state

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN: KESAN TERHADAP JURANG EKONOMI RAKYAT


Jumaat, 28 Mei 2021
Oleh Firdaus Hanafi

KUALA LUMPUR Kerajaan telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan kembali dilaksanakan di seluruh negara. Pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin pada 10 Mei 2021.

Antara yang harus dititikberatkan semestinya jurang ekonomi antara rakyat yang dilihat semakin ketara kesan daripada pelaksanaan PKP ini.

Tan Sri Muhyidin Yassin, Perdana Menteri Malaysia.
(Sumber: TheStar)

Antara sektor yang akan menerima tempias daripada pelaksanaan PKP ini sudah tentu sektor ekonomi yang melibatkan rakyat.

Jurang ekonomi rakyat yang dimaksudkan di sini ialah apabila golongan yang mempunyai kemudahan prasarana digital akan terus-menerus mendapat lebih banyak kelebihan kerana pelaksanaan PKP memaksa pelbagai aktiviti harian untuk dilakukan secara atas talian.


Tuan Haji Mohd Roslan.
(Sumber: Sinar Harian)

Menurut pakar analisis politik, Tuan Haji Mohd Roslan Mohd Saludin yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, keputusan pelaksanaan PKP 3.0 ini dibuat berdasarkan penilaian pakar-pakar virologi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka adalah pihak yang benar-benar memahami situasi semasa dan semestinya pilihan yang dibuat mereka itu adalah yang terbaik bagi rakyat, dalam masa yang sama merupakan satu langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19,” ujarnya.

Antara contoh yang paling dekat, pelajar yang tinggal di bandar akan mudah untuk menerima apa yang disampaikan oleh guru mereka melalui pengajian secara atas talian kerana mereka memiliki capaian internet yang bagus jika hendak dibandingkan dengan rakan mereka di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan sebegitu lengkap.

Itu adalah contoh jurang antara pelajar, lain pula cerita tentang mereka yang dewasa dan yang sudah bekerja, namun mereka juga menghadapi kesukaran kerana jurang yang sebegini.

Jurang ekonomi rakyat adalah isu yang terbentuk apabila adanya kumpulan masyarakat yang menerima impak berbeza daripada pandemik ini, tidak semua terkesan secara sama rata. Perbezaan dari segi akses kepada dunia digital khususnya akan menyumbang kepada kewujudan perihal ini.

“Mereka yang mempunyai akses kepada internet dan teknologi komunikasi melalui telefon pintar atau komputer di rumah, mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk memanfaatkan teknologi digital yang sedang giat dibangunkan, antaranya penawaran pelbagai aplikasi mudah alih yang mampu memudahkan kehidupan harian manusia.

“Dibandingkan pula dengan mereka yang tidak mempunyai akses dan kemudahan digital, mereka akan sedikit tertinggal, khususnya mereka yang tinggal di luar kawasan bandar,” kata Tuan Haji Mohd Roslan.

Kerajaan seharusnya memikirkan beberapa cara untuk mengelakkan jurang yang sebegini dari kian melebar bagi memastikan keseimbangan ekonomi sesama rakyat boleh dicapai. Berita DIMENSi turut mendapatkan cadangan daripada Mohd Roslan Saludin yang mungkin boleh diambil kira oleh kerajaan bagi mencapai matlamat ini.

Antara langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan adalah seperti penambahbaikan infrastruktur teknologi dan akses internet ke seluruh negara. Pemberian insentif sebagai galakan kepada pengusaha dan pembeli untuk terus aktif dalam aktiviti perekonomian.

“Selain memberi manfaat dan galakan, insentif ini boleh dilakukan dengan cara pengecualian cukai bagi membolehkan penawaran harga barang yang lebih murah selain mampu mengawal pergerakan rakyat dengan lebih efektif.

“Bank juga seharusnya digalakkan berkolaborasi bersama institusi utiliti untuk memberikan rebat yang lebih meluas untuk transaksi dan urusan secara maya bagi mengelakkan berlakunya urusan bersemuka secara fizikal,” kata Mohd Roslan Saludin.

Dengan pemberian dan pengagihan vaksin yang sedang dijalankan bagi mempercepatkan proses pembendungan wabak virus COVID-19, keresahan dan kesukaran rakyat juga seharusnya dalam masa yang sama diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Rakyat harus memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan bagi melancarkan proses ini supaya PKP kali ini mampu menjadi tunjang untuk kita membendung virus ini dari terus tersebar, sekaligus membuahkan hasil,” tambahnya lagi.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!