitu, kawalan keselamatan di situ haruslah dipertingkatkan oleh pihak pemaju.

Selain itu, melalui satu lagi temu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama seorang lagi penduduk di sekitar kawasan pembinaan tersebut, Nur Ardilla binti Meor, 22, turut mencadangkan agar pihak atasan mengetatkan peraturan berkenaan pemakaian alatan keselamatan oleh pekerja pembinaan di tapak projek itu. Beliau juga berpendapat pihak atasan perlu mengambil kira waktu kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Kerja-kerja pembinaan pada waktu kemuncak dan waktu hujan harus dielakkan. Aktiviti pembinaan pada waktu itu akan membahayakan keselamatan orang awam yang menggunakan jalan raya di bawah tapak pembinaan tersebut.

Walaubagaimanapun menurut laporan laman sesawang MalaysiaKini, terdapat juga gesaan daripada beberapa ahli parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebelum ini supaya projek Lebuhraya SUKE tersebut dihentikan. Hal ini adalah bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin ekoran insiden-insiden mengorbankan nyawa yang telah berlaku di tapak pembinaan lebuhraya tersebut sebelum ini.

Mereka juga mencadangkan agar satu siasatan bebas dilakukan berhubung insiden yang telah berlaku di tapak projek lebuhraya tersebut. Ahli Parlimen DAP turut mencadangkan Putrajaya untuk mengikut langkah kerajaan Pulau Pinang dengan mengadakan suruhanjaya siasatan mengenai kemalangan tersebut.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!