state

PERANAN PESAWAH DALAM PEMBANGUNAN EKONOMI NEGERI KEDAH


Jumaat, 11 Jun 2021
Oleh Hasanah Yusof

Tanaman padi hanya dilakukan dua kali setahun.

(Sumber: Berita DIMENSi / Hasanah Yusof)

KEDAH Pembangunan ekonomi di negeri Kedah semakin berkembang dengan adanya para pesawah yang berpengalaman dalam menghasilkan bekalan padi yang berkualiti tinggi. Justeru, di sebalik ekonomi negeri yang membangun, peranan pesawah amatlah penting dalam membantu negeri Kedah menjana pendapatan.


Dalam bidang pertanian, peranan pesawah adalah untuk memelihara alam semulajadi dan bertanggungjawab untuk menghasilkan bekalan padi yang berkualiti kepada masyarakat. Walaupun sudah berada di tahun 2021, pekerjaan sebagai pesawah tetap relevan kerana padi merupakan sumber utama pengeluaran negara dan menjadi sumber utama pendapatan bagi penduduk di negeri Kedah.


Menurut Mohd Yusof Ahmad, 60, proses penghasilan padi akan dimulakan dengan penyediaan tanah. Proses ini dilakukan untuk memusnahkan tunggul-tunggul jerami, anak-anak rumput dan sebagainya. Proses ini akan dilakukan secara berulang kali sehingga tanah menjadi rata. Sebelum proses seterusnya, racun siput gondang emas akan disembur ke atas tanah untuk mengelakkan siput membiak.


“Kemudian, benih padi akan direndam semalaman dan disejat lalu dibiarkan semalaman juga untuk membiarkan benih padi bercambah. Selepas itu, baru kita akan melakukan proses menabur benih padi.


“Proses meracun rumput dan tumbuhan liar akan dilakukan selepas padi sudah seminggu ditabur. Setelah selesai meracun, tunggu dua atau tiga hari kita akan masukkan air ke dalam sawah.


“Apabila usia padi sudah mencecah 20 hari kita akan melakukan proses meracun ulat dan serangga. Proses meracun dilakukan kerana pokok dalam keadaan lembut dan segar. Ia juga akan dilakukan sebanyak lima hingga enam kali sehingga padi tersebut masak,” kata Mohd Yusof, menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Beliau menjelaskan bahawa baja akan ditabur sebanyak tiga kali sewaktu padi berusia 20 hari, 40 hari dan 70 hari. Kemudian, pesawah hanya akan menunggu padi tersebut masak dan dalam pada itu, air akan dikeluarkan supaya batang padi akan menjadi keras, tidak mudah rebah dan tanah menjadi kering.


Menurut Muhamad Syahir Abdul Razak, 25, terdapat beberapa peralatan yang digunakan dalam proses penanaman padi.


“Dari segi peralatan yang digunakan ialah mist duster. Kegunaan mist duster ialah untuk semburan padi dan semburan baja. Mist blower pula untuk kegunaan semburan racun serangga,” kata Muhamad Syahir menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Tanaman padi perlu dijaga dengan rapi supaya hasilnya berkualiti.

(Sumber: Berita DIMENSi / Hasanah Yusof)

Cara untuk menghasilkan padi yang berkualiti perlu dilihat dari segi jenis baja dan racun yang digunakan. Selain itu, tanaman padi perlu dijaga dengan rapi supaya hasilnya berkualiti.


“Kerajaan telah menyediakan baja subsidi kepada para pesawah. Sebagai contoh, ada tiga jenis baja iaitu baja campuran, baja urea dan baja tambahan. Tetapi bergantung kepada pesawah itu sendiri sama ada mahu membeli jenama yang lebih mahal.


Menurut Mohd Roshidi Ahmad, 30, segala proses penanaman padi mempunyai jadual dan ia telah ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab.


“Pastikan penanaman padi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Pesawah juga perlu pastikan baja dan racun serangga yang digunakan mengikut kuantiti yang disyorkan,” kata Mohd Roshidi menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Tanaman padi merupakan tanaman yang berskala besar dan kini kos membuat sawah padi juga semakin naik. Beliau berkata kos anggaran untuk 10 relung sawah padi di negeri Kedah ialah hampir RM5,000.


“Benih padi sudah RM900, racun pula RM600 itu tidak kira jenis racun, kalau ambil yang mahal kos lagi tinggi. Kemudian, upah mesin padi RM1,200 dan traktor membajak RM2,000,” tambahnya.


Akan tetapi bergantung kepada pesawah itu sendiri jika mahukan hasil padi mereka lebih berkualiti maka mereka perlulah mengeluarkan kos yang lebih tinggi.


Pekerjaan sebagai seorang pesawah mungkin tidak sehebat mana tetapi mereka merupakan punca utama ekonomi negeri Kedah yang membangun selama ini. Oleh itu, teruskan menyokong mereka supaya tidak luput pada generasi akan datang.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!