state

POLIS BERI AMARAN KERAS KEPADA PENDUDUK SELANGOR YANG INGKAR SOP


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Nisa Latiff

KLANG Polis memberi amaran keras kepada penduduk Selangor supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak wabak COVID-19 daripada menular.

Walaupun, rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan dalam syarat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang telah dikeluarkan, namun ia tidaklah begitu ketat seperti SOP yang sebelum ini.

Anggota sekatan jalan raya membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya.
(Sumber: Facebook / Polis Selangor)

PKP 3.0 yang dilaksanakan di negeri Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah jumlah sekatan jalan raya dan pihak polis tidak akan memberi kerjasama terhadap individu yang ingin merentas daerah atau negeri tanpa surat kebenaran perjalanan.

Bagi sesiapa yang ingin melakukan pergerakan rentas daerah atau negeri haruslah mempunyai alasan yang kukuh serta mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu. Individu yang didapati merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran polis akan dikompaun serta merta.

“Walaupun sekatan jalan raya dilakukan di negeri Selangor baru-baru ini bagi membendung masalah rentas daerah atau negeri, masih terdapat individu yang dapat pulang berhari raya kerana terdapat kelompongan ‘jalan tikus’ di sempadan daerah atau negeri.

“Hal ini telah menyukarkan pihak polis untuk membanteras gejala ini. Namun begitu, terdapat beberapa individu yang berjaya diberkas dan dikompaun sebanyak RM5,000," kata Inspektor Muhammad Taufik, Pegawai Penyiasat Jenayah di daerah Klang Utara, menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ekoran peningkatan yang mendadak melebihi 2,000 kes COVID-19 serta pelaksanaan PKP yang kurang berkesan di negeri Selangor menyebabkan rakyat di negeri tersebut menggesa PKP penuh dijalankan.

Menteri Besar Selangor sewaktu di sidang media khas pada 19 Mei 2021.

(Sumber: Facebook / MalaysiaDateline)

Pada sidang media khas COVID-19, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengatakan kerajaan negeri Selangor menolak pelaksanaan PKP secara penuh.

Namun begitu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari telah memberikan ulasan dalam sidang media khas yang terbaru menyatakan kerajaan tidak mempunyai halangan sekiranya pihak kerajaan Persekutuan ingin melaksanakan PKP secara penuh di negeri tersebut.

Menurut beliau, nyawa rakyat di negeri Selangor menjadi keutamaan namun harus ada sikap empati dan memikirkan kesan kepada kehidupan rakyat di negeri tersebut yang hilang punca pendapatan termasuklah kepada kesihatan mental jika PKP secara penuh dilaksanakan.

“Oleh itu, kita minta rakyat di negeri Selangor khususnya, haruslah mematuhi SOP yang dikenakan. Fahami undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan kerajaan.

“Undang-undang dan peraturan sentiasa dikemaskini bagi memadankan dengan situasi semasa. Bagi mengelakkan PKP penuh dilaksanakan, rakyat negeri Selangor haruslah bekerjasama bagi membendung masalah ini.

“Elakkan aktiviti berkumpulan, cubaan merentas daerah atau negeri serta harus sentiasa imbas MySejahtera. Sekiranya kami menerima laporan, anggota akan terus melakukan pemeriksaan dan kompaun akan dikenakan serta merta,” kata Sarjan Muhammad Nabil, Pegawai Penyiasat Jenayah di daerah Klang menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp berikutan segelintir rakyat yang degil terhadap undang-undang yang telah dilaksanakan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!