FOCUS

PERAK BERI 'HADIAH' UNTUK FOOD RIDERS

Jumaat, 20 May 2022
Oleh Qirana Nabilla

IPOH - Perak kini tampil dengan pembukaan kawasan rehat dan rawat rider (3R) pertama di negara ini yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Saarani Mohamad di Pusat Bandar Ipoh pada 7 Mac 2021 yang lalu.

Dengan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), 3R ini dibina sebagai tanda penghargaan kepada para pekerja penghantaran makanan yang sebelum ini hanya berbumbungkan terik matahari atau di kaki lima jalanan.

Menurut portal rasmi Majlis Bandaraya Ipoh, Perak merupakan negeri yang pertama di Malaysia untuk memulakan inisiatif pembinaan 3R ini dengan kos yang diperuntukkan hampir RM 500,000 iaitu sebanyak RM 71,354 bagi seunit kawasan 3R ini.

Pelan asal reka bentuk kawasan 3R secara digital.

(Sumber: YouTube Majlis Bandaraya Ipoh)

Ridza’uddin Mohd Radzi, 48, selaku Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Lalu lintas) di Majlis Bandaraya Ipoh merupakan salah satu tulang belakang dalam penghasilan projek pembinaan kawasan 3R ini.

“Sewaktu dalam mesyuarat kerajaan negeri Perak, idea ini tercetus apabila Menteri Besar Perak sendiri yang mengesyorkan untuk membina satu ruang rehat untuk pekerja penghantaran makanan,” katanya sewaktu temu bual dalam talian melalui Google Meet.

Apabila negara dilanda wabak COVID-19 pada bulan Mac 2020 yang lalu, pekerja penghantaran makanan ini juga merupakan sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang memainkan peranan penting kepada masyarakat sehinggalah ke hari ini.

“Mereka juga merupakan petugas barisan hadapan, jadi, kerajaan negeri Perak sangat mengutamakan mereka dan berusaha untuk menyediakan kemudahan buat riders untuk berehat, menunaikan solat dan mengecas telefon mereka,” ujar beliau lagi.

Salah satu lokasi 3R telah siap di bina di Pusat Bandar Ipoh.

(Sumber: Raizaleffendi Abd Rashid, Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kejuruteraan MBI)

Kawasan 3R ini telah pun siap sepenuhnya di tujuh buah lokasi di sekitar bandaraya Ipoh setelah berbincang bersama wakil daripada Food Panda dan Grab Food tentang lokasi-lokasi yang dijadikan ‘hotspot’ oleh pengguna.

Walaupun begitu, pemilihan lokasi 3R ini sebenarnya menyumbang kepada cabaran dalam proses pembinaan terutamanya dari aspek keselamatan jalan raya.

“Lokasi tersebut perlulah ada anjakan daripada lebar bahu jalan supaya tidak menyebabkan kemalangan atau gangguan daripada utiliti sedia ada,” tambah Ridza’uddin.

Menurut beliau, pemindahan lokasi asal dari Tasek ke Klebang, Ipoh juga berpunca daripada bahu jalan yang tidak kukuh serta lokasi yang agak berbahaya.

Ruang tandas dan ruang mengambil wudhu’ semasa dalam proses pembinaan.

(Sumber: Raizaleffendi Abd Rashid, Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kejuruteraan MBI)

Ridza’uddin sememangnya berasa bangga dengan pencapaiannya yang telah memudahkan tugas pekerja penghantaran makanan yang pertama di Malaysia, tambahan pula reka bentuk yang dibina dalam projek pembinaan kawasan 3R ini menerapkan konsep 'low carbon city' dan 'green building'.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa cakna dari segi reka bentuk dalam proses pembinaan kawasan 3R ini dengan menggunakan kaedah pembinaan yang mudah dan cepat serta bercirikan bangunan yang tidak menggunakan tenaga elektrik terlalu banyak namun dalam pada yang sama turut memberi keselesaan yang maksima buat para pengguna.

Selain fasiliti seperti tandas, ruang solat dan tempat mengecas telefon, pihak MBI juga telah menyediakan kelengkapan 'Free WiFi' yang membolehkan riders untuk kekal mendapatkan pesanan makanan walaupun sedang mengecas telefon di kawasan 3R.

Ahmad Zahid Khairullah, 23, seorang penghantar makanan Grab Food turut berasa gembira dan terharu atas dasar keprihatinan pihak kerajaan membina kawasan rehat dan rawat untuk riders berehat serta dilengkapi dengan pelbagai fasiliti yang berguna.

“Dengan adanya 3R ini memang memudahkan tugas saya kerana jika telefon saya kehabisan bateri atau bateri lemah, saya boleh berhenti di kawasan 3R ini dan mengecas telefon saya terlebih dahulu sebelum meneruskan kerja saya,” katanya sewaktu di temubual melalui WhatsApp.

Sebelum wujudnya kawasan rehat dan rawat ini, Ahmad sering berteduh di tepi jalan ataupun di tempat parkir motor yang disediakan oleh pusat membeli-belah sahaja di mana sedikit sebanyak telah mengehadkan pergerakan beliau.

Usaha ini disambut baik oleh para food riders serta pengguna awam yang turut menikmati fasiliti 3R ini justeru tidak di sangkal lagi akan kemudahannya buat para pengguna.

Turut berharap inisiatif 3R ini mampu menjadi titik permulaan untuk memperbanyakkan usaha-usaha pembangunan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Like the article? Share it now!