CITY

PENJAGAAN LANDSKAP KUARTERS KLIA TERABAI


Jumaat, 4 Jun 2021
Oleh Muhammad Asyraf

Kompleks Kediaman Kuarters KLIA.
(Sumber: Berita DIMENSi / Muhammad Asyraf)

NILAI Kuarters KLIA merupakan sebuah kompleks kediaman khas bagi pegawai beruniform seperti kastam dan imigresen yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Namun begitu, buat lima tahun lamanya penduduk setempat di situ telah diselubungi dengan isu penjagaan landskap yang tidak diselia oleh pihak berwajib.


Wartawan Berita DIMENSi telah turun padang untuk meninjau sendiri keadaan komuniti Kuarters KLIA dan mendapatkan maklum balas daripada wakil penduduk di situ. Sudah tiba masanya rintihan mereka perlu didengari dan dibawa ke saluran yang betul.


Nu’man Basyir, 21, telah tinggal di Kuarters KLIA sejak dari kelahirannya. Tempat ini adalah sebahagian daripada diri beliau dan beliau menghadapi secara terus isu penjagaan landskap yang sedang dilalui oleh penduduk.


“Pada mulanya, ada khabar angin yang menjadi bahan bualan masyarakat di sini. Katanya kerajaan sudah tidak ada lagi dana untuk membayar kontraktor yang menjaga kawasan kami. Kami tidak ambil endah sangat sewaktu itu.


“Tetapi apabila hari bersilih ganti, rumput semakin panjang tidak dipotong, lalang tumbuh merata-rata, dan sampah lambat dikutip, kami mula merasakan ada kebenaran di sebalik ura-ura tersebut,” ujar Nu’man Basyir.


Berita DIMENSi membuat rondaan di sekitar blok kediaman Kuarters KLIA yang terdiri daripada beberapa pecahan kawasan, dinamakan sebagai ‘Kelompok 10’. Berdasarkan pemerhatian awal, kenyataan yang diberikan Nu’man Basyir itu sememangnya berasas.


Di laluan masuk ke Kelompok 10, kami dikejutkan dengan pemandangan kurang enak, tempat pembuangan sampah bertaburan, ada sampah tercampak keluar daripada tong komunal, longgokan sisa pepejal yang berkemungkinan sudah berhari-hari tidak dikutip.


Tempat pembuangan sampah di laluan masuk Kelompok 10.
(Sumber: Berita DIMENSi / Muhammad Asyraf)

“Unit yang saya tinggal selang beberapa buah sahaja dari tempat pembuangan sampah ini. Kalau hari yang angin datang ke arah saya, bau itu memang naik ke atas dan sangat memualkan,” adu Nu’man Basyir.

Memasuki ke perkarangan Kelompok 10, kami melihat blok bangunan di situ berada dalam kondisi yang daif, cat yang sudah luntur dan berlumut memberikan tanggapan negatif kepada orang luar akan kediaman Kuarters KLIA.

Seterusnya, apa yang menarik perhatian kami juga adalah taman permainan kanak-kanak di perkarangan Kelompok 10 yang dikelilingi penghadang besi pembinaan.

“Taman permainan kanak-kanak itu dinaik taraf sejak dari awal tahun ini, masih belum siap sampai sekarang walaupun dah masuk lima bulan, budak-budak tak sabar, sebab mereka tiada tempat lain nak pergi untuk bermain.

“Jadi, mereka robohkan penghadang dan masuk ke dalam taman permainan itu tanpa kebenaran. Agak bahaya untuk budak-budak bermain dekat situ sebab masih belum siap sepenuhnya,” tambah Nu’man Basyir kepada Berita DIMENSi.

Berita DIMENSi meneruskan tinjauan ke sekitar halaman Kelompok 10, begitu menghampakan apabila dilihat rumput yang panjang sehingga melebihi paras buku lali, lubang yang berbahaya untuk sesiapa yang tidak perasan serta sofa dan motosikal usang yang ditinggalkan begitu sahaja di tepi blok bangunan.

Bukan itu sahaja, padang bola berdekatan juga terbiar, bahu jalan dipenuhi dengan daun-daun kering, laluan pejalan kali sudah hampir ditutupi sepenuhnya oleh rumput dan sampah-sarap, ini sama sekali bukan sebuah tempat tinggal yang kondusif.

Keadaan semasa di sekitar kawasan Kuarters KLIA.
(Sumber: Berita DIMENSi / Muhammad Asyraf)

“Kalau ikutkan, keadaan dulu jauh lagi teruk daripada sekarang. Kami sudah ambil inisiatif sendiri untuk bergotong-royong bersihkan kawasan kuarters KLIA ini sebulan sekali, tolong potong rumput, kutip sampah, dan sapu daun kering.

“Biasanya cuti hujung minggu kami buat ini, kami tak dapat nak buat banyak sebab kami pun ada komitmen lain. Ini bukan kerja kami sebenarnya.

“Sejujurnya saya agak terkilan, kami ada buat aduan ke pihak pengurusan tetapi memang tiada tindakan yang diambil. Kerajaan seharusnya lebih bertanggungjawab ke atas penjagaan Kuarters KLIA sebab kawasan ini adalah hak milik mereka,” luah Nu’man Basyir.

Nasib penduduk Kuarters KLIA harus dibela, bayangkan di siang hari mereka bekerja di lapangan terbang, sebuah ikon negara di mata antarabangsa. Manakala di sebelah malam pula mereka harus pulang ke rumah yang berkeadaan sebegini rupa, di manakah keadilan di situ?

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!